Images
  • amelina2
    Penyanyi dangdut Amelina.

Apabila peminat “nakkan muzik Amelina (Memori Daun Pisang) yang lama. Mana I nak cari?”

BERITAMediacorp: Bukan kerana kurang sambutan kepada lagu dangdut moden ciptaan Ajai berjudul Cinta Harus Seksi yang membuat penyanyi Amelina untuk membuat ‘comeback’ (penampilan semula) pada tahun 2017 ini.

Sebaliknya, penyanyi yang masih bertahan dengan lagu-lagu hits dangdutnya seperti Rindu, Semakin Rindu Semakin Asyik, Asyik dan Memori Daun Pisang (bersama Iwan), terpaksa akur bahawa peminat-peminat tegarnya inginkan Amelina yang lama dahulu. Bukan Amelina yang membawakan lagu-lagu dangdut yang cuba dimodenkan.

Itulah pengakuan ikhlas penyanyi popular Amelina ketika dihubungi BERITAMediacorp menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur baru-baru ini. Amelina atau lebih senang disapa sebagai Alin mengakui agak tertekan dengan kehendak para peminat lama dan barunya yang kini tetap inginkan beliau kekalkan konsep lagu yang sama yang pernah mengangkat nama Amelina pada tahun 90-an dahulu.

Ini termasuklah lagu-lagu duet beliau seperti Memori Daun Pisang dan Yang Tersayang bersama penyanyi dangdut Iwan.

“Banyak permintaan bila nak keluar album? Zaman dulu mana ada lagu single? Tetapi permintaan mereka ini menyebabkan tekanan yang amat sangat sebab mereka nakkan Amelina yang lama, nakkan muzik Amelina yang lama. Mana I nak cari?”, kongsi beliau kepada BERITAMediacorp.


IWAN TIDAK BERI LAGU WALAU DIRAYU

Bahkan, Amelina pernah juga meminta penyanyi serta komposer Iwan untuk menghasilkan irama dangdut untuknya, namun percubaannya itu gagal.

“Iwan dah tak aktif, dah tak mungkin untuk dia buat irama dangdut walaupun I merayu sekali pun, dia tetap dengan pendirian dia dan I pun dah tak boleh nak kacau pendirian dia,” cerita Amelina tentang ‘perjuangan mini’nya itu.

Beliau tidak menafikan, lagu ciptaan komposer Ajai berjudul Cinta Harus Seksi sebagai lagu pengenalan untuk penyanyi dangdut Malaysia itu membuat ‘comeback’ dua tahun lepas setelah tidak aktif menyanyi selama 15 tahun, memang sedap sebenarnya. Memang masih ada peminat-peminat muda yang layan lagu tersebut.


Cuma ianya terlampau moden dan “punch” dangdut itu tidak ada katanya, meskipun beliau telah melenggokkan lagu tersebut ke dangdut.

Katanya panjang lebar: “Mungkin Ajai bukan dalam kategori dangdut. Itupun adalah percubaan pertama Ajai. Peminat-peminat tidak boleh terima muzik yang terlampau moden. Lenggok dia dangdut tapi ‘punch’ dan ‘feel’ dangdut tu Alin tak dapat.”

AMELINA SI PENCIPTA LAGU?

Tidak berputus ada, penyanyi yang dikenali dengan sikap peramah itu kini bercita-cita untuk mencuba sesuatu yang baru dalam kerjaya beliau sebagai seorang penerbit album pula untuk tahun ini. Alin berusaha untuk mencipta lagu dan melodi sendiri kali ini buat pertama kalinya.

“Sebenarnya I rasa tertekan sangat sampai I buat lagu sendiri. Dah hantar pada rakan I di Jakarta untuk susunan muzik. Kalau sedap kita masukkan. I cerewet. Bila melodi I digabungkan dengan susunan muzik di sana, kalau ada rezeki keluarlah album,” kata Amelina kepada BERIMTAMediacorp.

Sebelum ini, beliau pernah berkongsi dengan Iwan juga lagu yang beliau hasilkan sebab terbukti ada keserasian antara mereka berdua sebagai penyanyi:

“I kata boleh tak I ada lagu, you buat susunan muzik. Dia kata bagus tapi benda itu tak sempat nak diketengahkan”.



AMELINA: ARTIS-ARTIS 90-AN “BERTARING JUGAK”

Amelina berhasrat untuk berbincang dengan pihak pengurusannya iaitu Wake The Baby Records milik komposer terkenal Ajai tentang cita-citanya menghasilkan sebuah album penuh berkonsepkan dangdut. Katanya secara jujur:

“Kalau Alin tak berjaya terbitkan album sendiri pun, sekurang-kurangnya Alin dah berjaya kumpulkan lagu-lagu. Itu adalah kepuasan hati Alin. Kalau dangdut I nak buat ni tak berjaya jugak, maksudnya memang peminat-peminat terperangkap dengan Amelina yang lama dulu (ketawa) sampai boleh muntah. Benda ini rezeki Allah, kalau rezeki I ada, adalah.”

Beliau turut menyokong percubaan rakan-rakan seperjuangan beliau yang popular pada tahun 90han yang turut membuat ‘comeback’ kini dengan lagu-lagu single seperti Zarul Umbrella dan Baggio Damasutra.

“Itu bagus. Alin rasa bangga dengan kawan-kawan lama Alin. Wow! Artis 90-an ini bertaring jugak ya,” ujar Amelina sambil ketawa. 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top