Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hannah Delisha cipta fenomena di M'sia; peluang 'cerah' terus bina kerjaya

Jika sebelum ini beliau hanya dikenali di kalangan para penggemar seni Singapura, kini namanya bukan sahaja semakin melonjak naik malah kian menjadi sebutan ramai di seberang Tambak sejak akhir-akhir ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Hannah Delisha cipta fenomena di M'sia; peluang 'cerah' terus bina kerjaya

Pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha. (Gambar: Hannah Delisha/ Instagram)

BERITAMediacorp: Jika sebelum ini beliau hanya dikenali di kalangan para penggemar seni Singapura, kini namanya bukan sahaja semakin melonjak naik malah kian menjadi sebutan ramai di seberang Tambak sejak akhir-akhir ini.

Bukan sekadar tertarik dengan kecantikannya, ramai bahkan kagum dengan lakonannya yang berkesan dalam siri drama Mencintaimu Mr Photographer meskipun masih bergelar bakat baru.

Yang jelas, watak Aira Qaisara membawa tuah kepada pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha, yang mempunyai kacukan Melayu-Inggeris ini.

"Saya mendapat lebih banyak sokongan dari para penyokong dan pengikut. Malah, saya juga mendapat lebih banyak komen positif," kongsinya, semasa ditemui baru-baru ini di sesi ramah mesra bersama peminat di Singapura, anjuran Rosevalley.

Bagaimanapun, dalam usahanya untuk membina kerjaya di Malaysia, gadis cantik itu yang bakal berusia 21 tahun pada 27 Oktober ini, juga akui bahawa perjalanannya tidak akan selalunya mudah. Malah, semasa tempoh penggambaran Mencintaimu Mr Photographer, beliau juga terpaksa kuat menempuhi cabaran sebagai seorang pelakon baru.

"Kami menjalani penggambaran bagi drama itu pada bulan puasa. Jadi saya harus sabar dan reda.

"Watak yang saya mainkan itu sangat mendalam dan 'berat'. Walaupun ada masa watak saya manja-manja dan comel, tetapi semakin masa berlalu, Aira juga melalui pelbagai kesukaran dalam hidup. Dan saya harus memastikan yang saya boleh menyampaikannya dengan baik. Malah, hampir setiap hari saya perlu menjayakan babak menangis," katanya kepada BERITAMediacorp.

HANNAH: KAMI KAN BERJIRAN JUGA

Tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan perbalahan yang sering diperkatakan mengenai para pelakon Singapura yang mencari rezeki di Malaysia, Hannah juga memilih untuk lebih bersyukur dengan peluang yang diberikan kepadanya.

Hannah, yang nama penuhnya ialah Hannah Adlina Blackburne Birch memberitahu BERITAMediacorp: "Bagi saya, bila saya mendapat sesuatu rezeki, saya akan ambil peluang itu. Saya ke Malaysia untuk bekerja dan Alhamdulillah kebanyakan penonton menerima saya.

"Ada juga yang negatif, tetapi disebabkan kebanyakannya adalah komen-komen yang positif, saya sampai tak nampak yang negatif. Saya selesa di sana. Kami kan berjiran juga."

MASIH MENERUSKAN MINAT MENYANYI

Bermula sebagai seorang penyanyi di Singapura, Hannah masih memastikan bahawa minat serta cita-citanya sebagai seorang penyanyi tidak terus terpadam.

Malah, dalam kesibukannya menjalani penggambaran bagi pelbagai projek terkini, Hannah masih tetap meluangkan masa untuk menghasilkan lagu baru buat para peminatnya.

"Saya baru merakamkan single saya yang ke-4, yang bertajuk Esok Masih Ada, yang akan dikeluarkan pada bulan September," kongsinya.

"Cita-cita saya sebenarnya untuk menjadi penyanyi, tetapi rezeki saya lebih kepada berlakon. Syukur Alhamdulillah," jelasnya.

Malah, kejayaannya di negara seberang juga pasti membuat ramai bakat tempatan juga ingin mengikut jejak langkahnya dan mencuba nasib di sana.

"Jika anda mempunyai minat, anda boleh cuba. Tapi selalunya, anda harus pertingkatkan diri dan bersabar.

"Kalau bukan sekarang, mungkin ia akan datang di masa hadapan. Apa yang anda rancang mungkin tidak akan berlaku sekarang. Tapi siapa tahu, mungkin peluang yang lebih baik akan datang pada masa akan datang," ujarnya, yang juga bakal membintangi filem baru bertajuk Langsuir tidak lama lagi.

IBU PENDORONG UTAMA HANNAH

Yang pasti, perjalanan seninya di Malaysia tidak lengkap tanpa sokongon utuh ibunya yang tersayang.

"Di mana saja saya berada, ibu saya akan ikut. Beliau tahu setiap gerak-geri saya dan tahu apa yang pernah saya lalui. Dia sentiasa ada untuk saya.

"Ibu juga sering menasihatkan agar jangan lupa solat, kekal rendah diri dan bersabar. Kalau rezeki itu ada, ada. Kalau tidak ada, tidak mengapa," kongsinya lagi, yang turut menghargai sokongan daripada penyokongnya dari Malaysia dan Singapura.

Bahkan, rezeki pelakon muda ini, yang pernah memenangi Personaliti Wanita Paling Popular di Pesta Perdana yang lalu, terus datang bergolek.

Baru-baru ini, Hannah turut tersenarai sebagai salah seorang calon Artis Paling Popular (Singapura) bagi Anugerah Planet Muzik (APM) yang akan berlangsung di MES Theatre di Mediacorp pada 14 Oktober ini.

PENGARAH: BUKAN ISU NEGARA; PELUANG HANNAH CERAH DI M'SIA

Turut hadir di sesi ramah mesra tersebut ialah pengarah berkaliber bagi Mencintaimu Mr Photographer, Eyra Rahman. Malah, beliau turut mengungkapkan kata-kata pujian kepada bakat Singapura itu.

"Dia cemerlang dan mempunyai bakat. Apa yang saya cakap, dia faham. Gandingannya dengan Syafiq Kyle juga sangat baik.

(Gambar-gambar: Hannah Delisha/ Instagram)

"Bagi saya, ia bukan isu negara. Sebelum ini, saya juga pernah bekerjasama dengan pelakon Singapura seperti Adi Putra, Aaron Aziz dan Atikah Suhaime. Selagi bergelar manusia, ada bakat dan boleh menyampaikannya dengan baik, tak timbul isu bagi saya,” kata Eyra.

Selain berlakon dalam drama-drama di Suria, Hannah juga sudah berlakon dalam siri drama Inggeris di Saluran 5 Mediacorp. Jadi, bagaimana kini peluang Hannah untuk terus mengembangkan sayapnya di seberang tambak? Apakah sepatutnya langkah Hannah sekarang?

"Peluang Hannah cerah. Cuma bagi saya, bagi apa saja peluang yang datang, dia harus pandai pilih, tahu arah tuju untuk naik dan jangan ambil sambil lewa. Dia masih muda, jadi gunakan sebaik mungkin," kongsi Eyra lagi kepada BERITAMediacorp. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan