Images
  • syiok tv
    AC Mizal dan Afdlin Shauki yang bakal melancarkan stesen TV Syiok TV. (Gambar: Instagram / afdlinshaukiofficial)

Afdlin Shauki, AC Mizal lancar stesen TV, kini perlukan hos, pelawak baru

KUALA LUMPUR: Siapa yang tidak kenal dengan Afdlin Shauki dan AC Mizal. Mereka tidak asing lagi di kaca TV. Daripada menjadi pengacara, pelawak dan penerbit filem-filem dan rancangan-rancangan tempatan, mereka berdua kini mencapai cita-cita lebih tinggi lagi.

Dari pelawak di kaca TV, kini Afdlin Shauki dan AC Mizal bakal memiliki stesen TV mereka sendiri pula.

Menyusuli pengumuman untuk melancarkan Syiok TV pada satu sidang media yang diadakan pada 19 Julai di Kuala Lumpur, media sosial kedua-dua artis itu sibuk dengan pemasaran dan mempromosikan stesen TV baru mereka.

BAKAT-BAKAT BARU DIPERLUKAN BUAT SYIOK TV

Uji bakat bagi pencarian pengacara diumumkan di Instagram Afdlin Shauki pada 25 Julai lalu. Uji bakat itu diadakan pada 29 Julai di Comedy Planet KL.

Bukan hanya pengacara sahaja yang diperlukan, kini stesen TV itu juga akan mengadakan uji bakat bagi pelawak pula pada 5 dan 6 Ogos di tempat yang sama.


(Gambar: Instagram / afdlinshaukiofficial)

"Ia merupakan impian kami untuk mengadakan sebuah wadah yang memberikan kami kebebasan untuk memberikan kandungan kami sendiri.

"Saya percaya langkah ini akan merevolusikan industri hiburan tempatan," kata Afdlin semasa sidang media di Kuala Lumpur, menurut laporan the Star.

Stesen TV tersebut merupakan satu usaha niaga besar-besaran bernilai RM20 juta (S$6.34 juta) setiap saluran di bawah syarikat baru Afdlin Shauki dan AC Mizal Syiok Media Network.

Syarikat itu akan menggunakan lesen penyiaran yang berdaftar di bawah nama AC Mizal.

Namun begitu, Afdlin dan AC tidak memberikan perincian sama ada Syiok TV akan disediakan sebagai saluran penyiaran percuma, TV berbayar atau khidmat online.

Kedua-duanya berkata rancangan mereka kini adalah untuk mengukuhkan kandungan yang ditawarkan dan akan mengumumkan wadah siarannya akhir tahun ini.

INDUSTRI HIBURAN TEMPATAN TIDAK BERSIKAP ADIL

Afdlin, yang berkecimpung dalam bidang hiburan sejak tahun 90-an, berpendapat bahawa industri tempatan masa kini tidak bersikap adil.

"Penerbit adalah penggerak industri ini. Tetapi mereka hanya dibayar dengan sedikit dan tidak memiliki hak kandungan yang terbitan mereka sendiri.

"Hak tersebut milik stesen TV. Kini saya berfikir buat masa hadapan. Saya mahu lakukan sesuatu di mana hak milik penerbit dilindungi.

"Hak harta intelektual tidak seharusnya dimilik stesen TV. Perubahan harus bermula dari Syiok TV. Kami berharap stesen-stesen yang lain akan ikut serta."

Syiok TV akan bermula dengan pelancaran satu saluran buat masa kini.

RANCANGAN DITAWARKAN BUAT SEMUA LAPISAN USIA

Menurut Afdlin Shauki semasa sidang medianya itu, laman The Star melaporkan bahawa kandungan rancangan TV yang disediakan amat berbeza dengan yang ditawarkan di stesen-stesen TV kini.

"Para penonton boleh menjangkakan kandungan tidak seperti TV tempatan kini. Kami sedang meninjau kandungan bahasa Inggeris dan Melayu. Kami juga mendukung kandungan animasi buat golongan lebih dewasa dan sitcom Inggeris.

"Kami juga mempunyai filem. Stesen TV kami akan menjadi pawagannya sendiri. AC mempunyai perkara-perkara yang baru dirancang bagi segmen berita," menurut Afdlin seperti ditukil The Star. Beliau mengatakan saluran-saluran tambahan bergantung dengan keuntungan saluran pertamanya itu.

Beliau begitu positif bahawa kandungan yang ditawarkan Syiok TV dapat menarik pengiklanan.

"Rancangan kami sangat menarik. Sehingga kini, hanya mereka yang berfikiran berdasarkan perniagaan yang menggerakkan industri ini. Kali ini ia berbeza. Anda akan saksikan apa yang akan terjadi apabila mereka yang benar-benar minat mengenai industri ini mengambil alih," kongsi Afdlin lagi. 

- Agensi Berita/FA/fa

Komen Anda?

Top