Images
  • Aisyah Aziz
    Penyanyi Singapura, Aisyah Aziz. (Gambar: Aisyah Aziz/Instagram)

Aisyah Aziz pilih untuk diam diri berhubung isu Aliff; enggan terpengaruh dengan 'hasutan'

KUALA LUMPUR: Sering menerima tempias setiap kali abangnya dihimpit kontroversi, Aisyah Aziz berharap masyarakat bersikap lebih adil dan tidak menghukumnya hanya kerana beliau adik kepada Aliff Aziz.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM), penyanyi yang popular dengan lagu Tanda Tanya itu berkata, mereka adalah dua individu berbeza dan segala kontroversi yang menghimpit abangnya tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

"Setiap kali berlaku kontroversi membabitkan abang, pasti saya akan dicari untuk memberikan pendapat. Tetapi, kali ini saya memilih untuk berdiam diri kerana ia terlalu peribadi untuk diperkatakan.

"Tidak dinafikan, apa yang berlaku turut memberi kesan kepada perjalanan kerjaya saya. Perkara ini pernah saya bincang dengan abang kerana tidak adil saya diheret sama.

"Saya percaya kepada rezeki dan bakat. Saya yakin diberikan tawaran atas bakat dan kemampuan sendiri, bukan kerana saya adik Aliff Aziz," katanya kepada BHM.

Aisyah, 23, bersyukur tidak lagi diajukan soalan mengenai kontroversi yang melanda abangnya dan pelakon baru, Afifah Nasir apabila mengambil pendirian untuk tidak membuka mulut ketika ia hangat diperkatakan.

Bagi Aisyah, seperti dipetik BHM, beliau tidak berhak bersuara kerana tidak mahu memperbesarkan isu yang terlalu peribadi itu.

"Berdiam diri adalah jalan terbaik dan saya tidak mahu membiarkan diri terpengaruh dengan kata hasutan yang hanya menjarakkan hubungan kami adik-beradik. Saya tidak mahu masuk campur kerana itu urusan rumah tangganya," katanya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya nyanyiannya, Aisyah bersyukur selepas empat tahun mencari ruang, bakatnya semakin diterima. Ia terbukti apabila Aisyah meraih sembilan pencalonan pada kemuncak Anugerah Planet Muzik yang akan berlangsung di MES Theatre, Mediacorp, pada 14 Oktober ini.

"Ia ialah penghargaan paling bermakna sepanjang kerjaya saya. Dulu, saya pernah hampir berputus asa apabila bakat tidak dipandang. Biarpun pencalonan diterima atas tiket saya sebagai penyanyi kelahiran Singapura, tetapi ia tetap bermakna.

"Jika bukan peminat di negara sendiri menyokong kerjaya seni saya, siapa lagi?" katanya.

- Agensi berita/IM/im

Komen Anda?

Top