Images
  • Aliff Aziz
    Aliff Aziz bersama isteri dan anaknya. (Gambar: Aliff Aziz/Instagram)

Aliff Aziz ditahan polis; didakwa cederakan isteri yang dalam pantang

PETALING JAYA: Penyanyi Singapura Aliff Aziz didakwa mencederakan isterinya Dayang Nabellah Awang Astillah di sebuah kelab karaoke di Cheras pada Khamis (27 Jul).

Media-media tempatan melaporkan Dayang Nabellah atau Bella, 23 tahun, bersama ibunya dikatakan mencari Aliff pada sekitar 4.30 petang dan mendapati beliau bersama seorang wanita di pusat hiburan berkenaan.

Agensi mStar Online dan Astro Gempak melaporkan Bella membuat aduan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini. Beliau yang masih dalam pantang dipercayai memarahi suaminya sebelum memetik gambar Aliff di dalam pusat karaoke tersebut.

Aliff membalas dengan bertindak kasar dan merampas telefon bimbit itu sebelum memadam kesemua bukti gambar yang dipetik.

Bella mendakwa bahawa beliau mengalami luka di muka dan lutut setelah ditolak menggunakan tangan dan siku Aliff, menurut laporan mStar Online.

Aliff kemudian dikatakan keluar dari bilik itu dengan wanita yang terbabit.

Sementara itu, laporan Astro Gempak menyatakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Penolong Pesuruhjaya Kanan Rudi Mohd Isa mengesahkan Aliff Azizi kini ditahan untuk disiasat mengikut Kanun Keseksaan.

WANITA TERBABIT SEORANG ARTIS BARU? ADIK ANZALNA NASIR?

Dinyatakan dalam laporan media tempatan juga bahawa wanita yang dimaksudkan itu ialah seorang artis baru.

Menurut mStar Online, kedua-duanya baru selesai menjalani penggambaran drama sebelum ke pusat hiburan tersebut.

Satu lagi laporan berasingan di Astro Gempak menyatakan akaun Instagram adik pelakon Anzalna Nasir, Afifah, 'diserang' isteri Aliff kerana didakwa beliaulah wanita yang terlibat dalam perkara itu.

Laporan itu menambah difahamkan Afifah, seorang pelakon baru, turut tercatat dalam aduan polis yang dibuat Bella.

Menyusuli insiden itu para netizen juga tidak henti dalam memberikan kata-kata negatif kepada Afifah dan turut membandingkan beliau dengan kakaknya yang tidak pernah terkait dalam sebarang kontroversi.

Aliff dan Bella berkahwin pada September tahun lalu dan baru saja dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Ayden Adrean, pada 8 Julai.

- Agensi berita/RU/ru

Komen Anda?

Top