Images
  • manchester
    Dataran St Anne di Manchester dihiasi bagi menghormati para mangsa serangan di Manchester. (Gambar: AFP)

Ariana Grande kembali ke Manchester; konsert amal bagi peringati mangsa letupan

MANCHESTER: Bintang pop Ariana Grande mengumumkan bahawa beliau akan kembali ke Manchester bersama barisan artis yang lain untuk mengadakan satu konsert amal bagi memperingati para mangsa serangan berdarah di akhir konsertnya pada minggu lalu.

Justin Bieber, Coldplay, Katy Perry, Miley Cyrus, Pharrell Williams, Usher dan Take That juga akan turun padang Ahad ini untuk sama-sama menjayakan konsert amal bagi memperingati 22 orang yang terkorban, dengan tujuh daripada mereka adalah kanak-kanak.

"Respons kami terhadap keganasan mesti teguh, saling bantu-membantu, sayang-menyayangi, nyanyi lebih kuat dan lebih murah hati serta baik hati dalam hidup kita," kata Grande.

Grande yang berusia 23 tahun itu "patah hati" sehingga terpaksa menangguhkan konsert jelajah dunianya selepas pengeboman itu berlaku di pintu keluar Manchester Arena di saat akhir persembahannya pada 22 Mei.

Para peminat yang menghadiri persembahan berkenaan akan diberi tiket percuma bagi konsert amal di padang kriket Old Trafford, yang boleh menampung 50,000 orang.

Sementara itu, tiket-tiket yang lain akan dijual untuk mengumpul dana bagi keluarga-keluarga yang terjejas.

Grande digemari golongan kanak-kanak dan remaja termasuk mereka yang terkorban, dengan sebahagian daripadanya adalah para ibu bapa yang datang untuk membawa pulang anak-anak perempuan mereka.

Liam Gallagher, penyanyi utama Oasis yang dilahirkan di Manchester mengeluarkan album sulungnya sebagai artis solo pada Selasa dengan tkket konsertnya habis dijual bagi membantu mangsa-mangsa serangan kejam itu.

Seperti konsert Grande, konsert itu mengumpul dana bagi "We Love Manchester Emergency Fund" yang ditubuhkan oleh sebuah majilis tempatan dan Persatuan Palang Merah British, untuk membantu keluarga-keluarga yang terjejas dan para mangsa.

Sedang masyarakat bandar ketiga terbesar di Britain itu menyambung semula kehidupan harian mereka, stesen kereta api bersebelahan tempat serangan itu dibuka semula Selasa lalu.

Pasukan tentera turut dikerah ke tempat-tempat awam pada minggu lalu, sementara tahap ancaman pengganasa dinaikkan ke paras paling tinggi sedang polis memburu suspek-suspek yang dipercayai terlibat dengan pengebom nekad Salman Abedi.

Pengebom nekad yang berusia 22 tahun itu dilahirkan di Manchester dan dia terbunuh dalam serangan yang ISIS mendakwa bertanggungjawab.

Tahap ancaman sudah diturunkan dari "kritikal" kepada "teruk" pada Sabtu dan pasukan tentera juga sudah diundurkan daripada tugas menjaga kawasan-kawasan awam.

Saudara lelaki Abedi, iaitu Hashem dan bapa mereka Ramadan, sudah diberkas di Libya, di mana pihak berkuasa berkata bahawa kedua-dua adik beradik itu adalah anggota ISIS.

Polis Britain mendedahkan bahawa Abedi mempunyai rekod jenayah berhubung mencuri, menerima barang-barang yang dicuri dan melakukan serangan pada 2012 tetapi belum pernah ditangkap kerana menjadi radikal.

Abedi juga dilaporkan pernah berjuang di Libya bagi menggulingkan Muammar Gaddafi, bekas diktator negara itu.  

- AFP/sm

Komen Anda?

Top