Images
  • Dayang main
    Gambar Dayang Nurfaizah. (Gambar: Dayang Nurfaizah)

Dayang Nurfaizah tidak pernah ‘berdating’! Tapi ada ‘date’ istimewa di Esplanade

BERITAMediacorp: Tidak terdesak untuk mencari, jauh sekali untuk menghampiri seorang lelaki sekiranya beliau menyukai lelaki tersebut. Itulah pengakuan ikhlas dari penyanyi popular, Dayang Nurfaizah, ketika dihubungi menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelantun yang lagu terkininya Separuh Mati Ku Bercinta rancak diudarakan di stesen tempatan RIA 89.7FM boleh disifatkan sebagai seorang artis yang tersangat jujur apabila ditanya tentang teman lelaki dalam usianya 36 tahun kini.

Meskipun kekadang ada yang menganggap jawapan penyanyi kelahiran Sarawak itu sebagai klise, beliau tidak pernah menyembunyikan hakikat tersebut. Beliau juga tidak mengelak apabila pihak media bertanyakan kepadanya .Tiada apa yang perlu dirahsiakan.

“Tak pernah 'dating'. Dayang pun tak pasti kalau ada dalam situasi itu macam mana. Dayang tak boleh nak bayangkan macam mana (berdating). Rasanya tidak ada setakat ini (ketawa),” kata Dayang kepada BERITAMediacorp.

Dayang yang sebelum ini pernah diberi gelaran Beyonce Malaysia berkongsi bahawa beliau sendiri tidak tahu di mana silapnya sehingga belum pernah ada pengalaman untuk 'berdating' dengan mana-mana lelaki.

"Dayang pun tak tahu kenapa (ketawa). Mungkin Dayang pun tak keluar sangat. Dayang lebih bersama keluarga. Jangan takut, tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan,” jelas Dayang lagi.

Yang pasti, beliau banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga dan melayani anak buah yang tinggal bersamanya.


Menurut Dayang yang sudahpun muncul dengan album solo terbarunya pada April lepas, beliau akan hanya terfikir mengenai bab teman lelaki dan jodoh setiap kali ditanya oleh media kerana sehingga kini keluarganya sendiri tidak pernah bertanya mahupun memberi tekanan kepadanya.

“Yang buat Dayang terfikir bila ditanya oleh wartawan,barulah Dayang terfikir.Tapi takdelah sampai nak tertekan. Sampai Dayang pun terlupalah,” kongsi penyanyi bersuara serak-serak basah itu.

Apakah pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (TV3) sebanyak tiga kali itu berani untuk menghampiri lelaki yang disukainya, sekiranya ada nanti, memandangkan tiada lelaki yang pernah mengajaknya keluar selama ini?

Ini jawapan Dayang secara bersahaja: “Tak berani. (Ketawa panjang). Takut. Mereka yang kena datang pada Dayang. Dayang pun bukan jenis yang berani.”

Beliau mengakui dirinya sebagai wanita yang pemalu dari dahulu sehingga kini dan tidak banyak keluar rumah untuk bergaul: “Ada jugak kata 'oh dia (jejaka) ni macam ni. Tapi tak adalah sampai suka dalam diam. Dayang ini bekerja, bekerja, bekerja. Tapi mungkin Dayang kena mulakan tak?”

DAYANG BAKAL BUAT KONSERT SULUNG DI ESPLANADE

Atas komitmen kerja jugalah, Dayang mendapat satu ‘date’ yang akan membawanya ke Singapura nanti apabila beliau berkonsert buat pertama kalinya di Esplanade pada 1 Januari 2018, jam 8.00 malam.

Ini juga pertama kali Dayang yang pernah dipanggil sebagai ratu lagu-lagu OST untuk beberapa drama popular di seberang tambak itu mengadakan sebuah konsert di luar negara.

Bahkan, Dayang juga merupakan artis termuda diberi kesempatan mengadakan konsert solo berskala besar di Singapura.

“Kalau betul, Dayang rasa ini satu peluang dan penghargaan bagi Dayang. Peluang ini Dayang ambil untuk berjumpa dengan peminat-peminat. Selalu Dayang nyanyi satu atau dua lagu saja. Kali ini Dayang dapat betul-betul beramah-mesra dengan peminat di sana (Singapura),” ulas beliau tentang konsert besar itu.


Meskipun konsert solo pertamanya di Esplanade nanti adalah yang pertama di luar negara, beliau belum rasa tertekan saat ini kerana masih terlalu awal katanya. Namun sebagai penyanyi, Dayang sudah semestinya ingin memberikan yang terbaik untuk setiap persembahan beliau.

Terang Dayang: "Memang akan membuat Dayang fikir nak bagi yang terbaik. Nak pastikan Dayang sihat dan semua berjalan lancar. Benda-benda semua itu buat Dayang fikir kena buat betul-betul tapi takdelah macam tekanan. Kalau anggap macam tekanan, nanti susah jugak kan?”

Adalah terlalu awal untuk beliau rasakan tekanan kini. Cuma beliau harus bijak memilih lagu-lagu yang bakal dibawakan untuk konsert di Esplanade nanti. Yang pasti, “tak semua lagu boleh dimasukkan', kata Dayang.

TIKET BAGI KONSERT DAYANG DI S’PURA ‘DIMAMPUI’

Dayang akan pastikan penyusunan lagu-lagu untuk konsert tersebut semestinya yang terbaik memandangkan beliau bakal diiringi oleh sebuah 'live band'. “Dayang nak susun semula lagu-lagu Dayang supaya ia istimewa untuk malam itu saja. Tapi bukanlah disusun semula sampai tak kenal lagu-lagu itu kan. Nak bagi kesegaran,” katanya.


Menyifatkan konsert tersebut sebagai 'intimate' kerana ingin mendekatkan dirinya kepada peminat-peminatnya di sini, Dayang melahirkan rasa sangat gembira dan teruja mendapat tahu bahawa pihak Esplanade selaku penganjur menjual tiket konsert pada harga yang sangat dimampui iaitu $25,$45 dan $65.

Bahkan, ia juga antara terendah yang pernah dijual untuk sebuah konsert berskala besar di Singapura oleh seorang penyanyi. Jadi apa lagi yang penonton boleh jangkakan dari beliau?

“Dayang hargai Esplanade bagi harga tiket yang rendah untuk peminat datang. Ini berita baik jugaklah untuk Dayang. Peminat pun jangan terlalu 'ketat' bila menonton. Dayang nak mereka santai kerana Dayang nak lebih mendekatkan diri dengan peminat-peminat Dayang,” ujar Dayang kepada BERITAMediacorp.

- BERITAMediacorp/FH/fa

Komen Anda?

Top