Images
  • ricardo medina
    Pelakon Ricardo Medina. (Gambar: AFP/Getty Images/Frederick M Brown)

Bekas pelakon Power Rangers dijel 6 tahun dek bunuh rakan sebilik dengan pedang samurai

LOS ANGELES: Seorang pelakon yang terkenal dengan wataknya dalam siri televisyen kanak-kanak "Power Rangers", dijatuhi hukuman penjara enam tahun di California setelah mengaku bersalah menikam rakan sebiliknya hingga mati dengan pedang samurai.

Ricardo Medina, 38 tahun, mengaku bersalah awal bulan ini atas satu tuduhan membunuh dalam insiden yang berlaku semasa kedua-dua mereka bergaduh pada 31 Januari 2015.

Para pendakwa raya berkata Medina menikam Josh Sutter berulang kali dengan sebilah pedang, ketika kedua-duanya sedang bergaduh tentang teman wanita pelakon itu di apartmen mereka di Palmdale, utara Los Angeles.

Menyusuli insiden tersebut, Medina menelefon talian 911 dan kekal di tempat kejadian hingga para timbalan syerif tiba di situ.

Medina ditangkap namun dibebaskan setelah beberapa hari selepas para pendakwa raya meminta siasatan lanjut dijalankan terhadap kes berprofil tinggi itu.

Medina memainkan watak Power Rangers berwarna merah, Red Lion Wild Force Ranger dalam siri kanak-kanak popular, "Power Rangers Wild Force."

Dia juga menyumbangkan suaranya bagi watak 'Deker' di satu lagi siri, "Power Rangers Samurai".

Dia juga pernah tampil dalam rancangan-rancangan terkenal seperti "CSI: Miami" dan "ER."

- Reuters/nd

Komen Anda?

Top