Images
  • Aisyah Aziz
    Penyanyi Singapura, Aisyah Aziz. (Gambar: Aisyah Aziz/Instagram)

Aisyah Aziz terima 9 pencalonan - tertinggi bagi APM 2017

SINGAPURA: Anugerah Planet Muzik (APM) membuka tirainya tahun ini, dengan Aisyah Aziz menerima pencalonan tertinggi, iaitu sembilan daripada 19 kategori yang dipertandingkan.

Ini adalah kali pertama Aisyah menerima pencalonan paling banyak dalam sesebuah acara anugerah muzik sejak beliau menceburi industri muzik empat tahun lalu.

Aisyah memberitahu BERITAMediacorp, beliau langsung tidak menyangka akan dicalonkan dalam sembilan kategori.

"Saya tidak tahu pun. Bila ibu hubungi saya dan maklumkan tentang pencalonan itu, saya terkejut. Alhamdulillah! Wow!"

"Saya rasa kita boleh hasilkan lagu yang bagus tetapi tanpa sokongan ramai orang kadang-kala lagu itu mungkin tidak ke mana. Jadi saya begitu berterima kasih," kata penyanyi tinggi lampai berusia 23 tahun itu.


Aisyah Aziz terima 9 pencalonan bagi APM 2017. (Gambar: Aisyah Aziz/Instagram)

Tambah manis lagi, lagu Senyum Saja, iaitu lagu pertama ciptaan Aisyah sendiri menerima dua pencalonan.

Aisyah memberitahu BERITAMediacorp ia juga kali pertama dicalonkan dalam satu-satu acara anugerah.

"Ini bermakna saya boleh menulis lebih banyak lagu dengan yakin dan juga mahu mengucapkan tahniah kepada Haikal Ali," kata Aisyah merujuk kepada pemenang Penyanyi Terbaik Singapura pada APM tahun lalu.

Selain itu lagu hasil idea bersama pihak pengurusan dan penerbit, Tanda Tanya, yang merupakan lagu pertama beliau yang berentak lebih rancak, menerima empat pencalonan.

Berikut adalah kategori di mana Aisyah dicalonkan:

- Duo/Kumpulan Terbaik bagi Senyum Saja – bersama Haikal Ali

- Kolaborasi Terbaik bagi lagu Tanda Tanya

- Artis Terbaik (Wanita) bagi lagu Tanda Tanya

- Lagu Terbaik (Singapura) bagi lagu Senyum Saja bersama Haikal Ali

- Ikon Media Sosial

- Artis Paling Popular (Singapura)

- Lagu Paling Popular (Singapura) bagi lagu Tanda Tanya

- Lagu Paling Popular APM bagi lagu Tanda Tanya

- Artis Paling Popular APM

Tahun ini, APM menonjolkan bakat-bakat generasi baru yang kebanyakannya dikesan melalui media sosial.


(dari kiri) Dr Edmund Lam Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah, COMPASS, Zakiah Halim Ketua, Penyiaran Melayu Mediacorp dan Hassan Salleh Pengarah Rancangan Kanan, Warna 94.2FM & Ria 89.7FM, Mediacorp. (Gambar: Mediacorp Suria)

"Anugerah Planet Muzik terus mengiktiraf dan meraikan yang terbaik dalam industri muzik rantau ini," menurut Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, Cik Zakiah Halim.

"Apa yang menarik pada tahun ini, kami akan menyaksikan kebangkitan artis-artis generasi baru yang semakin menonjol, dengan peminat yang begitu ramai di wadah-wadah digital dan media sosial. Kami berharap APM akan berkembang seiring dengan perubahan muzik mengikut peredaran masa," kata beliau semasa sidang media bagi mengumumkan senarai calon petang tadi (22 Ogos).


(Gambar: Mediacorp Suria)

Senarai penuh calon di pautan ini.

Para penonton juga boleh menjangkakan persembahan-persembahan menarik daripada Ayda Jebat, Aisyah Aziz, Isyana Sarasvati, Virgoun, Gloria Jessica, Aiman Tino, Hael Husaini dan ramai lagi.

Acara anugerah yang mengiktiraf dan menyatukan artis-artis dan karyawan industri muzik serantau itu bakal berlangsung di MES Theatre di Mediacorp pada 14 Oktober 2017.

Tiket-tiket boleh dibeli dari semua cawangan SISTIC atau online mulai hari ini (22 Ogos).

Ia juga akan disiarkan secara langsung di saluran Suria, stesen radio Ria 89.7FM, Warna 94.2FM dan online di Toggle. 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top