Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Allahyarham Jins Shamsuddin selamat dikebumikan

Jenazah pelakon dan pengarah veteran, Jins Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Allahyarham Jins Shamsuddin selamat dikebumikan

Allahyarham Jins Shamsuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan Malaysia. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Mar 2017 02:07PM Dikemas Kini : 02 Mar 2017 02:12PM

HULU KLANG: Jenazah pelakon dan pengarah veteran, Jins Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan Malaysia, pada 10.40 pagi tadi (2 Mac).

Jenazah Allahyarham tiba pada 10.15 pagi selepas dimandikan di kediamannya di Kampung Pasir, dan disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan, menurut laporan Harian Metro.

Lebih 1,000 orang terdiri daripada anggota keluarga, saudara-mara serta penggiat seni tanah air hadir di majlis pengebumian berkenaan.

Sekitar majlis pengebumian Allahyarham Tan Sri Jins Samsudin #liveupdate

Posted by MEDIA HIBURAN on  Wednesday, 1 March 2017

Antaranya Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Fauzi Ayob; Sasterawan Negara A Samad Said, DJ Dave, Yusof Haslam, Zul Ariffin, A Galak, Norman Hakim dan Zaiton Sameon.

"Saya banyak belajar ilmu lakonan daripada arwah walaupun saya tidak pernah berlakon dengan beliau.

"Allahyarham merupakan mentor saya dan kehilangan beliau merupakan kehilangan besar dalam dunia lakonan," kata Zul Ariffin kepada Bernama.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 82 tahun di klinik di Taman Melawati, dipercayai akibat sesak nafas selepas minum petang di rumahnya jam 5.45 petang semalam, tambah laporan Harian Metro.

Allahyarham meninggalkan balu, Halijah Abdullah, 56 tahun, serta dua anaknya, Putera Hang Jebat, 30 tahun, dan Putera Hang Nadim, 26 tahun.

"Beliau (arwah bapa) mengambil berat dan serius dalam hal-hal melibatkan pelajaran kami. Setegas-tegas dia pada kami, namun dia seorang yang penyayang," kata Putera Hang Jebat yang ditemui wartawan Bernama di tanah perkuburan.

Putera Hang Jebat turut berkongsi pesanan Allahyarham yang berharap lebih ramai artis tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang seni bagi mendorong industri seni tempatan ke tahap yang lebih baik.

Allahyarham turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Jefri Jins, 55 tahun, daripada perkahwinan pertama dengan pelakon Rahmah Rahmat.

Harian Metro menyatakan tokoh perfileman filem Melayu sejak zaman Jalan Ampas di Singapura itu menghidap penyakit Alzheimer sejak Februari 2011.

Turut hadir tadi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Sumber : Agensi berita/BERNAMA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan