Images
  • Saloma 1
    Pakaian Saloma. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

65 koleksi baju hebat Biduanita Saloma – ikon, trendsetter dan fashionista Melayu - kini dipamerkan

BERITAMediacorp: Tahukah anda, saiz pinggang legenda kelahiran Singapura, Biduanita Saloma, kekal berukuran hanya 21 inci! Dan tahukah anda juga bahawa, Saloma mempunyai 5 tukang jahit, antaranya adalah seniwati legenda, Nona Asiah sendiri!

Buat julung-julung kalinya, 65 koleksi busana terpilih Saloma dipamerkan di Muzium Tekstil Negara, anjuran Jabatan Muzium Malaysia secara percuma bermula dari 8 Ogos hingga 31 Oktober ini.

BERITAMediacorp antara yang dijemput secara eksklusif menyaksikan acara perasmian pameran tersebut baru-baru ini, yang berlangsung di Kuala Lumpur.


(Gambar ihsan: Nazran Hamid)

SALOMA - 'MARILYN MONROE OF THE EAST’

Seniwati Saloma atau nama sebenarnya, Salmah Ismail pernah mendapat jolokan sebagai sebagai ‘Marilyn Monroe of the East’ kerana keberaniannya menggayakan pakaian yang berkreatif dan sangat berlainan dengan artis seangkatannya dahulu.

Bukan hanya terkenal dengan lenggang-lenggoknya, Saloma juga menitikberatkan mutu suara dan persembahannya di pentas, malah fesyen dan kostum serta imej pakaiannya juga tidak diambil ringan. Lantaran itulah ia turut menjadi ikutan dan kegilaan ramai artis lain dan juga peminatnya. 

Turut hadir dari Singapura di acara perasmian tersebut termasuklah Encik Yusnor Eff, keluarga dan sanak-saudara Saloma sendiri, baik dari Malaysia mahupun Singapura dan para jemputan khas VVIP.


PAMERAN IKON FESYEN RETRO

Pameran yang gah itu - ‘Pameran Ikon Fesyen Retro’ - memerlukan banyak persiapan rapi termasuk; penyelidikan, pemerolehan bahan, konservasi, pameran sehinggalah kepada pendokumentasiannya. Tempahan torso dari luar negara dan juga perlindungan insurans yang tinggi dibuat bagi memastikan segala baju-baju ini dan khazanah ini terjaga rapi dan diawasi keselamatannya agar tiada kehilangan atau kecurian boleh berlaku.

Menurut Pengarah Muzium Tekstil Negara dari Jabatan Muzium Malaysia, Cik Hadijah Mohd Yunus, idea untuk mempamerkan pakaian-pakaian istimewa koleksi indah dari Saloma ini berputik di benaknya sejak tahun 2009 lagi.


Ketika itu beliau bersama rakan-rakan muzium yang ditempatkan di Arkib Negara Malaysia sedang melaksanakan kerja-kerja konservasi pakaian-pakaian seniwati tersohor itu dan amat kagum dengan nilai estetika yang terdapat pada setiap busana yang dimiliki oleh Saloma.

Bukan itu sahaja, Cik Hadijah juga turut terpegun dengan kerampingan pinggang Saloma.

Cik Hadijah mendedahkan bahawa sejak 8 tahun yang lalu, beliau sudah "jatuh cinta" dengan keindahan koleksi busana Allahyarham Saloma. Ia bukan hanya cantik, tapi lebih penting lagi tambah beliau, "mempunyai elemen warisan dan nilai-nilai sentimental yang tinggi, desain yang rumit dan juga menjadi khazanah" untuk dunia seni Melayu kita.


KEHEBATAN FESYEN BUSANA MELAYU

“65 busana yang terpilih dan yang kami pamerkan di sini telahpun melalui pelbagai teknik konservasi tekstil dan menggunakan kepakaran dan tenaga kerja yang berpengalaman dan bukan itu sahaja, kami juga perlu menangani banyak cabaran-cabaran yang lain.

"Pihak kami berharap pameran ini dapat memberikan peluang kepada para peminat dan pereka yang lain untuk menjadikan setiap elemen warisan pada busana, sebagai suatu nilai-tambah yang dapat diinspirasikan dalam penghasilan karya-karya yang lebih anggun dan canggih, agar generasi akan datang dapat menghargai warisan nenek-moyang kita serta mengetahui kehebatan dan legasi yang mereka tinggalkan kepada kita semua, walaupun ia berupa fesyen dan busana,” terang Cik Hadijah lagi.


Siapa lagi yang mengetahui fesyen Saloma lebih mendalam lagi, kalau tidak ahli keluarganya sendiri? Justeru itu, pihak muzium meminta kepakaran Cik Siti Haslinda Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Shashah.

Beliau merupakan anak saudara kepada seniwati Saloma sendiri dan merupakan anak sulung kepada Mariani, iaitu kakak kandung Saloma. Shashah, 62 tahun yang juga pernah menjadi seorang model terkenal memberikan kepakarannya selaku pakar rujuk bagi menyokong penyelidikan pameran ini.

Beliau turut menggayakan replika busana-busana pilihan ibu saudaranya itu. Walaupun pada usia tersebut, Shashah dengan hebatnya mampu memperagakan dan menukar 3 salinan dalam masa 3 minit di atas pentas semasa Majlis Perasmiannya.

SALOMA - TRENDSETTER DAN FASHIONISTA

Salah seorang hadirin yang sempat ditemubual BERITAMediacorp adalah penyanyi mapan tahun 70-an, iaitu Milah Hussein.

Beliau yang kini berusia 61 tahun dan sudah bermastautin di Malaysia, masih lagi berkarya, walaupun tidak seaktif dulu. Iaitu, setakat mengadakan persembahan di acara-acara privet dan korporat.

Ibu tiga orang anak itu amat mengagumi Saloma dan memberitahu BERITAMediacorp secara berterus terang, bahawa dirinya turut meniru gaya fesyen Saloma dan menganggap Saloma sebagai idola terhebatnya.


Bagi Milah Hussein, Saloma bak pemangkin fesyen atau ‘trendsetter’, juga fashionaista yang unggul, dari dulu dan juga kini.

“Bagi Kak Milah, Saloma tiada duanya. Kita tidak akan dapat seniwati atau artis seperti Saloma lagi. Dengan suara yang lunak merdu, gaya dan fesyen yang tersendiri, perilakunya yang begitu lemah lembut, berdisplin tinggi – semuanya, ada pada dirinya. Satu pakej yang lengkap bagi Kak Milah.

“Saloma telah meninggalkan kita semua sebuah legasi yang amat terbilang, bukan hanya pada bentuk artistik dan muziknya, tetapi juga melalui gaya fesyen serta pemakaiannya yang meninggalkan kesan bagi wanita hari ini, seperti gaya busana peplumnya yang masih lagi digunakan wanita Melayu hingga kini.

"Siapa lagi yang boleh melakukan ini semua, kalau bukan seniwati dan biduanita pujaan ramai Saloma sendiri?” tegas Milah lagi kepada BERITAMediaCorp.

Hakikatnya, walaupun jasadnya sudah lama meninggalkan kita - lebih tepat lagi, 34 tahun lalu - Saloma tetap ‘hadir’ dan disanjung sehingga kini, kerana irama merdunya dan juga fesyen gemilangnya.  

- BERITAMediacorp/WA/nk

Komen Anda?

Top