Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Artis baru Fara Hezel meletup! 9 juta ‘tangkap lentok’ lagu Setiaku Pasti di YouTube sejauh ini

Nama Fara Hezel sememangnya baru – tersangatlah baru - dalam dunia hiburan Melayu. Tapi pencapaiannya sejauh ini cukup membuka mata.

Anggaran Waktu Membaca:
Artis baru Fara Hezel meletup! 9 juta ‘tangkap lentok’ lagu Setiaku Pasti di YouTube sejauh ini

Fara Hazel. (Gambar-gambar: Aries Music)

Diterbitkan : 21 Oct 2017 10:47PM Dikemas Kini : 21 Oct 2017 11:02PM

BERITAMediacorp: Anda pernah dengar lagu Setiaku Pasti? Jika sudah, anda mungkin antara mereka yang terpukau dengan suara lemak mendayu-dayu dari penyanyinya - Fara Hezel. Itulah empunya suara.

Nama Fara Hezel sememangnya baru – tersangatlah baru - dalam dunia hiburan Melayu. Tapi pencapaiannya sejauh ini cukup membuka mata.

Dua buah klip video lagu ‘Setiaku Pasti’, secara terkumpul, kini sudah mendapat sekitar 9.4 juta tontonan di YouTube. Satu pencapaian yang cukup menakjubkan bagi seorang penyanyi yang baru sahaja bergelar artis selama 4 bulan sahaja!

Sedangkan artis-artis popular lain yang sedia ada pun sukar mendapat perhatian yang sebegitu dari para penggemar muzik di YouTube.

Video pertama yang dimuat naik pada bulan Mei 2017, kini mendapat hampir 4.7 juta tontonan, manakala klip video kedua yang dimuat naik pada 8 September juga mendapat hampir 4.7 juta tontonan.

Fara Hezel - nama glamour gadis manis ini - rupa-rupanya adalah kakak kepada penyanyi Aiman Tino yang popular menerusi lagu-lagu seperti Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta. Nama sebenar beliau ialah Aziera Yusri, berusia 21 tahun.

SEJAUH MANA FARA HEZEL TUMPANG NAMA AIMAN TINO?

Suka atau tidak, Fara tidak dapat larikan diri dari pertanyaan klise pihak media mahupun pemerhati: Apakah beliau rasa tertekan dibandingkan dengan adiknya Aiman Tino? Ketika dihubungi di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini, Fara menjelaskan:

“Fara tak rasa benda tu sebab mungkin Fara baru lagi dan Fara nak dapatkan ilmu dan pengalaman lagi. Aiman ‘tok guru, cikgu’ (ketawa). Walaupun dia adik, kami tidak bersaing.”

Antara lain, Aiman sempat mengajarnya cara untuk hilangkan rasa gementar apabila berdepan dengan peminat dan bagaimana Fara harus melontarkan suara apabila menyanyi memandangkan beliau masih ‘hijau’ lagi dalam industri.

Tidak berhenti di situ sahaja, Fara sudah lali dan cukup bersedia dengan pandangan sesetengah pihak yang turut bertanya kepadanya sama ada beliau seakan menumpang populariti adiknya yang jauh lebih popularnya sekarang ini.

(Gambar: Fara Hezel/Instagram)

(Gambar: Fara Hezel/Instagram)

“Fara kena ambil positif macam mana nak tunjukkan pada orang ramai yang Fara tak tumpang populariti Aiman tapi Fara kena tunjukkan kekuatan yang Fara ada,” terangnya tenang kepada BERITAMediacorp.

Fara mendedahkan, kerap juga mereka adik beradik mendapat undangan nyanyian bersama. Namun tidak pernah timbul situasi di mana Aiman Tino membayanginya. Ini kata-kata Fara penuh yakin:

“Fara baru lagi dalam industri dan kena sedar dirilah (ketawa) tapi Fara tidak rasa iri hati. Setakat ini peminat sama saja. Fara bergambar, Aiman pun bergambar bila ada acara pertemuan dengan peminat.”

LAGU-LAGU POPULAR CIPTAAN IBU BAPA SENDIRI

Fara mendedahkan bahawa single pertamanya Setiaku Pasti adalah ciptaan bapanya sendiri iaitu Yusri Ishak manakala lirik lagu popular tersebut adalah karya ibunya sendiri iaitu Hazelina Matjali.

Bahkan, lagu-lagu nyanyian Aiman Tino sebelum ini pun sebenarnya adalah ciptaan ibu-bapa mereka sendiri rupa-rupanya. Sesuatu yang tidak ramai tahu mengenai hal ini.

Menurut Fara, lagu beliau Setiaku Pasti sepatutnya diberikan kepada Aiman Tino pada awalnya namun bapa mereka meminta Fara merakamkan lagu tersebut.

(Gambar-gambar: Aries Music)

Sejauh manakah gaya nyanyian Fara dan Aiman Tino terlalu banyak persamaan sebagai adik-beradik? Sejauh mana pula kehendak lagu itu memerlukan Fara membawakan lagu tersebut secara meleret-leret jika kita mendengarnya?

Ini jawapan penyanyi bujang yang berkulit cerah itu: “Fara tak nampak persamaan meskipun kita adik-beradik. Fara banyak pelajari macam mana nak bawak lagu itu. Bila dah tahu, barulah boleh menjiwai lagu itu.”

Seperkara lagi, jelas penyanyi yang peramah itu, beliau menyanyi sedemikian atas kehendak penerbit lagu dan juga kehendak lagu tersebut untuk benar-benar menjiwai lagu balada tersebut yang boleh disifatkan sebagai lagu ‘tangkap leleh’ juga.

FARA HEZEL BERMULA SEBAGAI MODEL KLIP VIDEO

Pendedahan Fara Hezel kepada dunia glamour bermula apabila beliau turut menjadi model bagi klip video Aiman Tino menerusi single pertama Ku Rela Dibenci.

Fara menjadi teman wanita Aiman menerusi klip video tersebut. Ini disusuli pula menerusi lagu popular kedua Aiman berjudul Permata Hati apabila Fara menyumbangkan suaranya juga.

“Memang mak ayah suruh untuk berlakon dalam video klip itu sebab waktu tu kita tidak ada model untuk klip video sebab Aiman masih baru lagikan,” ujar Fara.

(Gambar-gambar: Aries Music)

Disebabkan Fara sering ikuti adiknya untuk memenuhi undangan nyanyian di merata Malaysia juga, beliau tidak rasa canggung apabila berdepan dengan peminat beliau sendiri sekarang ini.

Tiada juga istilah kejutan budaya kehidupan sebagai artis memandangkan kesemuanya Fara dapat melihat dan merasainya sendiri apabila sering menemani Aiman sebelum Fara bergelar artis.

JAGA SIKAP SEBAGAI ARTIS BARU

Beliau berpegang kepada prinsip harus menjaga perilaku setelah bergelar artis kini dan mempunyai peminat-peminatnya sendiri. Fara juga akur, kini sebagai seorang ‘public figure’ beliau juga “kena pandai-pandailah” menjaga diri.

“Bila kita keluar kena jaga kerana apa yang Fara buat orang akan perhatikan,” akuinya.
Dalam masa terdekat ini, Fara dan Aiman digandingkan pula menerusi sebuah lagu duet genre pop ciptaan bapa mereka juga. Aiman Tino turut akan melakukan rap untuk lagu rancak yang bakal diedarkan oleh syarikat rakaman mereka tidak lama lagi.

Apakah Fara ingin lari dari label Fara hanya mampu membawakan lagu berentak balada?
“Lagu itu lagu ‘happy’. Kita dalam industri ini kena mewarnakan dia,” jawabnya ringkas tetapi bernas. Mungkin juga kerana Fara akur bahawa seorang penyanyi harus versatil dan tidak hanya tertumpu kepada sejenis genre muzik sahaja.

Kini, ramai yang akan memerhatikan. Apakah Fara Hezel sekuntum bunga yang kembang sekali, atau akan ada banyak lagi lagu-lagu hits dari beliau.

Hakikatnya, perjalanan sebenar Fara Hezel baru sahaja bermula.

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan