Images
  • aiman hakim ridza
    Pelakon utama Urusan Hati Cik Drama Queen, Aiman Hakim Ridza. (Gambar: Aiman Hakim Ridza/ Instagram)

"Geli tengok diri sendiri berlakon!" - Kata Aiman Hakim Ridza, hero ‘Urusan Hati Cik Drama Queen’

BERITAMediacorp: Meskipun bermula sebagai seorang penyanyi, rezeki jejaka tampan tinggi lampai ini ternyata lebih melimpah-ruah dalam dunia lakonan.

Bahkan, walaupun perjalanannya dalam pertandingan realiti Mentor enam tahun lalu tidak selancar yang diharapkan, ia tetap dianggap sebagai suatu pengalaman yang baik baginya.

Hero bagi drama Urusan Hati Cik Drama Queen ini bagaimanapun mengaku bahawa beliau berasa agak trauma selepas disingkirkan dalam pusingan keempat dalam pertandingan tersebut.

Aiman Hakim Ridza memberitahu BERITAMediacorp: “Pada ketika itu, saya kurang keyakinan diri dan saya rasa seperti saya tidak melakukan yang terbaik dalam pertandingan itu.

“Walaupun begitu, saya rindu untuk menyanyi dan sedang meningkat keyakinan diri untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian,” katanya, yang menjadi anak didik penyanyi rok Rahim Maarof dalam Mentor 2011.


(Gambar: Scha Al Yahya/ Instagram)

MAKNA 'RASA' DALAM KAMUS SENI AIMAN

Bagaimanapun Aiman tidak menafikan bahawa penghijrahan dari bidang nyanyian ke bidang lakonan adalah suatu yang sukar baginya.

“Memulakan sesuatu yang baru adalah sukar bagi sesiapa sahaja, tak kira dalam bidang apa sekalipun. Tetapi saya mempunyai sikap yang tidak pernah berputus asa dan saya akan terus belajar sehingga prestasi saya meningkat,” katanya lagi, yang pernah menghasilkan single berjudul Bunga Dhia.

Menurut Aiman, cabaran sebenar dalam dunia lakonan adalah untuk mengenal pasti kelemahan seseorang itu sendiri. Malah, beliau juga akan mendapatkan maklum balas daripada keluarga dan sahabat-sahabat untuk mendengar perspektif yang berbeza.

Walau demikian, Aiman tetap merasakan bahawa kedua-dua bidang itu mempunyai lebih banyak persamaan berbanding perbezaan.


(Gambar: Aiman Hakim Ridza/ Instagram)

“Kedua-dua seni itu memerlukan rasa, dan untuk mahir dalam ‘rasa’ itu sebenarnya adalah yang paling sukar untuk kita dapat, tak kira berlakon atau menyanyi.

“Pada awalnya, saya fikir berlakon adalah sesuatu yang mudah. Tetapi selepas saya lebih mendalami bidang lakonan, saya sedar bahawa terdapat lebih banyak perkara yang harus saya pelajari,” katanya, yang masih ingin menghasilkan lagunya sendiri.

HANYA TONTON SEMULA LAKONAN SENDIRI SELEPAS 3 BULAN!

“Sebenarnya, saya tidak segera menonton lakonan saya sewaktu ia sedang ditayangkan. Geli tengok diri sendiri berlakon! Saya hanya menonton semula dan membuat ‘post mortem’ untuk menilai prestasi saya hanya tiga bulan sesudah penggambaran, selepas 3 pagi, dan tanpa sesiapa di sekeliling saya!” kongsinya, yang mula berlakon dalam drama Vanila Coklat.

“Saya lebih mengalu-alukan maklum balas yang negatif sebenarnya, agar saya dapat lebih mempertingkatkan diri,” katanya lagi, yang turut berada di Singapura bagi sesi bertemu peminat bersama pelakon Zara Zya pada Sabtu lalu, anjuran bersama Z.H. Creatives dan Simply by HN.


(Gambar: N6Y SG/ Facebook)

Turut berganding bersama Scha Al Yahya dalam Urusan Hati Cik Drama Queen, Aiman malah kagum dengan sikap profesional yang ditonjolkan ibu kepada Lara Alana itu.

Beliau memberitahu BERITAMediacorp: “Sepanjang berlakon, saya kagum dengan kehebatannya. Walaupun beliau sibuk menguruskan tanggungjawab sebagai seorang ibu, beliau tetap fokus di set penggambaran dan memberikan yang terbaik bagi drama tersebut.”

“Kalau saya seorang wanita, saya tak fikir saya boleh melakukan banyak tugasan dalam satu masa sepertinya,” kongsinya lagi.


(Gambar: Aiman Hakim Ridza/ Instagram)

FILEM PERTAMA LAKONAN AIMAN DITAYANGKAN 30 MAC INI

Juga bakal muncul dalam filem Kimchi Untuk Awak bersama Emma Maembong hujung bulan ini, Aiman berkongsi beliau juga berasa teruja bercampur gementar.

“Orang ramai boleh menjangkakan cinta antara kedua-dua watak ini, serta bagaimana dan mengapa mereka terlalu mencintai antara satu sama lain. Adakalanya sebabnya rumit, tetapi itulah jodoh,” jelasnya.


(Gambar: Aiman Hakim Ridza/ Instagram)

Malah, di sebalik segala penglibatannya dalam bidang seni, Aiman turut berharap bahawa industri lakonan di Malaysia dapat terus menunjukkan peningkatan.

“Saya mengharapkan yang terbaik, bukan bagi saya sahaja, tapi juga agar pelakon-pelakon lain mempunyai misi dan visi yang sama. Saya berharap dapat melihat peningkatan dalam industri dari segi kupasan skrip, penerbitan, lakonan dan arahan.

“Malah, pembikin filem memainkan peranan yang sangat besar. Dan saya rasa bukan saya seorang saja yang ketagihkan produk yang mencabar minda, tetapi penonton Malaysia turut menagih naskhah yang menguji minda mereka. Itu yang penonton inginkan sebenarnya,” katanya kepada BERITAMediacorp. 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top
>