Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anita Sarawak, Rahimah Rahim, Aisha Akbar dinobat ke Dewan Wanita Masyhur S'pura

Bakat dan sumbangan besar bintang popular era 70an, Rahimah Rahim dan Anita Sarawak, dalam industri seni tanah air akan diiktiraf oleh Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO)

Anggaran Waktu Membaca:
Anita Sarawak, Rahimah Rahim, Aisha Akbar dinobat ke Dewan Wanita Masyhur S'pura

Anita Sarawak (kanan), Rahimah Rahim (kiri). (Gambar: Facebook Anita Sarawak/ Rahimah Rahim)

BERITAMediacorp: Bakat dan sumbangan besar bintang popular era 70an, Rahimah Rahim dan Anita Sarawak, dalam industri seni tanah air akan diiktiraf oleh Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dan nama-nama mereka akan disenaraikan dalam Dewan Wanita Masyhur Singapura (SWHF).

Rahimah dan Anita adalah antara tujuh wanita yang akan diberi pengiktirafan di majlis jamuan gala dan pelantikan bagi Dewan Wanita Masyhur Singapura (SWHF) yang keempat. Nama-nama wanita yang sudah disenaraikan dalam SWHF bukan calang-calang antaranya, Speaker Parlimen Halimah Yacob dan Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis Zuraidah Abdullah.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Rahimah yang mesra dengan panggilan 'Kak Girl' melahirkan kesyukuran dan berbesar hati kerana beliau tidak menyangka akan menerima pengiktirafan sedemikian.

RAHIMAH: TERHARU, "TAK TERKATA"

"Saya (sebenarnya) tak terkata. Saya berasa amat berbesar hati. Pengiktirafan seperti ini, tidak semua yang dapat, jadi bila saya diberi pengiktirafan ini saya rasa terharu sebagai orang Melayu dan dalam arena seni pula. Saya dan Anita kami sudah banyak kali dan bertahun-tahun menjadi duta Singapura," kata pelantun lagu Gadis dan Bunga itu.

Gambar: Rahimah Rahim

(Gambar: Rahimah Rahim)

Mengulas lebih lanjut tentang pengiktirafan tersebut, Rahimah berkata beliau bukan seorang yang melihat kepada anugerah, sebaliknya mementingkan komitmen dalam menjalankan tugasan.

"Saya orangnya tidak melihat kepada anugerah atau status. Saya gembira bekerja.

"Saya ini seorang yang komited. Apabila saya komited menjalankan tugasan, saya beri sepenuh tumpuan, tidak kira dalam apa pun yang saya lalukan. Itu prinsip saya," Rahimah, 61 tahun memberitahu BERITAMediacorp.

Beliau juga berkata, prinsip itu juga harus dipegang kaum wanita lain, sambil menambah "apa pun yang dilakukan seorang wanita, genggam bara api biar sampai jadi abu. Jangan dibuat separuh jalan".

Dilahirkan dalam keluarga seni, anak sulung daripada empat adik-beradik itu memulakan kerjaya sebagai seorang pelakon cilik pada usia semuda enam tahun sebelum diberi peluang menonjolkan bakat dalam bidang nyanyian.

Nama Rahimah melonjak pada tahun 1974 setelah beliau mengharumkan nama negara, dengan menjadi juara pertandingan nyanyian, 'Kimi Koso Talentime' di Tokyo, Jepun, menurut laman Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

APA LAGI YANG 'KAK GIRL' MAHU?

Nama beliau kemudian terus meniti di bibir para peminat sehingga kini. Jadi, setelah lebih lima dekad mewarnai industri seni, apa lagi yang mahu 'Kak Girl' lakukan? Adakah beliau berhasrat merakam album atau membuat konsert sebagai 'hadiah' buat para peminat setianya?

"Bagi saya, semua itu datang secara semula jadi. Saya tidaklah ternanti-nanti, kerana bagi saya cukuplah. Ramai lagi artis-artis baru.

"Saya gembira dengan apa yang sudah saya kecapi dan dalam masa yang sama orang masih menerima saya untuk membuat persembahan atau menyanyi. Bagi saya itu sudah Alhamdulillah," jelas Rahimah yang sudah mempunyai tiga orang cucu.

"Bagi saya, menyanyi adalah minat yang mendalam. Kalau ada tawaran untuk buat album (atau adakan konsert), kalau ada yang rasa sesuai untuk saya rakamkan album, saya akan lakukannya. Saya akan lakukannya mengikut rentak saya."

(Gambar: Facebook/Rahimah Rahim)

(Gambar: Facebook/ Rahimah Rahim)

GENERASI PELAPIS TONJOLKAN DIRI, BUAT S'PURA BANGGA

Semasa diwawancara, Rahimah turut melahirkan harapan agar lebih ramai generasi pelapis terus memberikan komitmen dan berjaya dalam industri.

"Harapan saya adalah untuk generasi masa akan datang. Saya berharap mereka juga komited dan satu hari nanti akan diberi pengiktirafan seperti ini.

"Saya juga mahu lihat generasi pelapis yang boleh bertahan dalam industri (muzik). Pelapis yang boleh menonjolkan diri dan membuat Singapura bangga," katanya kepada BERITAMediacorp.

Selain Rahimah dan Anita, seorang lagi wanita Melayu yang dipilih bagi tahun ini, ialah Aisha Akbar, yang akan menerima anugerah anumerta atas sumbangan Allahyarhamha dalam bidang penyiaran. Aisha juga pernah bertugas sebagai seorang guru muzik, penulis lagu dan pengarang.

Aisha Akbar. (Gambar: SCWO)

Aisha Akbar. (Gambar: SCWO)

12 WANITA MELAYU/MUSLIM DIIKTIRAF SCWO

Dengan kemasukan Rahimah, Anita dan Aisha, ini bermakna seramai 12 wanita Melayu dan muslim sudah diiktiraf dan dimasukkan ke dalam senarai SWHF. Ini termasuk - Kartina Dahari, Aziza Ali, Som Said, Halimah Yacob, Che Zahara, Khatijun Nissa Siraj, Hjh Fatimah, Profesor Jackie Ying dan Zuraidah Abdullah.

Menurut Duta Khas yang juga Pengerusi Panel Pemilihan SWHF, Profesor Tommy Koh, semua tujuh wanita yang dipilih tahun ini memenuhi kriteria - antaranya menjadi perintis dalam bidang masing-masing, menetapkan standard baru pencapaian, membuat sumbangan besar dalam bidang masing-masing.

Pencapaian para penerima tahun 2017 boleh dijadikan inspirasi, seperti 133 wanita lain yang sudahpun disenaraikan dalam SWHF dan layak diceritakan dan disampaikan berulang-kali.

Matlamat SWHF adalah untuk merakam pencapaian dan sumbangan kaum wanita Singapura dan mengongsi kisah mereka supaya mereka tidak dilupakan, tambah Profesor Koh.

Rahimah dan enam penerima yang lain akan diiktiraf secara rasmi di majlis jamuan gala dan pelantikan Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura (SWHF) yang keempat pada 24 Mac ini di Hotel Shangri-La. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan