Images
  • Jalaluddin Hassan
    Jalaludin Hassan bersedia berumah tangga lagi. (Gambar: Jalaludin Hassan/Instagram)

Jalaludin Hassan sedia buka pintu hati selepas setahun pemergian isteri

KUALA LUMPUR: Genap sudah setahun isteri tercinta meninggal dunia dan pelakon Jalaludin Hassan melahirkan bahawa pintu hatinya sudah dibuka semula untuk menerima teman hidup yang baru.

Berkongsi detik-detik permulaan pengenalan beliau dengan seorang janda berusia 44 tahun, Jalaludin berkata semuanya bermula dengan ucapan 'Selamat Menyambut Bulan Ramadan' yang dikirimkan menerusi laman Facebook pada bulan Ramadan lalu, lapor laman Utusan.

Jalaludin berkata beliau selesa berkawan dengan wanita itu dan tidak menolak untuk mendirikan rumah tangga dengannya.

Sekalipun begitu, pelakon berusia 63 tahun itu tidak mahu memikirkan soal berkahwin hanya selepas genap setahun pemergian isterinya, Hasimah Mat Ehsan, yang meninggal dunia pada November tahun lalu.

"Bila kehilangan arwah, hidup saya seolah-olah tidak bererti lagi. Hidup mesti diteruskan. Selama ini saya hidup dengan arwah isteri dah 40 tahun dan tidak pernah kenal dengan mana-mana wanita.

"Semasa saya buat solat sunat istikarah, saya terlihat bayangan ciri-ciri arwah isteri ada pada wanita itu.

"Anak-anak tidak menghalang malah turut menasihati saya untuk berkahwin lagi kerana tahu tentang keadan diri yang memerlukan seseorang untuk menjaga saya.

"Malah tiap kali ayah (Tan Sri Hassan Azhari) berjumpa saya, beliau akan menangis menyuruh untuk buka pintu hati untuk orang lain," katanya kepada Utusan Online.


Wanita yang dikenali sebagai YR itu berasal dari Serkam, Melaka dan merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak.

Menurut Jalaludin, beliau tidak merancang untuk mengadakan majlis besar-besaran dan memadai dengan yang wajib sahaja, lapor Utusan.

"Insyallah, kalau jodoh kami panjang, saya tak berhajat nak buat majlis yang besar. Sederhana cukuplah dan dahulukan perkara wajib.

"Saya bertemu kali pertama dengannya pada acara rumah terbuka Aidilfitri lalu atas undangan teman rapat. Rupa-rupanya beliau adik kepada rakan baik saya.

"Kalau boleh ayah nak saya kahwin bulan ini (Oktober) tapi saya mohon padanya untuk cukupkan setahun pemergian arwah isteri kemudian barulah fikir langkah seterusnya," ulasnya dalam laporan Utusan itu. 

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top