Images
  • aliff
    Aliff Syukri menunjukkan tudung rekaan jenama beliau yang diciplak di Vietnam. (Gambar: Instagram/ Oh abang kosmetik)

Aliff Syukri bengang tudung rekaannya diciplak di Vietnam; 'berjenama Naelofar' pula

BERITAMediacorp: Siapa tidak kenal jutawan kosmetik Aliff Syukri yang juga terkenal dengan telatah beliau di media sosial. Namun, video terbarunya di akaun Instagram baru-baru ini sekali lagi menarik perhatian.

Beliau, yang berkunjung ke Vietnam, bengang kerana rekaan tudung jenama beliau diciplak. Lebih teruk lagi, "tudung ciplak" berkenaan diletakkan pula jenama tudung popular Naelofar Hijab oleh pihak-pihak yang menciplak.

Menerusi video itu, Encik Aliff meluahkan rasa tidak puas hati beliau yang turut disokong para netizen.

"Ini rekaan saya jadi kenapa anda ciplak rekaan saya? Beritahu saya kenapa! Ini bukan jenama Naelofar, ini jenama saya, Aliff Syukri. Kalau anda, anda marah tak? Tidak, tidak! Tak patut, saya penat cari duit," katanya dalam video itu yang dirakam dalam sebuah kedai busana.


Terlihat juga beberapa pengunjung yang lain bersetuju bahawa perkara itu tidak patut berlaku.

Dalam satu lagi video yang berasingan, beliau menambah bahawa beliau memang rasa tertekan disebabkan perniagaannya yang mula lembab disebabkan kata-kata orang bahawa ada tudungnya yang dijual jauh lebih murah.

Beliau yang berada di kedai busana di Vietnam bersama pereka fesyen jenamanya juga mendapati tudung ciplak yang dijual di sana berharga RM30 (S$9.50).

"Kepada anda semua. Jangan beli tudung ciplak. Kami di sini (Vietnam) bukan untuk beli tudung tetapi untuk membanteras penjualan tudung cetak rompak," tegas beliau.


BUKAN KEJADIAN PERTAMA MAHUPUN LUAR BIASA

Daripada respons dalam video Encik Aliff, terdapat beberapa komen yang mengatakan bahawa perkara "tudung ciplak" bukanlah sesuatu isu yang luar biasa kerana di Vietnam terdapat banyak "tudung ciplak" yang dijual.

Tudung jenama Naelofar sendiri pernah menjadi sasaran pihak-pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

Namun, pemilik Naelofar, artis hebat Neelofa pernah berkata bahawa beliau tidak lagi berasa bimbang dengan isu ciplak terhadap rekaan tudung keluarannya itu.

Neelofa, 28 tahun, berkata strategi pihaknya mengeluarkan rekaan terbaru secara kerap membuatkan peniaga tudung tiruan tidak dapat mengikut rentak tersebut.

Dilaporkan sebelum ini "tudung ciplak" Naelofar Hijab tidak saja berlaku di Vietnam tetapi juga di Malaysia apabila sebanyak 43 tudung tiruan jenama Naelofar bernilai hampir RM3,900 (S$1,340) ditemui disorokkan dalam stor, bilik solat dan tandas sebuah premis di Kajang.

- BERITAMediacorp/RU/ru

Komen Anda?

Top