Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anggota kugiran pop yeh yeh, Joe Chelliah meninggal dunia

Seorang anggota The Jayhawkers, kugiran pop yeh yeh era 60an, Johami Abdullah, 73 tahun, atau Joe Chelliah meninggal dunia di kediamannya di Taman Pinggiran Golf pagi tadi (25 Okt) akibat barah otak.

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota kugiran pop yeh yeh, Joe Chelliah meninggal dunia

Allahyarham Johami Abdullah. (Gambar: Youtube)

Diterbitkan : 25 Oct 2017 06:22PM Dikemas Kini : 25 Oct 2017 06:25PM

SEREMBAN: Seorang anggota The Jayhawkers, kugiran pop yeh yeh era 60an, Johami Abdullah, 73 tahun, atau Joe Chelliah meninggal dunia di kediamannya di Taman Pinggiran Golf pagi tadi (25 Okt) akibat barah otak.

Isteri Allahyarham, Nohamidah Abdul Hamid, 67 tahun, berkata suaminya dikesan menghidap barah otak sejak November tahun lalu.

“Beliau meninggal dunia di kediaman kami kira-kira 4.20 pagi dan ketika itu saya yang menjaganya sepanjang malam. Sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selama dua hari untuk rawatan rutin.

“Beliau ada berkata kepada saya bahawa beliau kuat walaupun sebenarnya sedang sakit sehinggalah beliau meninggal dunia. Arwah tidak pernah merungut tentang sakitnya,” katanya kepada Bernama.

Jenazahnya dikebumikan di Makam Haji Said selepas waktu zohor tadi.

Antara rakan artis yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah penyanyi Roziah Latiff iaitu penyanyi utama kumpulan Jayhawkers , Datuk A. Rahman Hasan dan  Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

Allahyarham  meninggalkan isteri dan tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki.

Johami atau lebih dikenali sebagai Joe Chelliah yang dilahirkan di Muar, Johor pernah menyambung pengajian bagi Sijil Guru Pakar (muzik) di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur (1976) dan melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana Muda Kesenian (Pendidikan Muzik) di Universiti Lowa, Amerika Syarikat (1986) dan Sarjana Kesenian (Muzik) di universiti yang sama setahun kemudian.

Johami pernah menyandang jawatan Ketua Jabatan Muzik di Kolej Guru Pakar (1996), Presiden Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (2000-2012), Penasihat Kehormat Fakulti Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (2007) dan Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada 2012.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan