Images
  • Mat Sentol
    Mat Sentol bersama keluarga tercinta. (Gambar: Mat Sentol/Facebook)

Mat Sentol bapa teknik kesan khas penerbitan filem Melayu

KUALA LUMPUR: Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya, mengakui dirinya bukan sahaja seorang pelakon komedi dan pengarah filem 1950-an hingga 1970-an, malah perintis atau Bapa Teknik Kesan Khas filem Melayu.

Mat Sentol, 91 tahun, yang berkecimpung lebih 40 tahun dalam dunia perfileman memiliki pengalaman luas dalam penghasilan teknik kesan khas menerusi filem arahannya, berkata beliau bersedia untuk berkongsi kebolehannya itu dengan pembuat filem pada masa kini.

Antara filemnya yang memperlihatkan teknik kesan khas adalah Mat Bond, Mat Tiga Suku dan Mat Magic, katanya kepada wartawan selepas menyampaikan ceramah mengenai pengalamannya dalam dunia perfileman pada Program Kajian Insan 'Khazanah Seni Negara' di Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), hari ini.

SANGGUP KONGSI ILMU DENGAN YANG BERMINAT

Mat Sentol berkata tidak ramai yang mengetahui kebolehannya itu dan beliau sanggup berkongsi ilmu mengenai kebolehan tersebut dengan mereka yang berminat.

Pada majlis yang dianjurkan oleh Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) dengan kerjasama Finas, Mat Sentol turut dianugerahkan dengan gelaran "Bintang Lagenda dan Ahli Kehormat CCIG sebagai penghargaan kepada bakat seni yang dimiliki pelakon veteran itu semasa hayatnya.

Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh Said Keruak.

Sementara itu, Pengerusi CCIG Jurey Latiff Rosli berkata Mat Sentol sememangnya layak menerima gelaran Bapa Kesan Khas filem Melayu, ini berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas filem lakonan dan arahannya sejak tahun 1950-an hingga 1970-an.

"Kami mengagumi kreativiti dan kebolehan Mat Sentol dalam menghasilkan kesan khas menerusi filemnya seperti Mat Bond, Mat Tiga Suku dan Mat Raja Kapor.

"Kebolehan beliau ketika itu melampaui masa iaitu beliau menggunakan kesan khas dengan mencipta pelbagai teknik penggambaran dalam filem arahannya walaupun pada masa itu ia dihasilkan secara manual," menurut Encik Jurey.

TURUT BERBAKAT DALAM BIDANG ANIMASI

Katanya, selain kebolehan itu, Mat Sentol juga berbakat dalam bidang animasi dan penulisan skrip drama dan filem.

Encik Jurey yang juga Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkata, kebolehan dan hasil kerja yang ditunjukkan Mat Sentol itu boleh melayakkan beliau mendapat anugerah ijazah kehormat yang
setaraf Doktor Falsafah (PhD).

"Saya berbincang dengan pihak CCIG dan akan membawa cadangan ini dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Aswara pada minggu depan bagi mengiktiraf dan memberikan anugerah tertinggi ini kepada Mat Sentol pada masa hadapan," katanya.

Mat Sentol memulakan kerjayanya sebagai guru lukis di sebuah sekolah Cina di Singapura dan membabitkan diri dalam bidang perfileman pada tahun 1950-an.

Selain berlakon dan menjadi pengarah filem di Cathay-Keris Film Productions, Singapura, beliau juga menulis lirik dan mencipta lagu. 

- Bernama/nk

Komen Anda?

Top