Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Isu gelaran 'Datuk': Hans Isaac terguris disindir Zizan

Pelakon Datuk Hans Isaac 'benar-benar kesal' dengan eleman gurauan hos malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) iaitu Zizan Razak yang dianggap keterlaluan.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu gelaran 'Datuk': Hans Isaac terguris disindir Zizan

Datuk Hans Isaac dan Zizan Razak. (Gambar: Hans Isaac/ Instagram)

Diterbitkan : 25 Sep 2017 04:48PM Dikemas Kini : 25 Sep 2017 04:59PM

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Hans Isaac 'benar-benar kesal' dengan elemen gurauan hos malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) iaitu Zizan Razak yang dianggap keterlaluan.

Dalam petikan laporan mStar pada Ahad (24 Sep), menurut Hans, 46, sebagai seorang pengacara yang mengendali anugerah berprestij, Zizan tidak seharusnya membuat lawak jenaka sebegitu sehingga menjejaskan imej dan namanya.

"Terus-terang saya memang kecewa Zizan membuat lawak mempersoalkan gelaran Datuk yang saya terima daripada Sultan Pahang.

"Lawak tersebut telah membuatkan nama dan imej saya terjejas. Dia sebagai seorang pelawak tidak seharuskan menggunakan elemen lawak sebegitu.

"Dia bukan sahaja mempertikaikan kredibiliti saya tetapi juga Sultan," kata Hans ketika dihubungi mStar pada Ahad (24 Sep).

"SAYA TIDAK GURAU KETERLALUAN" - ZIZAN

Hans diminta mengulas statusnya di Instagram miliknya sebaik sahaja FFM29 tamat yang antara lain mempersoalkan kredibiliti Zizan sebagai hos acara itu.

Selain Hans, pelakon Datuk Eizlan Yusof juga turut terkena gurauan serupa.

Dalam anugerah itu, Zizan secara berjenaka mengusik gelaran Datuk diperoleh pelakon berkenaan dibeli.

Kata Hans, beliau hanya mempertahankan rakan-rakan industri yang juga membawa gelaran yang sama.

Tambahnya lagi, gelaran tersebut diterima atas usahanya sendiri selama 25 tahun dalam industri seni tanah air.

"Saya hanya memberitahu perkara yang benar dan mempertahankan rakan-rakan yang lain. Dia tidak sepatutnya memperkecilkan kredibiliti orang lain.

"Saya terima gelaran ini secara profesional atas usaha saya selama 25 tahun di dalam industri seni.

"Macam-macam saya usahakan untuk memajukan industri. Bukan saya meminta-minta sendiri gelaran tersebut," ujarnya kepada mStar.

Hans menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada tahun lalu bersama dua orang selebriti iaitu Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Ziela Jalil.

HANS TERIMA PEMOHONAN MAAF ZIZAN

Bagaimanapun, setakat sehingga hari ini (25 Sep), Hans Isaac sudahpun menerima permohanan maaf Zizan, menurut laporan mStar.

Hans berkata beliau sudah berbincang dengan pelawak tersebut dan mahu melupakan perkara yang terjadi pada malam Ahad.

"Saya dan Zizan sudah berbincang dan dia minta maaf. Saya pun dah maafkan Zizan. Dah berbincang dengan dia.

"Sekarang ini kita pandang ke depan dengan kerja dan kehidupan. Terima kasih," kata Hans kepada mStar.

Menurut Hans lagi, beliau berharap peminatnya dan Zizan dapat menghormati satu sama lain dan tidak menggunakan kata-kata yang kasar di laman sosialnya.

"Saya rasa kita patut hormat satu sama lain. Ini ialah adat kita. Ada kata-kata agak kasar dalam Instagram saya.

"Kepada dua pihak, peminat saya dan Zizan, hormati satu sama lain. Jangan guna kata-kata kasar.

"Maafkan satu sama lain. Antara kami sudah berbincang dan anda semua pun kena selesaikan," ujarnya.  

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan