Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mamat Bora S’pura ‘keluar bermaruah’, meski tersingkir di suku akhir Maharaja Lawak Mega 2017

Meskipun tersingkir di peringkat suku akhir pertandingan Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017), beliau nyata tidak berputus harap. Malah, sebagai satu-satunya peserta yang mewakili Singapura, beliau berasa bersyukur kerana berjaya bertahan sehingga 10 minggu lamanya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Mamat Bora S’pura ‘keluar bermaruah’, meski tersingkir di suku akhir Maharaja Lawak Mega 2017

Pelawak Singapura, Mamat Bora. (Gambar: Mamat Bora/ Instagram)

BERITAMediacorp: Meskipun tersingkir di peringkat suku akhir pertandingan Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017), beliau nyata tidak berputus harap. Malah, sebagai satu-satunya peserta yang mewakili Singapura, beliau berasa bersyukur kerana berjaya bertahan sehingga 10 minggu lamanya.

Yang jelas, Mamat Bora, yang menganggotai kumpulan Masin, bersama Vicha dari Indonesia dan Jiggy dari Malaysia, menghargai setiap peluang untuk beraksi serta persahabatan yang terjalin dengan para pelawak dari tiga buah negara.

Beliau memberitahu BERITAMediacorp: “Perasaan sedih itu memang ada, tetapi syukur Alhamdulillah, kerana pada awalnya, kami fikir hanya dapat bertahan hingga ke minggu ke-4 sahaja, memandangkan ini kali pertama kami bergabung bersama. Tapi kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami keluar bermaruah.”

Ini setelah persembahan mereka pada minggu ke-10 itu dianggap sebagai salah satu persembahan yang terbaik oleh kumpulan Masin. Menurut Mamat lagi, antara persembahan terbaik mereka yang lain termasuk pada minggu ke-3 dan persembahan muzikal komedi pada minggu ke-6, yang mendapat pujian daripada pihak juri.

“Setelah kami membaca sesetengah komen di laman media sosial yang masih menyokong kami, ia ternyata amat membantu. Sekurang-kurangnya kami tetap berjaya memenangi hati penonton,” katanya.

Keputusan bagi pertandingan mingguan MLM2017 berdasarkan 70 peratus dari pihak juri dan 30 peratus dari kiraan undi penonton.

GALI IDEA YANG DEKAT DI HATI PENONTON

Bagaimanapun, Mamat tidak dapat menafikan bahawa pertandingan MLM2017 juga banyak membantu dalam mempertingkatkan seni lawaknya.

“Lawak itu memang tidak mudah. Tetapi apa yang saya pelajari adalah untuk berlawak menggunakan idea yang dekat di hati penonton. Jika penonton pernah lalui perkara itu, mereka akan lebih mudah memahami jenaka tersebut. Itu akan membuatkan lawak itu lebih mudah diterima. Dan tentunya, kerjasama juga adalah sangat penting,” katanya kepada BERITAMediacorp.

Ini memandangkan Mamat hanya akan berjumpa anggota kumpulannya itu pada hari Rabu, iaitu dua hari sebelum hari pertandingan setiap minggu. Malah, menurutnya, para pelawak lain juga melayannya dengan baik, meskipun terdapat sedikit kontroversi sepanjang pertandingan tersebut.

“Semasa berlakunya insiden apabila abang Najip Ali dikecam, para pelawak di seberang tidak mengaitkan saya dalam hal tersebut. Meskipun saya juga seorang pelawak Singapura, mereka tetap memberikan sokongan dan menganggap saya seperti keluarga, dan banyak berkongsi ilmu bersama.

“Saya amat menghargai semangat gotong-royong di kalangan mereka, meskipun ia suatu pertandingan. Di penghujungnya, kami semua pelawak yang berniat untuk menghiburkan hati orang ramai,” katanya, yang juga pernah menyertai pertandingan MLM tahun lalu bersama kumpulan asalnya, Bora.

SUDAH MULA TERIMA TAWARAN DI MALAYSIA

Sering muncul di televisyen setiap minggu, pastinya Mamat juga sudah semakin dikenali di kalangan masyarakat Malaysia dan Singapura. Malah, Mamat juga turut berkongsi rasa terharunya kerana dihargai atas seni lawaknya.

Namun, yang lebih menarik lagi, Mamat kini juga sudah ‘dilamar’ bagi beberapa acara di seberang, bersama kumpulan Masin. Bagaimanapun, tawaran-tawaran tersebut belum dapat diterima setakat ini.

“Kami ingin memastikan agar kami dapat muncul bertiga. Dan buat masa ini, kami semua mempunyai komitmen masing-masing. Saya juga mempunyai beberapa tempahan mengendalikan acara di Singapura termasuk bagi majlis persandingan dan acara Hari Raya nanti,” jelasnya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin menonton beliau di televisyen tempatan, Mamat juga bakal menemui penonton dalam rancangan Super Spontan Upsize pada Julai ini. Selain Mamat, wakil-wakil yang mengambil bahagian dari Singapura, termasuk Isa Bora, Fakkah Fuzz, Nurul Aini dan Haryani Othman.

Mastura Ahmad juga akan bertindak sebagai juri tetap yang mewakili Singapura, dan Suhaimi Yusof juga bakal menjadi hos bagi rancangan tersebut.

Mamat memberitahu BERITAMediacorp: “Saya berharap para pelawak Singapura akan diberi lebih banyak platform untuk beraksi. Di Malaysia contohnya, para pelawak banyak mengendalikan rancangan sebagai hos. Jadi, bakat-bakat muda Singapura juga boleh diberikan peluang sedemikian. Yang penting, sentiasa yakin, sering ‘buat homework’, rajin bertanya dan harus berani mencuba.” 

(Gambar-gambar/ video: Mamat Bora/ Instagram)

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan