Skip to main content

Iklan

Iklan

Anugerah Planet Muzik 2015 versi SG50 berlangsung 9 Oktober

Anugerah Planet Muzik (APM) kali ini lebih istimewa, kerana akan diadakan sejajar dengan sambutan Jubli Emas Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Anugerah Planet Muzik 2015 versi SG50 berlangsung 9 Oktober

Pentas Anugerah Planet Muzik 2014. (Gambar hiasan: Facebook/Anugerah Planet Muzik)

SINGAPURA: Anugerah Planet Muzik (APM) kali ini lebih istimewa, kerana akan diadakan sejajar dengan sambutan Jubli Emas Singapura.

Sempena sambutan itu dan untuk meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Singapura, APM 2015 akan menampilkan barisan artis dan persembahan muzik yang menyinari industri muzik Melayu sejak 50 tahun lalu.

Anugerah muzik berprestij itu kembali pada 9 Oktober ini, untuk mengiktiraf bakat dan pencapaian industri muzik Melayu di rantau ini. Ia dianjurkan buat tahun ke-14 oleh Bahagian Melayu MediaCorp, saluran televisyen Suria, stesen radio Warna 94.2 FM dan Ria 89.7 FM dan majalah Manja. 

APM 2015 akan diadakan pada 9.00 malam di Suntec Singapore, dan akan memaparkan kolaborasi barisan artis dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Ketua Bahagian Melayu MediaCorp, Zakiah Halim, berkata: "Saya rasa amat berbesar hati untuk melihat APM bertapak lebih luas di luar rantau ini. Kami ingin menampilkan ramai bakat muzik pada malam APM 2015 ini sedang kami sama-sama menyambut ulang tahun ke-50 Singapura bersama negara-negara jiran."

Orang ramai boleh menonton siaran langsung APM 2015 di Suria, Astro Ria (Malaysia dan Brunei Darussalam) dan di Net (Indonesia), serta mendengarnya secara live di Warna 94.2FM dan Ria 89.7FM. Siaran secara langsung juga boleh disaksikan di laman Toggle.

Pencalonan bagi APM 2015 kini dibuka hingga 8 Ogos ini.

Tahun ini, APM 2015 akan memperkenalkan anugerah baru, 'Anugerah Artis Breakthru', yang mengiktiraf pencapaian artis Melayu yang sudah bertapak dalam seni muzik dan meninggalkan kesan mendalam pada persada antarabangsa, mendapat pengiktirafan dan menjadi sumber inspirasi kepada artis lain.

Keseluruhannya, 19 anugerah akan disampaikan dalam APM 2015:

1. Artis Baru Terbaik (Lelaki)
2. Artis Baru Terbaik (Wanita)
3. Kolaborasi Terbaik (Artis)
4. Kolaborasi Terbaik (Lagu)
5. Artis Terbaik (Lelaki)
6. Artis Terbaik (Wanita)
7. Duo/Kumpulan Terbaik
8. Band Terbaik
9. Lagu Terbaik (Singapura)
10. Lagu Terbaik (Malaysia)
11. Lagu Terbaik (Indonesia)
12. Lagu Terbaik APM
13. Breakthru Artiste

KATEGORI POPULAR

14. Artis Paling Popular (Singapura)
15. Lagu Paling Popular (Singapura)
16. Artis Paling Popular APM
17. Lagu Paling Popular APM
18. Anugerah Ikon Media Sosial

KATEGORI KHAS

19. Anugerah Khas Planet Muzik

Karya muzik Melayu yang dikeluarkan untuk umum antara 1 Julai 2014 hingga 30 Jun 2015 layak dicalonkan bagi APM 2015.

Para calon akan diumumkan dalam sidang media di Singapura, Kuala Lumpur, dan Jakarta.

Para peminat muzik di rantau ini juga berpeluang mengundi untuk lagu dan artis kegemaran mereka di kategori bagi peminat di laman facebook.com/anugerah.planet setelah calon-calon anugerah diumumkan.

Butiran lanjut tentang cara mendapatkan tiket APM 2015 akan diumumkan nanti. Untuk lebih banyak maklumat tentang APM 2015, sila lungsuri laman toggle.sg/suria, toggle.sg/warna942 dan toggle.sg/897.

APM 2015 disokong Penguasa Pembangunan Media (MDA) dan Persatuan Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (COMPASS).

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan