Images
  • mamat bora5
    Mamat Bora tampil sebagai satu-satunya wakil Singapura dalam pertandingan mingguan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017. (Gambar: Mamat Bora/ Instagram)

Jadi ‘Masin’: Mamat Bora, satu-satunya wakil S’pura dalam Maharaja Lawak Mega 2017

BERITAMediacorp: Pelawak Mamat Bora memberanikan diri untuk menjadi satu-satunya wakil Singapura dalam pertandingan mingguan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017. Kini beliau sudah melangkah masuk ke minggu keempat pertandingan!

Meskipun tidak dapat bertanding sebagai satu kumpulan, Mamat, sebagai salah seorang daripada anggota Bora, tetap bertegas untuk menyertakan nama kumpulannya di pentas komedi Malaysia itu.

Malah, beliau sebenarnya sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai MLM 2017 setelah dua anggota Bora diberitahu akan dipanggil semula bagi kerahan Perkhidmatan Negara tidak lama lagi.

Bagaimanapun, tawaran yang diberikan untuk bergabung sebagai satu kumpulan dengan dua peserta lain dari negara-negara berbeza, akhirnya diambil juga pada saat-saat akhir dengan sokongan anggota Bora yang lain, keluarga dan sahabat-handai.


MAMAT DAPAT RESTU DARI BANYAK PIHAK

Ketika dihubungi BERITAMediacorp, Mamat berkongsi: “Memang agak sedih apabila tidak dapat bertanding sebagai satu kumpulan. Dan kami bercadang untuk tidak menyertai pada mulanya kerana saya harus bertahan sendiri bagi satu minggu itu jika rakan-rakan lain dipanggil semula bagi ‘reservist’.

“Tetapi pada hari terakhir sebelum penyertaan ditutup, penerbit Astro menghubungi saya dengan tawaran untuk disatukan bersama seorang pelawak dari Indonesia dan seorang dari Malaysia.”

Mamat menambah, beliau mendapat sokongan daripada pengurus, ibu, serta pihak majikannya.

Malah anggota Bora yang lain juga memberikan restu dan turut menggalakkan Mamat untuk mewakili Singapura.

“Memang rasa terharu kerana dijemput masuk, dan saya juga bersyukur kerana mempunyai teman-teman yang tidak menghalang rezeki rakan-rakan lain,” kongsi beliau lagi.

Mamat Bora kini menganggotai kumpulan Masin dalam MLM 2017, sekaligus menjadi kumpulan pertama dalam sejarah pertandingan itu dengan tiga peserta dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.


MASIN KUMPULAN BERBILANG NEGARA

Turut dianggotai oleh Vicha dari Indonesia dan Jiggy dari Malaysia, Mamat juga menganggap gabungan bagi kumpulan Bora itu sebagai satu rahmat.

Masin merupakan salah satu dari 15 kumpulan yang bertanding bagi merebut gelaran Juara Maharaja Lawak Mega yang baru.

“Keserasian adalah sangat penting, dan Alhamdulillah kami dapat bergabung dengan baik. Tidak wujud sikap menunjuk-nunjuk antara kami. Jika tercetus satu idea, kami akan kembangkan idea itu bersama-sama,” katanya, yang juga berkhidmat sebagai seorang pegawai pelatih sepenuh masa di Gerakan bagi Golongan Kurang Daya Intelektual Singapura (MINDS).

Ini juga merupakan kali kedua Mamat bertanding dalam Maharaja Lawak Mega. Sebelum ini, beliau menyertai MLM 2016 bersama Bora selepas kumpulan itu muncul juara dalam Projek Komedi Warna pada tahun sebelumnya. Bora dapat bertahan selama 10 minggu dalam MLM tahun lalu.


Mamat memberitahu BERITAMediacorp: “Melalui pengalaman tahun lalu, saya mempelajari untuk tidak terlalu mencuba. Tahun lalu, Bora cuba mendapatkan semuanya sempurna, termasuk gerakan ketika di atas pentas.”

“Tetapi tahun ini, kami mengikut keselesaan masing-masing, dan juga mengikut arus sketsa tersebut. Yang penting, kami harus ada premis dan watak masing-masing yang harus dipegang bagi sketsa itu, tanpa memikirkan penghujungnya. Kami hanya ingin berasa seronok di atas pentas,” ceritanya, yang berulang-alik antara Singapura dan Kuala Lumpur setiap minggu.

MAMAT: PERSAINGAN TAHUN INI PALING SENGIT

Juga disertai oleh Juara MLM 2016, Bocey, Juara MLM 2014, Zero, dan Naib Juara MLM 2013, Shiro, Mamat mengaku bahawa persaingan bagi pertandingan tahun ini adalah yang paling sengit.

“Tahun lalu, kami masih boleh meneka kumpulan mana yang bakal melangkah ke peringkat akhir, tetapi tidak bagi tahun ini. Para pelawak yang baru juga tidak kurang hebatnya,” katanya.


(Gambar-gambar: Mamat Bora/ Instagram)

Dalam pada itu, Mamat, yang juga seorang pengacara sambilan bagi majlis-majlis perkahwinan malah berkongsi bahawa beliau ingin memanfaatkan bakatnya dengan sebaik mungkin.

“Saya gemar membuat orang ketawa dan berasa seronok dari dahulu lagi. Mungkin itu cara saya menghiburkan orang lain.

“Harapan saya tentulah untuk ke peringkat akhir. Tetapi saya berharap agar setiap persembahan kami dapat diterima penonton kerana kami ingin menghiburkan semua orang. Sekiranya dapat melayakkan diri ke peringkat akhir, memang syukur Alhamdulillah,” katanya lagi kepada BERITAMediacorp, meluahkan segunung harapan.

Seandainya mulut Mamat terbukti ‘Masin’, beliau mungkin mencatat satu lagi mercu tanda bagi dunia lawak Singapura.

Maharaja Lawak Mega 2017 disiarkan secara langsung di Astro Malaysia setiap Jumaat pada 10.00 malam. 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top