Images
  • dayang nurfaizah 3
    (Gambar: Dayang Nurfaizah)

Dayang Nurfaizah dipilih nyanyikan lagu tema Sukan SEA 2017

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dayang Nurfaizah diberi penghormatan menyanyikan lagu tema Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 atau Kuala Lumpur 2017.

Lagu itu adalah hasil gubahan komposer terkenal Datuk Ramli MS.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata bersempena tempoh 100 hari menjelang temasya Sukan SEA 2017, rakyat Malaysia dipelawa untuk menyumbang idea bagi lirik lagu tema itu menerusi laman sosial dengan hashtag #laguKL2017.

"Saya dan Datuk Ramli sudah berbincang dan kita mahukan lirik disumbangkan rakyat. Saya harap rakyat Malaysia menghantar lirik melalui Twitter, Facebook dan Instagram masing-masing dengan meletakkan hashtag #laguKL2017 untuk Datuk Ramli gunakan ayat-ayat atau perkataan daripada rakyat bagi menggubah lagu tema KL 2017 kali ini," katanya kepada wartawan.

Encik Khairy sebelum itu melancarkan majlis kiraan detik 100 hari menjelang penganjuran Kuala Lumpur 2017 hari ini (9 Mei).

Encik Khairy berkata penglibatan seluruh rakyat Malaysia dalam pembikinan lagu tema itu akan menyemarakkan lagi penganjuran Sukan SEA dari 19 hingga 30 Ogos dan Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 September ini.

Pernah memenangi anugerah dalam kerjaya seninya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty ialah penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak yang terkenal dengan lagu seperti Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga dan & Erti Hidup.

Kuala Lumpur selaku tuan rumah penganjuran Kuala Lumpur 2017 buat julung-julung kali meraikan kiraan detik 100 hari menjelang temasya dwitahunan itu dengan penglibatan orang ramai hari ini.

Bagi gimik majlis itu, Encik Khairy bersama lebih 20 atlit negara menaiki bas dua tingkat dari stesen LRT Bangsar menuju KL Sentral.

Majlis dianjurkan Jawatankuasa Pengelola Malaysia bagi Kuala Lumpur 2017 itu turut memperkenalkan dua penaja baru iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad. 

- Bernama/nk

Komen Anda?

Top