Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Erma Fatima dan suami sah bercerai dengan talak satu

Selepas melayari bahtera perkahwinan selama 26 tahun, pasangan artis Fatimah Rahmad atau Erma Fatima dan Badaruddin Azmi atau Bade hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Erma Fatima dan suami sah bercerai dengan talak satu

Erma Fatima dan Bade Azmi (Gambar: Instagram Erma Fatima)

Diterbitkan : 17 Aug 2017 05:27PM Dikemas Kini : 17 Aug 2017 05:30PM

KUALA LUMPUR: Selepas melayari bahtera perkahwinan selama 26 tahun, pasangan artis Fatimah Rahmad atau Erma Fatima dan Badaruddin Azmi atau Bade hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaluddin  membenarkan lafaz cerai oleh Pengarah Fotografi Bade selepas berpuas hati bahawa perkahwinan pasangan itu menyaksikan perpecahan dan tidak dapat dipulihkan.

Hakim itu  juga menasihatkan pasangan itu agar tidak bermusuhan dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik pada masa depan.

"Tidak kira apa berlaku jangan biarkan sedikit keburukan menutup semua kebaikan yang pernah ada dalam rumah tangga," kata Hakim Shaiful Azli.

Sebelum lafaz talak disebut, Hakim Shaiful Azli memberi peluang kepada pasangan itu untuk bersalaman dan bermaafan buat kali terakhir sebagai suami isteri.

Bade dengan riak wajah bersahaja menghulurkan tangan kepada Erma Fatima, pengarah dan penerbit filem serta drama, yang kelihatan sedih.  

Mereka berpelukan seketika sebelum Bade melafazkan cerai terhadap pelakon yang kini popular dengan watak 'Mok Cun' itu.

Bade, 53 tahun, memfailkan permohonan penceraian pada 10 Ogos lepas mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor selepas dikatakan berlaku ketidaksefahaman antara pasangan itu. 

Pasangan yang bernikah pada 30 Nov 1991, itu mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 24 tahun, Ahmad Arir, 22 tahun, Ahmad Aifin, 20 tahun, Citra, 15 tahun, dan Nurain berusia 11 tahun.

Erma Fatima, 49 tahun, yang diwakili peguam Syarie Datuk Jamal Mohd Lokman Sulaiman sebelum ini pernah memfailkan penceraian pada Mei 2015 di mahkamah yang sama bagaimanapun beliau menarik balik permohonan itu kerana tiada kesungguhan di pihak Bade untuk bercerai.

Bade yang tidak diwakili peguam datang bersendirian ke mahkamah pada pukul 10.30 pagi, kira-kira 20 minit kemudian Erma Fatima tiba di mahkamah dengan ditemani adik perempuannya dan rakan karib.

Mereka kemudian memasuki mahkamah bagi mengikuti prosiding perceraian itu yang berakhir pada pukul 11.35 pagi.

Erma Fatima ketika ditemui pemberita di luar mahkamah mengakui reda dengan perceraian itu.

"Saya rasa seluruh hidup saya, saya bagi pada seni untuk diketahui masyarakat, saya mohon urusan rumah tangga saya dan mati saya menjadi rahsia antara saya dan Allah...kalau ini ketentuannya saya sangat reda," katanya. 

Bagaimanapun media gagal mendapatkan komen Bade yang bergegas meninggalkan mahkamah selepas prosiding perceraian mereka selesai.

Bade berkahwin dengan seorang wanita lain pada  2014 dan pasangan itu dikurniakan dua orang anak, lelaki dan perempuan.

Sumber : Bernama/UR/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan