Images
  • Elite
    Anggota kumpulan Elite. (Gambar: Shasha Saidin/Instagram)

Elite rancang 'muncul semula' setelah video viral

MALAYSIA: Jika anda membesar pada tahun 90an anda pasti kenal dengan lagu-lagu seperti Trauma, Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu dendangan Shasha, Watie, Abby Abadi, Linda dan Azza dari kumpulan Elite.

Baru-baru ini, satu rakaman video nyanyian mereka di satu majlis menjadi viral di media sosial dan ini sesuatu yang tidak dijangka oleh Elite.

Salah seorang anggota Elite, Shasha Saidin, berkata mereka terkejut persembahan ketika menyanyikan lagu Manisnya Senyumanmu semasa persandingan kedua Norman Hakim dan Memey Suhaiza serta Abby Abadi dan Mohd Faizal Zakaria pada 24 September lalu.

"Memang terkejut juga apabila video persembahan kami itu viral di media sosial malah terharu apabila kami mengetahui Elite masih mempunyai peminat yang ramai, kata Shasha, seperti yang dipetik laman mStar.

"Budak-budak pun ada yang kenal Elite mungkin pengaruh daripada ibu-bapa mereka yang memasang lagu kami," tambah beliau.

SUDAH TERIMA 3 BUAH LAGU

Sasha berkata beliau bersama anggota yang lain merancang untuk membuat kemunculan semula selepas persembahan mereka menjadi viral.

"Saya pun sebenarnya sedang merancang untuk menyatukan kembali semua anggota Elite dan masing-masing bersetuju," katanya kepada mStar Online.


Sementara itu, Sasha berkata, beliau sudah menerima tiga buah lagu daripada seorang komposer dan sedang berbincang dengan rakan-rakannya yang lain untuk memilih lagu sesuai.

Dalam pada itu, Sasha berkata, beliau menyifatkan video itu menjadi viral kerana kesemua anggota Elite masih aktif dalam industri hiburan dan merindukan untuk melihat mereka beraksi sebagai sebuah kumpulan.

"Anda tidak boleh mengelak daripada kami. hahaha. Sebenarnya persembahan itu tidak dirancang pun dan kami naik ke pentas selepas mendapat permintaan daripada penganjur dan persetujuan Abby.

"Walaupun Abby tidak mahu lagi menyanyi tetapi beliau 'sempoi' melayan karenah kami dan kami memang seronok sangat.

"Sudah lama kami semua anggota asal tidak bersatu di atas sebuah pentas dan peminat rindu untuk melihat kami sejak sekian lama," katanya.

TAK MAHU TERBURU-BARU

Sasha bagaimanapun tidak mahu terburu-buru dengan idea kemunculan semula Elite, lapor mStar Online.

Beliau menambah, mereka tidak terburu-buru untuk melancarkan lagu terbaru kerana paling penting mereka merancang strategi dengan betul agar kemunculan semula meninggalkan kesan.

"Saya tidak mahu hanya sekadar lancarkan lagu baru dan lepas itu kami kembali buat hal masing-masing tetapi ingin buat bersungguh-sungguh termasuk mengadakan persembahan jelajah di seluruh Malaysia.

"Rindu sangat hendak berjumpa peminat dan mengadakan persembahan dan kalau boleh perancangan ini dirancang dengan teliti dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya kepada mStar Online.

Sepanjang penglibatan mereka dalam industri muzik Elite pernah menghasilkan empat buah album iaitu Catwalk (1996), Tamparan (1998), Idola (1999) dan Merbahaya (2000). 

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top