Images
  • fir rahman (1) 16 may 2016
    Pelakon Singapura, Firdaus Rahman di Pesta Filem Cannes ke-69. (Gambar: ALBERTO PIZZOLI / AFP)

Fir Rahman terima satu lagi pencalonan, filem Raihan Halim disenarai pendek bagi usahasama

SINGAPURA: Indonesia akan menjadi fokus utama Pesta Media Singapura (SMF) untuk tahun ini.

Buat pertama kalinya, semua acara komponen SMF - Anugerah Televisyen Asia (ATA), Forum TV & Pasaran Asia (ATF), ScreenSingapore (SS), Pesta Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) dan SMF Ignite, sebuah acara kandungan digital yang baru - akan memberi fokus kepada Indonesia.

Demikian menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan SMF dalam satu kenyataan media hari ini (13 Mac).

Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Afgansyah Reza, akan membuat penampilan di majlis AFA, dan malam ATF juga menjangkakan penyertaan lebih kukuh daripada bakat-bakat dan perniagaan-perniagaan media Indonesia tahun ini, termasuk Surya Citra Televisi, Metro TV, dan Media Nusantara Citra (MNC), tambah kenyataan itu.


(Gambar: Afgansyah Reza/Facebook)

IMDA menyatakan ia adalah sebahagian daripada program baru di bawah SMF, iaitu 'Country-of-Focus', yang mengiktiraf sesebuah negara Asia yang "kaya dengan kisah-kisah, bakat dan pencapaian" di pesta itu setiap tahun.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia terbukti sebagai sumber bertenaga kandungan, bakat dan kisah-kisah yang bagus," kata pengerusi Lembaga Penasihat SMF, Robert Gilby.

Encik Gilby, yang juga pengarah urusan Walt Disney Company di Asia Tenggara, berkata memandangkan mutu bahan kandungan Indonesia dan hakikat bahawa Singapura dan Indonesia menandakan 50 tahun terjalinnya hubungan dua hala dan diplomatik pada 2017, adalah "tepat pada masa" bahawa negara Asia Tenggara itu dipilih sebagai fokus pesta tersebut tahun ini.

Pesta yang diadakan buat kali keempat tahun ini dan dianjurkan IMDA itu akan berlangsung dari 23 November hingga 3 Disember tahun ini.

PELAKON FIR RAHMAN TERIMA PENCALONAN

Kandungan dan bakat Singapura terus "menarik perhatian di seluruh dunia", menurut IMDA, sambil menyebut tentang filem buatan pengarah tempatan Boo Junfeng, 'Apprentice' yang menerima pujian para pengkritik.

Filem itu juga dicalonkan bagi dua kategori anugerah di Anugerah Filem Asia ke-11 yang berlangsung di Hong Kong pada Isnin depan.

Pelakon utama filem itu, Fir Rahman, dicalonkan bagi Anugerah Pelakon Baru Terbaik, sementara penyunting Natalie Soh dari Singapura dan Lee Chatametikool dari Thailand dicalonkan di bawah kategori Anugerah Penyuntingan Terbaik.

FILEM RAIHAN HALIM DALAM SENARAI PENDEK

Sementara itu, IMDA akan menerajui delegasi 23 syarikat Singapura ke Filem dan Pasaran TV Antarabangsa Hong Kong (FILMART), di mana ia akan mempersembahkan lebih 200 jam filem-filem dan kandungan televisyen dari lebih 60 filem dan rancangan televisyen.

Tiga projek filem oleh pengarah-pengarah Singapura juga disenaraipendek bagi usahasama penerbitan bersama dengan "para pembiaya, penerbit, pegawai bank, pengedar dan pembeli filem terkemuka" di rantau ini, menurut IMDA.

Ini termasuk 'I AM A BANANA!' oleh Honey B Singh, 'La Luna' oleh M Raihan Halim dan 'The Rocks of Hua Lamphong' oleh JD Chua.

VETERAN INDUSTRI MEDIA SERTAI LEMBAGA SMF

Mantan timbalan ketua pegawai eksekutif Mediacorp, Chang Long Jong, juga diumumkan akan menyertai Lembaga Penasihat SMF tahun ini.

Encik Chang, veteran industri media yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam penyiaran dan media digital, juga akan memegang jawatan ketua pegawai eksekutif di syarikat hiburan mm2 Asia mulai 3 April, menurut kenyataan media tersebut. 

- CNA/nd

Komen Anda?

Top