Images
  • Teo

Kecoh bila pengarah filem David Teo ditampar depan Najib Razak

PUTRAJAYA: Kecoh seketika apabila pengarah filem, David Teo, ditampar oleh seorang pelakon mapan, Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over kerana dipercayai bersikap "kurang ajar" di hadapan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

Insiden itu berlaku semasa Encik Teo cuba bertanya soalan kepada Encik Najib dalam satu sesi Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan) yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya semalam (17 Mei).

Encik Teo, yang juga pemilik syarikat penerbitan Metrowealth International Group (MIG), dilihat bertegas mahu bertanya kepada moderator dialog iaitu pelakon Rosyam Nor namun tidak diendahkan. Ketika itu juga kelibat Mat Over kelihatan dari belakang pentas menuju ke arah beliau lalu menamparnya, lapor laman Astro.


"SAYA AMAT MALU" - PAK NIL

Personaliti televisyen, Aznil Nawawi, yang turut menghadiri sesi dialog tersebut berkata: "Saya duduk di belakang Datuk Seri Najib. Kami agak terperanjat.

"Ia berlaku secara tiba-tiba. Mungkin ada amarah tersimpan lama dan dihuraikan di situ, apabila David bangun dan meminta kebenaran untuk bercakap, melalui pengacara dialog iaitu Rosyam Nor."

"Tiba-tiba dalam proses untuk mendapatkan kebenaran untuk bercakap, menyuarakan pendapat, kepada perdana menteri Mat Over yang datang daripada arah belakang saya, berjalan dengan tangkas ke hadapan melintasi orang ramai," Aznil memberitahu Astro Awani.

Kecewa dengan kejadian tersebut, Aznil, atau senang dikenali sebagai Pak Nil, berkata: "Saya amat malu dengan kejadian tadi. Kita bercakap tentang transformasi dan platform itu menjadi gelanggang yang tidak sepatutnya berlaku berdasarkan apa yang telah terjadi.

"Ini bukan menggambarkan industri hiburan tanah air. Kita sepatutnya berbincang tentang transformasi industri untuk maju ke hadapan.

"Bagaimana kerajaan mahu fikirkan kemajuan negara jika kita tidak bersatu pada platform untuk perbincangan awal," tambah Aznil.

"KITA BERCAKAP DENGAN 'KEPALA' NEGARA"

Dalam pada itu, Mat Over menyifatkan tindakan beliau menampar Encik Teo sebagai tindakan rasional dan tidak berniat jahat, lapor Astro Awani.

Beliau mempersoalkan tindakan Encik teo yang dilihat bercakap kasar kepada Encik Najib.

"Kita orang Melayu. Kita ada budi pekerti. Kita bercakap dengan 'kepala' negara. Perdana Menteri Datuk Seri Najib sebagai tuan rumah mengajak kita mencurah luahan kita kepada beliau.

"Mengapa kita harus bercakap kasar dengan beliau (Datuk Seri Najib) sebagai tuan rumah?" kata Mat Over ketika dihubungi Astro AWANI.

Sengketa mereka bagaimanapun tidak berpanjangan apabila Encik Teo dan Mat Over dilihat bersalaman dan berdamai seketika kemudian. 

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top