Bocey juara MLM 2017 - menang 2 tahun berturut-turut - bawa pulang RM500,000
Kumpulan Bocey dengan rasminya bergelar juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Bocey dengan rasminya bergelar juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017. Ini merupakan kemenangan tahun kedua berturut-turut bagi mereka.
Bocey membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000 (S$161,900) dan sebuah trofi sumbangan Astro.
Bocey, dalam satu wawancara dengan Astro Gempak berkata pengorbanan mereka tidak tidur malam semata-mata untuk mencari bahan lawak berbaloi apabila diumumkan sebagai juara sebanyak dua tahun berturut-turut.
"Mungkin ramai yang tidak tahu kami menggunakan waktu tengah malam untuk mencari idea setiap minggu.
"Nampaknya usaha kami mengorbankan masa tidur berbaloi apabila berjaya diumumkan sebagai juara MLM, kali kedua.
"Kami juga sangat berpuas hati dengan pengorbanan yang dilakukan dan ia boleh dianggap sebagai berbaloi meskipun pelbagai dugaan kami hadapi bersama-sama," katanya kepada Astro Gempak.
Tempat kedua dimenangi Shiro yang memenangi wang tunai RM250,000 (S$80,960) dan sebuah trofi sumbangan Astro.
Dzawin terpaksa berpuas hati apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dan menerima wang tunai berjumlah RM150,000 (S$48,600) dan trofi.
Manakala tempat keempat dan kelima menjadi milik Zero dan Puteh yang masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM15,000 beserta trofi.
Sementara itu, trofi Gempak Man Of The Match menjadi milik Syaiful Zero.
Mengangkat tema ‘Lanun’ sebagai imej, MLM 2017 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan menampilkan Datuk Rosyam Nor, Datuk Aznil Nawawi, Neelofa dan Luna Maya sebagai juri profesional.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.