Images
  • fauziah latiff 1
    Fauziah Latiff. (Gambar: Facebook/Fauziah Latiff)

Fauziah Latiff, Nassier Wahab berangkat tunai haji

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Fauziah Latiff, tidak mahu terlepas peluang menunaikan ibadah haji tahun ini.

Ini adalah kali pertama penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Bagi Fauziah atau lebih mesra disapa sebagai Jee, apabila beliau diundang Allah untuk menjadi tetamuNya di Tanah Suci, lebih baik beliau merebut kesempatan itu kerana itulah detik yang dinanti-nantikan setiap umat Islam, lapor laman Utusan.

Beliau yang terpilih sebagai bakal jemaah haji pada masa yang sama tidak mampu menyembunyikan perasaan sebak dan terharu kerana dipilih menjadi tetamu Allah.

Semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, air mata Fauziah dikatakan tidak berhenti mengalir apabila bersalaman dengan saudara-mara dan sahabat karibnya.

Fauziah yang berangkat ke Tanah Suci bersama ibunya, Ngasiah Ahmad, berkata, beliau terharu kerana ramai kenalannya datang ke KLIA untuk mengucapkan selamat jalan.

“Syukur kepada Allah kerana saya diundang oleh untuk mengerjakan haji. Tidak tahu bagaimana rasanya untuk menyatakan rasa gembira. Dalam masa saya juga sebak kerana tidak sangka menerima undangan ini,” kata Jee dalam laporan Utusan Online.

Fauziah juga mendedahkan beliau berdebar untuk berkunjung ke Baitullah memandangkan ini kali pertama baginya.

“Namun, melalui pembelajaran dan nasihat teman-teman saya yakin dapat melaksanakan ibadah dengan tenang dan lancar. Doakan saya semasa di sana ya,” pinta Jee lagi.

Yang pasti, perjalanan rohani itu akan menjadi satu pengalaman manis dalam hidup beliau kerana berpeluang membawa ibunya bersama.

“Alhamdulillah, saya tidak dapat nak gambarkan betapa bersyukurnya saya kerana berpeluang mengerjakan haji bersama ibu saya,” ujar penyanyi itu kepada Utusan Online.

Fauziah dan ibunya bakal berada di Tanah Suci selama lebih tiga minggu bagi melaksanakan ibadah-ibadah yang dituntut.

Selain Fauziah, turut berangkat menaiki pesawat yang sama ke Jeddah, Mekah semalam (26 Ogos) ialah penyanyi terkenal, Nassier Wahab. 

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top