Images
  • shahir
    Shahir, juara Akademi Fantasia musim ke-8. (Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

Juara AF musim ke-8 buka mulut sedia nikahi Erra Fazira

KUALA LUMPUR: Selepas berteka-teki tentang cintanya dengan Erra Fazira, juara program Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir akhirnya mengakui hubungannya dengan pelakon itu berada dalam fasa serius.

Dalam petikan laporan mStar, Shahir yang ditemui ketika hadir pada pertandingan akhir Gema Gegar Vaganza musim pertama, memberitahu beliau juga sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang dengan pelakon tersebut.

"Apa yang boleh saya katakan doakan agar hubungan kami dipermudahkan dan Insya-Allah apabila tiba masanya saya akan kongsi dengan semua," katanya kepada mStar.

Ditanya mengenai pendiriannya yang enggan membuka mulut mengenai kesahihan hubungannya dengan Erra sebelum ini, Shahir berkata beliau berasa malu untuk berkongsi kisah peribadi.

Malah kata Shahir, seperti ditukil dalam laporan mStar, beliau berasa bersalah apabila Erra yang terpaksa menjawab semua soalan mengenai hubungan mereka.

"Saya tidak keberatan untuk bercakap mengenainya jika ditanya tetapi saya akui memang saya segan hendak bercakap soal peribadi.

"Jujurnya memang saya simpati dengan Erra yang terpaksa menjawab seorang diri tentang hubungan kami," ujarnya.

Awal dari itu, Erra Fazira berkata kepada mStar, beliau belum lagi memikirkan secara serius soal cinta dan meletakkannya kepada ketentuan Allah.

- Agensi berita/im

Komen Anda?

Top