Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Fir Rahman: Saya sendiri tidak terfikir yang Apprentice akan mengubah kehidupan saya

Perjalanan seni beliau bertukar arah apabila beliau yang berusia 21 tahun ketika itu menjalani NS dua bulan kemudian. 

Anggaran Waktu Membaca:
Fir Rahman: Saya sendiri tidak terfikir yang Apprentice akan mengubah kehidupan saya

Pelakon utama Apprentice Fir Rahman. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 30 Aug 2016 07:10PM Dikemas Kini : 30 Aug 2016 10:34PM

SINGAPURA: Jika diberi pilihan, pelakon tempatan Fir Rahman ingin memegang watak sebagai seseorang yang terdampar di sebuah pulau.

Dengan begitu ghairah, pelakon utama dalam filem Apprentice itu memberitahu Mediacorp: "Ia sesuatu yang mencabar dan ia meletakkan saya di luar zon selesa saya."

Beliau menambah, "Anda tahu, mungkin seseorang yang lemah dan tidak berdaya, hanyut dibawa arus di tengah lautan. Saya pasti akan lakonkannya!"

Demikian menurut Fir selepas menamatkan persembahan teater bahasa Melayu-Inggeris Geng Rebut Cabinet (GRC).

Dalam masa setahun, pelakon itu yang mula berjinak-jinak dengan dunia teater diberi kepercayaan untuk memegang tiga watak utama - dan ketiga-tiga watak itu mengongsi satu persamaan, dari pegawai penjara Aiman dalam Apprentice, watak Reza Ali dalam drama Lion Moms di Saluran 5 hingga ke Bukhari Ghazali dalam GRC, Fir memegang watak yang berpakaian seragam.

"Wah, itu satu kemajuan," kata beliau.

"Dari seorang sarjan penjara hingga ke seorang mejar tentera dalam Lion Moms dan kini seorang Brigadier Jeneral dalam GRC - apa agaknya pada masa akan datang? Saya rasa kita berhenti di sini sudahlah," seloroh beliau.

Dengan menyifatkan dirinya sebagai seseorang yang "lambat mencipta nama", Fir menambah: "Saya mula berkarya pada 2002 semasa Suria sedang mencungkil bakat baru. Saya menang satu pertandingan, dan dari situlah saya mula mengenali dunia televisyen."

Bagaimanapun, perjalanan seni beliau bertukar arah apabila beliau yang berusia 21 tahun ketika itu menjalani NS dua bulan kemudian.

"Stesen televisyen akan menghubungi saya untuk menawarkan pelbagai watak tetapi saya tidak dapat menerimanya! Saya botak, kulit gelap dan kurus pula - tidak dapat melakukan apa-apa," ujar beliau.

"Maka itu, saya memberitahu mereka bahawa kedudukan saya kurang baik buat masa itu."

Selepas tamat menjalani NS, Fir mengorak langkah untuk berjinak-jinak semula dalam bidang lakonan tetapi hanya ditawarkan watak-watak kecil oleh stesen-stesen televisyen.

"Jadi saya teruskan dengan teater, memperbaiki lakonan saya, tetapi saya rasa berlakon bukanlah cita rasa saya," kata beliau.

"Saya tidak dapat menyokong keluarga saya atau bernikah dengan hasil lakonan saja."

Dan atas sebab itu, beliau mencuba nasib sebagai seorang pramugara Jetstar.

"Bagaimanapun, sesuatu berlaku semasa saya sedang bertugas sebagai pramugara. Abang saya meninggal dunia akibat serangan jantung dan saya perlu berhenti bekerja untuk menjaga ibu bapa saya," jelas pelakon itu.

"Jadi saya tidak ada pilihan lain dan terpaksa berhenti bekerja."

Menurut beliau, itulah titik perubahan yang merubah kerjaya lakonan beliau. Beliau kembali berlakon secara bebas dan sejak itulah beliau diberikan watak-watak yang lebih "berisi".

"Pencapaian terbesar saya sudah pasti Apprentice, yang terus ke Cannes! Apprentice adalah satu peluang besar untuk saya dan saya masih menyifatkannya sebagai batu loncatan. Saya tidak mengatakan saya berada di kemuncak kerjaya saya tetapi ia juga bukan yang terakhir buat saya."

Hampir sedekad dalam industri lakonan, Fir masih berpegang teguh pada satu nasihat yang menjadi pedomannya.

"Semasa saya bekerja di Jetstar, saya memberitahu diri saya, 'Inilah pilihan saya, Saya akan berhenti berlakon buat selama-lamanya. Saya rasa itulah kehidupan saya, tugas saya, mungkin sudah tertulis sebegini dan saya harus bekerja sebagai seorang pramugara walaupun berlakon itu adalah minat saya.

"Kerjaya dalam bidang lakonan mengajar saya untuk terus mencuba dan jangan sekali-kali berputus asa kerana ketekunan akan membuahkan kejayaan. Jangan cepat putus asa jika diberikan watak tertentu.

"Jangan sia-siakan peluang itu, lakukan yang terbaik. Siapalah yang tahu jika ia akan membawa kejayaan besar kepada anda. Saya sendiri tidak terfikir yang Apprentice akan mengubah kehidupan saya."  

Fir beraksi dalam filem Apprentice. (Gambar: Facebook/Apprentice)

Sumber : CNA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan