Images
  • harris topi
    Harris Baba - Zayn Malik versi Singapura. (Gambar: Instagram/ Harris Baba)

Harris Baba - Zayn Malik versi S’pura - terus rancak daki kerjaya seni

BERITAMediacorp: Pendiriannya berubah setelah penyanyi kelahiran Singapura bernama Harris Baba, dicalonkan untuk 3 kategori Anugerah Planet Muzik 2017 tahun ini.

Harris, yang pernah menyertai acara The Final One anjuran saluran 5 Mediacorp di Singapura sebelum ini pernah membuat kenyataan kepada media Kuala Lumpur, seolah-olah beliau tidak diterima di negaranya sendiri, selain dari kurang mendapat perhatian di Singapura.

Sudah semestinya jejaka yang pernah muncul dengan single pertama 'Katakan' itu rasa terpukul dengan keadaan sedemikian. Lagu ciptaan penyanyi dan komposer Faizal Tahir berjudul Katakan nampaknya membawa tuah kepada Harriss.

Ia juga sekaligus memperkukuh kedudukan Harris Baba sebagai penyanyi Singapura yang mencuba nasibnya di seberang tambak.

Harris Baba yang dikatakan memiliki wajah iras anggota One Direction iaitu Zayn Malik dicalonkan untuk kategori Ikon Media Sosial, Artis Paling Popular Singapura dan Artis Paling Popular dalam APM yang bakal berlangsung 14 Oktober 2017 nanti.


Harris Baba mendirikan rumahtangga pada tahun 2016 dan menetap di Kuala Lumpur dan kini seorang artis sepenuh masa. Namun beliau harus berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah untuk bertemu isteri Nik Naziha dan bayi mereka.

HARRIS KECIL HATI DEK LAGU ‘TIDAK DIMAINKAN’ DI S’PURA

Apakah benar beliau merajuk dan membawa diri ke Kuala Lumpur kerana kurang mendapat perhatian di Singapura?

'Bukan merajuk tapi saya diberi lebih banyak peluang di Malaysia. Sebab itu saya pindah ke Malaysia supaya lebih senang untuk saya kerja di Malaysia. Isteri saya di Malaysia jugak jadi lebih senang untuk saya' jelasnya ketika dihubungi di set penggambaran drama terbarunya.

Harris berkongsi dengan BERITAMediacorp bahawa sebelum ini beliau diberitahu oleh pihak dari Malaysia bahawa lagunya 'tidak dimainkan' di radio Singapura. Perkhabaran ini membuatnya tertanya-tanya jika benar apa yang disampaikan kepadanya.

Namun, ia lenyap sahaja kerana ternyata ia tidak benar sebenarnya apabila beliau mendapat maklum balas dari beberapa individu yang mengatakan mereka suka dengan lagu Harris Baba di Singapura.


Ternyata, lagu Harris tetap ke udara di stesen-stesen radio Melayu di Singapura sehingga mendapat perhatian penggemar-penggemarnya di Singapura.

Terangnya secara jujur: "Itu adalah langkah yang baik dari radio Singapura untuk putarkan lagu saya jadi saya rasa lebih dihargai. Untuk itu, saya ingin mengucapkan terimakasih."


DARI NYANYIAN KE DRAMA 18 EPISOD

Selain menyanyi, jejaka kacak yang dilahirkan pada tahun 1991 ini turut bersyukur diberi watak utama buat pertama kalinya untuk sebuah drama 18 episod terbitan produksi Malaysia. Harris masih lagi sibuk dengan penggambaran drama tersebut kini.

Beliau pernah mendapat 2 pencalonan untuk APM 2016 sebelum ini. Sudah tentunya beliau cukup gembira apabila dicalonkan sekali lagi untuk tahun 2017 untuk 3 kategori pula.

"Menang atau tidak menang tidak penting bagi saya. Yang penting saya dapat pencalonan lagi. Saya sangat gembira saya dibagi peluang lagi. Ia sesuatu yang baik bahawa pihak Singapura telah mula untuk mengenali saya lebih kini dan bagi saya lebih banyak peluang untuk lebih aktif di Singapura,” kata Harris kepada BERITAMediacorp.


Harris turut melahirkan harapan agar beliau dapat memperolehi lebih banyak sambutan di Singapura selepas ini . Single keduanya berjudul Parah sedang giat dipromosikan di seluruh Malaysia dan MTV lagu sudahpun dilancarkan baru-baru ini.

Meskipun kurang mendapat perhatian di Singapura sebelum ini, beliau cukup berbesar-hati dan gembira mendapat pencalonan untuk kategori Artis Paling Popular (Singapura) 2017.

"Ia sesuatu yang besar bagi saya untuk dapat pencalonan ini. Saya memang tak aktif sangat di Singapura. Alhamdulillah saya rasa gembira dan rasa lebih dihargai,” akui Harris.

MAHU BANYAK LAGI PENCALONAN APM 2018

Jika para penyanyi lain turut mempunyai harapan untuk dicalonkan setiap tahun bagi Anugerah Planet Muzik (APM) anjuran Mediacorp Suria, Warna 94.2FM dan RIA 89.7FM, Harris Baba tidak terkecuali.

"Tahun lepas dua pencalonan. Insya Allah pada masa hadapan saya akan dapat lagi banyak pencalonan,” komen Harris penuh optimis.


(Gambar-gambar: Instagram/ Harris Baba)

Yang pasti, pencalonan kali ini terus membakar lagi semangat beliau untuk memberikan produk yang terbaik khas untuk penggemar muzik beliau!

Peminat boleh membuat undian untuk kategori-kategori popular APM 2017 dari 22 Ogos sehingga 14 Oktober,10.00 malam di toggle.sg/apm.

Tiket berharga $28 dan $48 boleh diperolehi di kesemua cawangan Sistic di seluruh Singapura dan secara online di www.sistic.com.sg untuk APM 2017. 

- BERITAMediacorp/FH/ru

Komen Anda?

Top