Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aisyah Aziz pemenang terbesar APM 2017; Ella dan Maher Zain menang anugerah khas

Penyanyi tanah air, Aisyah Aziz menjadi pemenang terbesar Anugerah Planet Muzik (APM) 2017, apabila beliau membawa pulang tiga trofi - iaitu yang terbanyak bagi satu-satu artis.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Penyanyi tanah air, Aisyah Aziz menjadi pemenang terbesar Anugerah Planet Muzik (APM) 2017, apabila beliau membawa pulang tiga trofi - iaitu yang terbanyak bagi satu-satu artis.

Aisyah juga mencatat sejarah sebagai penyanyi Singapura pertama untuk menang Lagu Terbaik APM bagi lagu Senyum Saja, yang merupakan duet dengan Haikal Ali.

Aisyah juga merangkul kategori Kolaborasi Terbaik (Lagu) dan Lagu Terbaik (Singapura).

Ditemui di majlis tersebut sebelum acara dimulakan, Aisyah yang menerima pencalon terbanyak tahun ini, iaitu sebanyak sembilan pencalonan, berkongsi beliau 'tidak sangka beliau mencatat sejarah APM'.

Selepas merangkul tiga trofi semalam, Aisyah akur bahawa tahun ini merupakan 'rezeki' buatnya.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kepada semua orang yang ingin bekerjasama dengan saya. Saya tak sempat nak ucap terima kasih tadi atas pentas sebab ada beberapa saat sahaja. Jadi, saya ingin ucap terima kasih kepada awak semua. Anugerah ini adalah untuk awak semua," kata Aisyah Aziz.

(Aisyah Aziz bersama Haikal Ali. Gambar: Mediacorp Suria)

ELLA - PENERIMA ANUGERAH KHAS PLANET MUZIK

Selain daripada Aisyah, dua lagi penyanyi terkemuka mendapat anugerah besar malam semalam (14 Okt).

Bagi menjulang sumbangannya selama 30 tahun dalam persada seni muzik Melayu, Ratu Rock Melayu, Ella, diiktiraf dengan Anugerah Khas Planet Muzik.

Berkongsi perasaannya ketika ditemui oleh BERITAMediacorp selepas acara tersebut, Ella berkata anugerah yang diberikan kepadanya itu merupakan sesuatu yang sangat bermakna buat dirinya. Ini kerana menurutnya, anugerah itu menunjukkan sokongan yang berterusan daripada peminat-peminatnya selama 30 tahun.

(Persembahan lagu Layar Impian, Ku Sedia dan Kitalah Bintang oleh Ella. Gambar: Mediacorp Suria)

"Mesti saya rasa sangat gembira dan terharu dan dengan anugerah ini saya tahu peminat-peminat menghargai dan juga saya sangat gembira," kongsi Ella.

Cik Zakiah Halim, Ketua bagi Penyiaran Melayu Mediacorp berkata Anugerah Khas Planet Muzik diberikan kepada Ella untuk mengiktiraf sumbangan seni sepanjang hayatnya selama tiga dekad.

"Kami juga meraikan Ella yang memperjuangkan lagu-lagu rok sehingga meletakkan beliau sebagai Ratu Rok Nombor 1 dalam industri muzik Melayu nusantara. Keunggulan Ella sebagai Diva Rok tiada tandingan," tambahnya.

MAHER ZAIN - PENERIMA ANUGERAH RENTAS PLANET

Penyanyi Sweden keturunan Lubnan, Maher Zain, diiktiraf dengan Anugerah Rentas Planet atas jasa dan peranannya memartabatkan lagu-lagunya dalam Bahasa Melayu di nusantara ini.

Maher berkongsi pengiktirafan tersebut merupakan satu tanggungjawab atas dirinya kepada mereka yang menganggapnya sebagai contoh. 

Berucap semasa menerima Anugerah Rentas Planet pula, Maher berkata beliau sedar bahawa majlis tersebut mengumpulkan para seniman untuk meraikan artis dan kejayaan mereka.

"Tetapi saya juga akan mengingatkan anda semua dan diri saya sendiri bahawa bakat dan kejayaan adalah sesuatu anugerah, dan dengan anugerah ini datang tanggungjawab yang besar.

"Dan kini terpulang kepada kita untuk menjadikan bakat dan kejayaan ini bagi membantu menjadikan dunia ini, tempat yang lebih baik bagi kita semua.

"Seperti yang disabdakan dan diajar oleh Nabi Muhammad saw, manusia yang terbaik adalah mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada umat manusia. Maka saya harap anda dan saya, boleh jadi daripada kalangan tersebut," kata beliau sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Ucapan Maher Zain itu mungkin layak disifatkan sebagai ucapan terbaik dari seseorang pemenang dalam APM 2017. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan