Images
  • harris baba anak melecur
    Gambar: Harris Baba/Instagram

Harris Baba saman butik LV selepas penutup lampu siling jatuh, anak melecur

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Singapura, Harris Baba bertekad untuk mengambil tindakan guaman terhadap butik Louis Vuitton (LV) yang terletak di The Gardens Mall di Mid Valley City selepas anaknya cedera terkena penutup lampu siling yang jatuh di butik berkenaan.

Harris Baba memuat naik gambar kecederaan yang dialami anaknya, Aleena Ziya di laman sosial Instagram pada Isnin lalu (30 Okt).

Akibat kejadian yang berlaku itu, anak Harris Baba, Aleena Ziya yang berusia sembilan bulan melecur di muka dan tangan.

“Sepatutnya sebuah butik antarabangsa mengambil berat keadaan butik mereka. Bayangkan jika bekas lampu itu terkena bahagian mata anak saya, mungkin perkara lebih teruk akan terjadi.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan sudah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Harris atau nama sebenarnya Khawaja Mohammad Harris Baba, 27 tahun, juga memberitahu bahawa akibat daripada kejadian tersebut, anaknya bukan sahaja melecur tahap dua malah beliau dan isterinya juga berada dalam keadaan trauma.

“Ketika kejadian anak saya menangis tidak berhenti-henti sehingga menyebabkannya susah bernafas. Saya dan isteri terpaksa berkejar ke tiga buah hospital untuk mendapatkan pakar kulit untuk melihat keadaan anak saya.

“Lebih menyedihkan, isteri saya berada di Kuala Lumpur untuk memberi kejutan kepada saya sebab saya baru pulang dari Dubai selepas selesai penggambaran. Akhirnya kejadian begini berlaku... saya sangat kecewa,” katanya.

- CNA/Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top