Images
  • indomie bag
    Gambar: kealivelaughlove/Instagram

Beg tangan Indomie tarik minat orang ramai

JAKARTA: Pasti ramai di kalangan anda yang mengenali Indomie sebagai jenama produk mi segera.

Mi segera merupakan makanan yang sangat digemari semua lapisan masyarakat. Malah, boleh dikatakan bahawa mi segera antara makanan ‘wajib’ untuk sesiapa sahaja yang berkunjung ke kedai mamak.

Namun, pernahkah anda bayangkan mi segera dijadikan ilham untuk menghasilkan beg tangan?

Baru-baru ini, penyanyi Indonesia, Nindy Ayunda mencuri tumpuan orang ramai apabila menggayakan sebuah bag tangan yang reka bentuknya seperti bungkusan Indomie di Jakarta Fashion Week.

Menurut laman MyNewsHub, beg tangan unik itu merupakan rekaan seorang pereka fesyen terkenal Indonesia iaitu Mariko Tampi Budiman.

Mariko, seorang yang bekerja di sektor kewangan tidak sangka karyanya itu dapat menarik perhatian jurugaya Nindy, Erich Al Amin yang ingin memberikan sentuhan yang lebih menarik kepada gayanya yang terlalu biasa.

“Saya juga sangat terkejut kerana tidak menyangka ia akan menjadi viral. Ini sangat tidak dirancang. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan,” katanya kepada MyNewsHub.

Oleh kerana ramai yang ingin membeli beg Indomie itu, Mariko terpaksa mengehadkan pesanan yang diambil kerana pembuatannya memakan masa yang lama.

“Untuk beg Indomie, proses pembuatannya memakan masa 15 ke 20 jam kerana semuanya buatan tangan.

“Jika sesiapa yang memesan beg ini, mereka akan berada dalam senarai menunggu sekurang-kurangnya tiga bulan. Saya ingin pastikan kualiti produk yang dihasilkan bagus kerana saya seorang yang teliti,” ujarnya.

Mariko juga turut terkenal dengan rekaannya yang unik dan teliti. Jika diperhatikan di laman Instagramnya, ibu kepada tiga orang ini banyak memuat naik gambar-gambar beg yang direkanya.

Malah, Mariko turut menghasilkan rekaan beg yang lain seperti beg seakan-akan kotak Panadol, keropok jenama Taronet serta banyak lagi.

Rekaan Mariko sungguh menyerlah hinggakan para netizen menghasilkan rekaan mereka sendiri menggunakan bungkusan Indomie dan muat naik di Instagram.  

- Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top