Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ella “menangis” jika tiada pelapis untuk gantikan gelaran Ratu Rock Malaysia

Sehingga kini, boleh dikatakan, hanya ada seorang ‘Ratu Rock Melayu’ dalam persada muzik Melayu di Malaysia dan Singapura. Siapa lagi kalau bukan Ella. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ella “menangis” jika tiada pelapis untuk gantikan gelaran Ratu Rock Malaysia

Ella dinobatkan dengan Anugerah Khas Planet Muzik 2017 pada malam APM Sabtu lalu (14 Okt). (Gambar: Mediacorp Suria)

Diterbitkan : 18 Oct 2017 01:57AM Dikemas Kini : 18 Oct 2017 02:09AM

BERITAMediacorp: Sehingga kini, boleh dikatakan, hanya ada seorang ‘Ratu Rock Melayu’ dalam persada muzik Melayu di Malaysia dan Singapura. Siapa lagi kalau bukan Ella.

Maka selayaknya, selepas 30 tahun menjadi Ratu Rock Melayu, beliau dinobatkan dengan Anugerah Khas Planet Muzik 2017 pada malam APM Sabtu lalu (14 Okt).

Persoalannya sekarang, apakah akan ada seorang lagi ‘Ella’ dalam dunia muzik rock Melayu? Ella terdiam sejenak apabila ditanya BERITAMediacorp, sama ada beliau dapat melihat jika ada pelapis di Malaysia yang dapat menggantikan Ratu Rock itu.

“Sebenarnya saya berharap ada. Tapi saya baru saja ada sidang media dengan wartawan-wartawan di KL. Mereka pun belum jumpa. Pada saya hanya perlu jadi diri sendiri. Ia harus “natural”. Saya berharap ada seseorang yang boleh digelar sebagai Ratu Rock itu,” ujarnya kepada pihak kami dalam pertemuan pada malam tersebut.

Sempat juga wanita yang sinonim dengan aksi manjanya itu bergurau dan mengatakan beliau akan “menangis” sekiranya tidak ada pelapis yang bakal menggantikannya nanti dengan gelaran Ratu Rok Malaysia.

RATU ROCK, SUDAH BERHIJAB, BERUSIA 51 TAHUN

Buat masa ini, walaupun pada usia 51 tahun dan sudahpun berhijab, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, masih terus memegang dan menjadi ‘pemilik’ gelaran tersebut. Namun, apakah gelaran Ratu Rock itu memberi tekanan kepada beliau?

“Mula-mula tu memanglah takut. Tapi sebenarnya itu adalah satu penghargaan daripada peminat dan para wartawan. Saya nak ucapkan terima kasih walaupun benda itu berat nak dipikul tapi yang penting saya hanya menjadi diri saya sendiri,” ujarnya dalam wawancara bersama BERITAMediacorp.

Mengulas Anugerah Khas Planet Muzik yang mengiktiraf pencapaian Ella sepanjang hayatnya dan diberikan kepadanya dalam acara gilang gemilang di Singapura itu, beliau melahirkan rasa cukup bersyukur bahawa sumbangannya diiktiraf.

“Terharu sangat. Terima kasih kepada APM dan kepada semua peminat. Saya berterima kasih, bersyukur kepada Allah SWT. Ini adalah satu penghargaan yang besar atas sokongan peminat dan penyokong saya selama 30 tahun,” komen Ella.

ANTARA PENCAPAIAN ELLA

Ella pernah tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai Artis Wanita Pertama yang mempunyai penjualan album terbanyak pada tahun 1998 selain dari menjadi artis wanita pertama Malaysia yang pernah rakamkan album penuh di Amerika Syarikat. Itu antara pencapaian yang boleh dibanggakan.

Penyanyi kelahiran Pulau Pinang yang pernah juga mencuba nasib sebagai pelakon dan membintangi filem-filem seperti Bayangan Maut (1990), Pemburu Bayang (1992), Hanya Kawan (1997) dan KIL (2013).

Ditanya apakah sukar untuk seseorang penyanyi membawakan lagu-lagu berunsurkan rok memandangkan sukar menyenaraikan nama-nama penyanyi wanita Malaysia yang merakamkan lagu-lagu genre sedemikian, ini jawapan Ella.

“Sebenarnya ia datang dari jiwa. Ia tidak boleh dibuat-buat. Jadi I tak tahu benda itu (menyanyi lagu rok) susah ke tak,” terangnya ringkas.

PEACE LOVE RINDU UNTUK SUAMI

Untuk tahun ini, Ella menyiapkan sebuah cenderahati khas untuk para peminat tegarnya yang tetap setia menunggu kemunculan sebuah album baru darinya. Lebih istimewa ialah sebuah lagu ciptaan Lord berjudul, Peace Love Rindu yang berjaya menarik suami tersayang untuk berduet dengannya.

(Gambar-gambar: Mediacorp Suria)

Difahamkan, sebanyak 158 buah lagu diberikan kepada Ella untuk memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dimasukkan ke album solo terbarunya itu. Terang Ella, sebelum ini beliau hanya pernah berduet bersama Dato Ramli Sarip sahaja.

Lagu tersebut diangkat sebagai sebuah lagu yang didedikasikan kepada suami beliau, Azhar Ghazali, atas sokongan serta kasih sayang yang diberikan kepada Ratu Rock tersebut.

“Saya tak keluar apa-apa (album) untuk 10 tahun. Jadi saya rasa saya harus buat sesuatu yang istimewa yang boleh dikongsi dengan peminat. Saya rasa ini adalah permintaan ramai untuk berduet dengan suami. I dah pujuk dia, akhirnya I berjaya,” terangnya.

Jelas Ella lagi, beliau amat cerewet dalam pemilihan lagu di mana beliau tidak akan membuat album semata-mata untuk mengikut trend masa kini atau mengikut peredaran masa.

Seperti katanya: “Saya perlu membuat lagu atau pilih lagu yang “timeless” yang boleh jadi klasik agar lagu itu ada kualiti dan boleh didengar sampai bila-bila”. Azhar sempat juga ditanya wartawan tentang kejayaan Ella memujuknya sebagai rakan duet untuk lagu Peace Love Rindu itu.

(Gambar: Instagram/Ella Aminuddin)

Ini penjelasan Azhar: “Itu adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka di mana saya bukan seorang profesional dalam bidang muzik. Bila dapat peluang dan diminta oleh isteri untuk nyanyi bersama, itu sebenarnya adalah penghormatan buat saya dan pada masa yang sama untuk cuba menerapkan nilai kasih sayang melalui lagu kepada kesemua pendengar muzik dan kepada peminat-peminat dia terutamanya kepada masyarakat umum”.

Setakat ini, sebanyak 3,000 unit album solo terbaru Ella sudahpun dijual dan beliau sudah bersedia untuk mempromosikan album tersebut di seluruh Malaysia melalui road tour dalam masa terdekat ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan