Images
  • cefbob1
    Chef Bob dengan rombongan BAPA menghulurkan bantuan kemanusiaan di kem pelarian di Bangladesh. (Gambar: Ihsan Chef Bob/ Ustaz Shahib Amin)

"Kanak-kanak tidak harus derita begitu"- Chef Bob titis airmata bantu pelarian di Bangladesh

BERITAMediacorp: Bayangkan. Beratus-ratus pelarian Rohingya berpusu-pusu beratur di bawah terik matahari untuk sesuap nasi. Bukan sahaja berkaki ayam, mereka juga terpaksa menggendong bayi yang tidak henti-henti menangis. Semua ini dalam persekitaran yang penuh debu dan berlumpur demi menyambung hayat mereka.

Begitulah keadaannya di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh seperti yang dikongsikan personaliti tempatan Chef Bob semasa lawatan lima harinya ke Bangladesh.

Beliau berada di Bangladesh dari 22 hingga 26 Oktober bagi bantuan kemanusiaan bersama rombongan BAPA. Ini termasuk ketua unit pembelajaran BAPA, Ustaz Fizar Zainal; penyelaras kemanusiaan BAPA, Muhammad Redzuan dan Ustaz Shahib Amin dari Syukran.com.

Chef Bob meluahkan perasaan dengan BERITAMediacorp: "Kasihan. Kanak-kanaklah yang banyak menderita. Sebilangan mereka dalam keadaan telanjang. Tiada kemudahan kebersihan. Ada yang menangis, tapi yang lain sudah seperti tiada emosi lagi. Sehingga ke tahap itu."

Setakat sehingga kini, lebih 600,000 orang Rohingya sudahpun melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh sejak serangan dan penindasan oleh tentera Myanmar. Keganasan baru turut meletus di Rakhine pada 25 Ogos lalu antara pemberontak Rohingya dan tentera Myanmar.


BERHASIL BEKALKAN 3 TAN MAKANAN, PERUBATAN

Dengan berbekalkan wang yang disumbangkan kepada pengumpulan dana 'Bantuan Kecemasan Rohingya BAPA', mereka berhasil membeli sebanyak 1,500 hingga 2,000 pek makanan.

Jumlah pek-pek yang dibeli di Bangladesh itu beranggaran 3 tan. Ini termasuk beras, kacang lentil, minyak masak, garam dan gula serta bekalan perubatan.

"Adalah lebih mudah dan murah untuk dilaksanakan sebegitu berbanding mengangkut kesemua bekalan dari Singapura, yang memerlukan lebih banyak pelepasan dan perkhidmatan penerbangan," jelas Chef Bob.


HALANGAN DEMI HALANGAN TIDAK LUNTURKAN SEMANGAT

Meskipun begitu, tidak semuanya berjalan bagi lancar bagi mereka. Chef Bob memberitahu BERITAMediacorp bahawa penerbangan mereka yang sepatutnya berangkat dari Dhaka ke Cox's Bazar pada jam 8.00 pagi dilengahkan tujuh jam kemudian, sehingga jam 3.00 petang.

Ini selepas Ratu Jordan baru sahaja mendarat di Cox's Bazar bagi melawat kem pelarian itu dan semua penerbangan di lapangan terbang tersebut terpaksa digantung.

Meskipun lewat tiba di Cox's Bazar, mereka terpaksa bergegas ke Kem Pelarian Balukali bagi meninjau-ninjau dahulu tapak tersebut.


"Bayangkan satu lorong di jalan raya Singapura bagi laluan dua hala. Jalan raya ke kem itu juga sesak dan berlumpur. Seluruh kawasan itu turut dibanjiri kaum Rohingya dan pelbagai pertubuhan bukan pemerintah lain dari serata dunia.

"Kami juga ditahan di pusat pemeriksaan keselamatan dan tidak dibenarkan masuk, tapi akhirnya tetap diberi keizinan. Kemudian kami harus mendaki 20 minit lagi kerana kawasan kem itu tidak dapat dimasuki kenderaan," kongsi Chef Bob.

TIDAK DAPAT AGIHKAN MAKANAN TANPA KEHADIRAN TENTERA

Pada 24 Oktober, mereka hanya dibenarkan menghulurkan bantuan perubatan, dan bukan bantuan makanan, atas sebab-sebab keselamatan.

Ini selepas tentera Bangladesh diberikan hari cuti selepas lawatan Ratu Jordan sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, mereka berhasil membantu sekurang-kurangnya 300 orang Rohingya, dengan sebahagian besar mereka merangkumi wanita dan kanak-kanak.

Usaha ini turut dibantu oleh Dr Fadzil Jaafar dan pasukannya dari Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Islam (MHPA) dari Singapura.


"Berdasarkan diagnostik Dr Jaafar, terdapat peningkatan bagi kes demam campak, selain antaranya taun dan kekurangan nutrisi," dedah Chef Bob.

Pada hari berikutnya, mereka akhirnya berjaya mengagih-agihkan pek makanan pada sebelah pagi kepada penduduk Rohingya. Bekalan tersebut turut dijangka dapat bertahan selama dua minggu.

Rombongan BAPA bagaimanapun terpaksa bergegas untuk menaiki penerbangan ke satu lagi kem pelarian di Shamlapur pada hari yang sama, iaitu pada 25 Oktober juga.

Mereka sudahpun selamat sampai di Singapura pada pagi 26 Oktober (Khamis).


CHEF BOB TITIS AIRMATA DEK KEADAAN KANAK-KANAK ROHINGYA

Mengakui semakin memiliki naluri kebapaan sejak dikurniakan anaknya Umar, Chef Bob berkongsi bahawa beliau terjejas selepas melihat penderitaan kanak-kanak Rohingya.

"Saya menangis dalam diam selepas melihat keadaan kanak-kanak itu.

"Bagaimanapun, memandangkan kami mempunyai amanah yang harus dijalankan, kami harus tabah dan tidak boleh terbawa-bawa oleh perasaan. Itulah juga nasihat Ustaz Fizar kepada saya sejak awal lagi.


"Agak sukar bagi saya tetapi lama-kelamaan saya menjadi lebih terbiasa," dedah Chef Bob.

Walaupun pelbagai halangan yang terpaksa dilalui mereka, Chef Bob tetap mengulas bahawa Bangladesh banyak memberikan tolak ansur. Ini meskipun kaum Rohingya bimbang tentang keselamatan mereka sedang lebih ramai penduduknya yang melintasi sempadan.

"Sebenarnya, kanak-kanak ini sudah dibelenggu penderitaan tersebut sejak 12 tahun lalu. Kaum Rohingya sudah ditindas sejak bertahun-tahun lamanya, tetapi tahun ini adalah yang paling teruk.

"Saya benar-benar terharu. Saya tidak tahu apa yang harus saya rasakan sekarang. Wanita dan kanak-kanak tidak harus menderita sebegitu," luah Chef Bob kepada BERITAMediacorp.


(Gambar-gambar: Ihsan Chef Bob/ Ustaz Shahib Amin)

Meskipun demikian, Chef Bob sempat berkongsi gambar yang menunjukkan kanak-kanak Rohingya tersenyum riang. Mungkin di sebalik segala keperitan yang dialami mereka, masih terdapat sinar harapan bahawa kebahagiaan bakal menjelang bagi kaum Rohingya.

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top