Agensi berita Iran ‘tutup aurat’ Charlize Theron dengan Photoshop
Sebuah agensi berita Iran menggunakan Photoshop demi ‘menutup aurat’ pelakon Hollywood, Charlize Theron, yang ketika itu memakai gaun yang mendedahkan sebahagian tubuhnya.
JEDDAH: Sebuah agensi berita Iran menggunakan Photoshop demi ‘menutup aurat’ pelakon Hollywood, Charlize Theron, yang ketika itu memakai gaun yang mendedahkan sebahagian tubuhnya.
Hasilnya, Theron, yang memakai gaun Christian Dior ketika menyampaikan anugerah Oscar bagi filem bahasa asing terbaik baru-baru ini, sebaliknya kelihatan seolah-olah beliau memakai baju leher polo berwarna hitam.
Menurut Arab News, tindakan itu dilakukan Agensi Berita Buruh Iran (ILNA) ketika menayangkan rakaman dari majlis Anugerah Akademi.
Langkah yang sama dilakukan terhadap Anousheh Ansari, warga Iran pertama yang ke angkasa lepas, ketika menerima anugerah tersebut bagi pihak pengarah Iran, Asghar Farhadi.
Petikan-petikan gambar dari sebuah video menunjukkan bahagian dada Ansari dikaburkan oleh agensi berita tersebut.
Farhadi tidak hadir ke majlis Oscars untuk menerima anugerah tersebut untuk filemnya, 'The Salesman,' sebagai membantah sekatan perjalanan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Video yang menunjukkan percubaan lucu agensi berita tersebut ‘menutup aurat’ kedua-dua wanita itu dengan Photoshop, dimuat naik ke laman Facebook ‘My Stealthy Freedom’, menurut Arab News.
“Ketika Farhadi memilih seorang angkasawan dan saintis NASA (untuk menerima anugerah itu bagi pihaknya) untuk menunjukkan hak asasi manusia tidak ada sempadan, Republik Islam Iran pula melakukan yang sebaliknya dengan menggunakan kenyataan hebat Farhadi di Oscars untuk propaganda mereka sendiri sambil tidak mengendahkan maksud kenyataannya itu,” kata Masih Alinejad, wartawan dan pengasas kumpulan itu, seperti ditukil Arab News.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.