Images
  • malique album
    Kulit album 'Malique TKO: Pejamkan Mata'. (Gambar: Facebook/Warner Music Malaysia (Domestic))

Kulit album lelaki bermata tiga bukan Dajjal, kata Malique

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan penggubah lagu Malaysia, Malique menafikan bahawa kulit album terbarunya menyerupai makhluk Dajjal.

Kulit album 'Malique TKO: Pejamkan Mata' mencetuskan kontroversi gara-gara memaparkan seorang lelaki bermata tiga memakai fon kepala, dengan mulutnya ditutup dengan pelitup besi.

Malique memberitahu mStar Online bahawa bukan Dajjal yang ingin dipaparkannya, sebaliknya mata ketiga itu membawa maksud mata hati.

Mesej yang ingin disampaikan tambah beliau lagi, ialah jangan menghukum sesuatu menerusi mata kasar sahaja, tetapi turut menggunakan mata hati.

"Mungkin ramai tidak tahu mesej cuba disampaikan iaitu jangan menghukum sesuatu hanya pada luaran dan permukaan.

"Sebaliknya pandang dengan mata ketiga iaitu mata hati untuk menyelami dasarnya dan memahami isinya," ujarnya kepada mStar Online.

Kulit album dengan lelaki bemata tiga itu sebelum ini menerima cemuhan orang ramai kononnya kerana ia menyerupai Dajjal.

Bagaimanapun, meskipun menimbulkan kontroversi, album tersebut habis terjual dalam beberapa minggu sahaja, menurut laman itu lagi. 

- Agensi berita/nd

Komen Anda?

Top
>