Skip to main content

Iklan

Iklan

Lydiawati diberi amaran keras gagal hadir awal ke mahkamah

Mahkamah Majistret Ampang memberi amaran keras kepada pelakon popular era 1980-an, Lydiawati, kerana gagal hadir awal di mahkamah hari ini (24 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Lydiawati diberi amaran keras gagal hadir awal ke mahkamah

Lydiawati. (Gambar: AyangDia Saimon/Facebook)

Diterbitkan : 24 Jun 2016 11:24PM Dikemas Kini : 24 Jun 2016 11:32PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang memberi amaran keras kepada pelakon popular era 1980-an, Lydiawati, kerana gagal hadir awal di mahkamah hari ini (24 Jun).

Lydiawati hadir di mahkamah untuk sebutan kesnya yang menghadapi tuduhan mencederakan seorang wanita menggunakan besi, Mac lepas.

Majistret Haslinda A. Raof memberi amaran itu selepas Lydiawati, 51, atau nama sebenarnya Salina Zaimon, yang memakai jubah dan bertudung hitam dipanggil ke kandang tertuduh pada pukul 11.43 pagi.

Ketika ditanya Majistret Haslinda, Lydiawati memberi alasan punca kelewatan adalah kerana dia baru sahaja diberitahu yang dia perlu hadir di mahkamah hari ini.

Majistret Haslinda kemudian bertanya bagaimana tertuduh tidak tahu dia perlu hadir di mahkamah hari ini sedangkan mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes pada prosiding lepas.

Peguam Fatimah Zahrah Ramli yang mewakili Lydiawati memaklumkan tertuduh menunggu pegawai penyiasat (IO) menghubunginya sebelum hadir di mahkamah.

"Itu bukan tanggungjawab IO, itu tanggungjawab tertuduh sendiri. Saya batalkan waran tangkap dan memberi amaran keras, jika lain kali terlewat lagi, saya naikkan jaminan," kata Majistret Haslinda.

Terdahulu, mahkamah yang mula bersidang pada 9.00 pagi memanggil pelakon itu pada pukul 10.37 pagi dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana tertuduh dan penjaminnya tidak hadir.

Bagaimanapun pada pukul 11.13 pagi, Lydiawati tiba di mahkamah ditemani seorang rakan.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memaklumkan dokumen berkaitan kes itu sudahpun diserahkan kepada pihak pembelaan.

Pada 16 Mei lepas, Lydiawati yang terkenal menerusi filem 'Suami, Isteri dan....' mengaku tidak bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Sharifah Harnizam Wan Musa, 43, seorang peniaga warga Brunei dengan memukulnya menggunakan besi.

Ibu tunggal dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel Safari 2, Jalan Mamanda 9, Ampang di sini, pada 6.30 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Mac lepas, Lydiawati memuat naik dua video menunjukkan dirinya memukul seorang wanita dalam akaun Facebook miliknya sehingga ia menjadi viral.

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan