Images
  • Vida
    Dr Vida. (Gambar: Instagram Dato Seri Vida) 

Datuk Vida didenda RM500, mengaku salah gagal kemuka borang cukai pendapatan

IPOH: Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman didenda RM500 (S$160) selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Malaysia hari ini (8 Mac) atas tuduhan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam kenyataannya menyatakan pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, 46 tahun, diarah membayar denda itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Hanum Mohamad Sah.

Siti Hanum turut menetapkan penjara dua hari sekiranya Vida gagal membayar denda tersebut.

Datuk Seri Vida kemudian membayar denda tersebut dan berjanji akan mengemukakan Borang B taksiran tahun 2011 dalam tempoh sebulan dari tarikh jatuh hukum.

Pengarah Syarikat Vida Beauty Sdn Bhd itu didakwa gagal mengemukakan Borang B bagi tahun taksiran 2011 walaupun notis akhir di bawah Seksyen 78 (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 diserahkan kepadanya.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Hasil Norhidayah Mohamad Anas. Disember lalu, Datuk Seri Vida mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sementara itu, mahkamah menetapkan 9 dan 10 Mac ini untuk tarikh perbicaraan bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST selepas Datuk Seri Vida mengekalkan pengakuan tidak bersalah Oktober lalu.  

- BERNAMA/ru

Komen Anda?

Top