Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Isteri Jins Shamsuddin amat terpukul dengan pemergian Allahyarham

Andai masa boleh diundur, pastinya cucur kodok pisang tidak dihidangkan sebagai juadah minum petang kepada Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Isteri Jins Shamsuddin amat terpukul dengan pemergian Allahyarham

Puan Sri Halijah Abdullah masih berasa ralat dengan pemergian suami tersayang, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. (Gambar: Petikan skrin dari video)

Diterbitkan : 02 Mar 2017 04:38PM Dikemas Kini : 02 Mar 2017 04:51PM

AMPANG: Andai masa boleh diundur, pastinya cucur kodok pisang tidak dihidangkan sebagai juadah minum petang kepada Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

Demikian menurut balu Allahyarham iaitu Puan Sri Halijah Abdullah, 58, dalam petikan laporan mStar.

Meskipun reda dengan ketentuanNya, beliau masih berasa ralat atas kehilangan suami tersayang kerana cucur kodok pisang itulah dianggap sebagai punca arwah sesak nafas.

“Dah lama dia tak makan cucur kodok pisang. Waktu sihat dulu memang dia suka cucur kodok pisang.

“Tapi sejak dia sakit, saya tak pernah bagi. Tapi pagi tadi (Rabu) hati terasa nak bagi dia makan cucur kodok. Itu yang membuat saya berasa ralat sangat sampai sekarang.

“Walaupun ia adalah takdir Allah, tapi ralat sebab saya yang bagi dia makan,” katanya kepada mStar ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Pasir, Hulu Kelang, di sini lewat malam Rabu.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 5.45 petang Rabu di sebuah klinik di Taman Melawati selepas mengalami sesak nafas ketika minum petang.

Bercerita mengenai detik-detik cemas yang dilaluinya sebelum arwah sesak nafas, Halijah berkata ia berlaku apabila beliau menyuapkan cucur keempat kepada suaminya itu.

“Waktu itu kami di dapur, pukul 5.00 petang, memang waktu dia minum petang. Dia sudah makan sebanyak tiga ketul… tapi apabila disuapkan cucur yang keempat, dia mula senyap.

“Saya suruh dia buang kerana saya dapat rasakan dia tercekik tapi dia tak buka mulut. Saya tepuk-tepuk belakang badannya dan korek cucur itu daripada mulut.

“Selepas saya paksa dia luahkan, saya bagi dia minum dan lepas tu dia muntah hingga tak sedarkan diri. Pada masa itu dia sudah kelihatan pucat,” katanya.

Tambah Cik Halijah lagi, pada mulanya beliau sukar menerima hakikat bahawa suaminya itu sudah tiada lagi buat selama-lamanya.

“Sebenarnya masa di dalam kereta (perjalanan dari rumah ke klinik) saya dapat rasakan dia sudah tiada.

“Tapi saya tetap suruh doktor periksa sampai empat kali kerana tak puas hati. Masa itu masih tak boleh terima.

“Saya tak nak terima hakikat dia dah tak ada hingga saya minta doktor jangan tutup mayatnya kerana menaruh harapan dia akan bernafas semula,” katanya sedih dengan situasi itu.

Menurut mStar, ketika ditanya sama ada Allahyarham ada menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau akan pergi dalam masa terdekat, Halijah berkata tiada sebarang tanda yang ditunjukkan arwah.

“Sebab itu saya terperanjat, ia berlaku tanpa tanda-tanda. Sebagai isteri saya reda, saya puas hati dapat jaga dia dalam tempoh enam tahun ini.

“Walaupun dia tak kenal siapa saya, tapi sampai saat akhir... saya yang suap dia,” katanya.

Allahyarham turut meninggalkan empat orang anak iaitu Muhammad Jafri dari perkahwinan dengan seniwati Rahmah Rahmat, Putera Hang Tuah @ Shazrin dari perkahwinan dengan Jamilah Shukur dan dua anak hasil perkahwinan bersama Halijah iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Dalam tukilan laporan mStar, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 10.30 pagi Khamis di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.

Jenazah terdahulu dibawa dari rumahnya untuk disembahyangkan.

Antara artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Norman Hakim, Datin Marlia Musa, Datuk M. Nasir dan Datuk DJ Dave. 

Sumber : Agensi berita/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan