Images
  • mat saleh
    Personaliti 'mat saleh' yang popular kerana fasih bertutur bahasa Melayu. (Gambar: Facebook)

6 'Mat Saleh' yang 'terer' cakap bahasa Melayu dan viral di media sosial

BERITAMediacorp: Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebilangan 'Mat Saleh' menjadi viral dan popular di alam Melayu ini, khususnya di media sosial, kerana kefasihan mereka bertutur dalam bahasa Melayu.

Berdasarkan tinjauan BERITAMediacorp, terdapat sekurang-kurangnya enam 'Mat Saleh' yang 'terer' atau handal bertutur bahasa Melayu, kini berjaya menambat hati ramai penduduk Melayu.

Keupayaan mereka bercakap dalam bahasa Melayu dan bahasa daerah Melayu dengan fasih, boleh membuatkan sesiapa sahaja yang sering mengungkapkan 'bahasa Melayu saya tak bagus' tersipu malu.

Dalam laporan ini, BERITAMediacorp membawa anda mengenali serba sedikit enam 'Mat Saleh' berjiwa Melayu itu:

1) DANIEL TYLER, ATAU 'MAT DAN'

Ayat "saya suka makang ikang" kedengaran biasa saja jika ia keluar dari mulut penduduk Terengganu. Namun, anda boleh terlopong mulut apabila ayat sedemikian dituturkan oleh 'orang putih' bernama Daniel Tyler.

Warga Bristol berusia 28 tahun itu tiba di Malaysia pada tahun 2009, dan kini memakai nama Melayu iaitu 'Mat Dan'. Beliau mendapat perhatian ramai di media sosial yang seolah-olah tidak menyangka seorang 'Mat Saleh' bukan sekadar boleh bercakap bahasa Melayu, malah 'pekat' pula loghat Terengganunya.


(Gambar: Official Mat Dan/Facebook)

Setelah beberapa tahun berada di Terengganu, Mat Dan memeluk Islam dan menukar namanya kepada Kareef Daniel Abdullah, lapor laman The Star.

Beliau yang selesa bergaul dengan penduduk tempatan, makan nasi berserta ulam dan sambal belacan berkata, beliau terpaksa belajar loghat Terengganu kerana mendapati sukar menggunakan bahasa Inggeris dengan mereka.

"Saya fasih loghat (Terengganu) selepas tiga atau empat tahun," kata Mat Dan seperti yang ditukil laman The Star.

Pengembaraan Mat Dan ke Pulau Kapas, Terengganu buat pertama kali sekitar tujuh tahun lalu membuatkan hatinya terus terpaut kepada keindahannya.

"Pulau itu indah tetapi kemesraan dan layanan baik rakyat Malaysia adalah sebab utama mengapa saya tetap di sini," kata beliau dalam satu laporan The Star. Mat Dan kini mempunyai rancangan travelognya sendiri di televisyen terbitan Astro Prima, Mat Dan Kaki Jalan.


Mat Dan bukan saja jatuh hati dengan Malaysia, malah hatinya juga terpaut pada seorang gadis Melayu asal Terengganu.

Semalam (12 Mac), Mat Dan menamatkan zaman bujangnya dengan gadis yang tidak didedahkan identitinya. Namun menurut laman mStar, gadis itu merupakan seorang pramugari.


2) RHYS WILLIAM

"Cuma seorang 'Mat Salleh' suka makan makanan Malaysia. Jatuh cinta dengan Malaysia tahun 2013".

Itulah pengenalan diri yang tertera di laman Facebook Rhys William, warga Britain yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Menurut Rhys, beliau bercuti di Malaysia pada tahun 2012 namun tanpa disangka, beliau jatuh cinta dengan Malaysia lalu memutuskan untuk terus menetap di negara itu.

Beliau mula belajar bahasa Melayu pada tahun 2014 dan atas saranan rakannya, beliau mula menulis blog "jalan-jalan cari makan" di Malaysia.


(Gambar: Rhys William/Facebook)

Menerusi blog Mat Saleh Cari Makan, Rhys berkongsi tempat-tempat menarik di mana para pengikutnya boleh mendapatkan makanan yang lazat.

Salah satu perkongsian menarik yang dikongsi Rhys adalah, nasi lemak merupakan makanan pertama yang dimakan semasa beliau tiba di Malaysia empat tahun lalu.

Selain berkongsi lokasi makanan "sedap", beliau turut menyelitkan beberapa maklumat menarik tentang makanan dan tempat-tempat tersebut.

Menurut Rhys, tujuan menulis blog adalah untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dan ternyata, ia semakin baik berbanding sebelum ini.

"Mula-mula kena fikir perkataan. Perlu guna 'google translate'. Tapi selepas sudah lama bercakap (dalam bahasa Melayu) boleh bina ayat dalam minda. Tak perlu diterjemahkan," kongsi Rhys dalam satu wawancara bersama Bernama Radio.


"Saya rasa kalau kita nak tinggal di negara lain, walaupun mereka boleh bertutur bahasa Inggeris, saya rasa lebih baik kalau saya boleh bertutur bahasa mereka. Kalau nak merasai sepenuhnya pengalaman di satu-satu negara, lebih baik bertutur bahasa mereka," katanya lagi dalam wawancara bersama rancangan Malaysia Hari Ini di TV3.


3) CASSIDY ANDERSON - SI 'CASSIDYBOLEH'

Nama wanita rakyat Australia ini meletup-letup setelah video yang menunjukkan beliau menyanyikan lagu Melayu iaitu Ombak Rindu, viral pada tahun 2012.

Malah, video tersebut ditonton sebanyak dua juta kali menjadikan beliau artis 'Mat Saleh Wanita' pertama yang dicalonkan bagi anugerah industri muzik Melayu, Anugerah Planet Muzik, pada tahun 2012.

Sejak itu, Cassidy terus popular menerusi video lagu-lagu Melayu yang dinyanyikan semula dengan caranya yang tersendiri.


(Gambar: Cassidy La Creme/Facebook)

Menurut catatan di laman Cassidy La Creme, beliau yang dilahirkan di Australia langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu semasa pertama kali menyanyikan lagu dalam bahasa itu.

Namun, cintanya terhadap bahasa dan budaya Melayu semakin mendalam setelah mula menyanyikan lagu-lagu Melayu.

Malah, ini dibuktikan menerusi 'hashtag' #cassidyboleh yang baru dimulakan di laman YouTube beliau, yang menunjukkan dirinya mencuba pelbagai kegiatan berkaitan budaya Melayu.


Menerusi wawancaranya dengan Astro Awani, Cassidy berkata: "Saya ada ramai kawan Melayu. Saya juga tonton filem Ombak Rindu. Saya juga mendengar lagu-lagu P.Ramlee. Saya tidak tahu lagu apa yang boleh saya nyanyikan, maka rakan saya sarankan agar saya cuba lagu Ombak Rindu.

"Sejak itu (tahun 2012), saya tidak menetap di Asia tetapi saya tidak pernah berhenti. Saya belajar bahasa Melayu setiap dua minggu sekali," katanya.

Walaupun boleh dianggap fasih menyanyi dalam bahasa Melayu, Cassidy mengakui "saya belum fasih" bahasa Melayu, dalam satu wawancara dengan World of Buzz pada September tahun lalu. Tidak seperti Rhys dan Mat Dan yang memang fasih, Cassidy hanya berani menyatakan, beliau 'boleh berbual' dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, oleh kerana Cassidy mempunyai jumlah pengikut yang agak ramai, menurut laporan Astro Awani, beliau berharap untuk mengadakan sebuah konsert berskala kecil khas buat mereka pada suatu hari nanti.


4) BEN BRADSHAW - SI CIKGU BEN ATAU GIGI PUTIH

Ben Bradshaw boleh dikatakan sebagai antara perintis 'Mat Saleh' selebriti yang popular di kalangan orang Melayu kerana mahir bertutur bahasa Melayu.


(Gambar: Ben Bradshaw/Facebook)

Sebelum Mat Dan, Rhys William dan Cassidy Anderson 'viral' di media sosial, Ben Bradshaw menambat hati warga siber menerusi video-videonya di YouTube, bukan saja menerusi pertuturan bahasa Melayu, tetapi juga mengajar bahasa Inggeris dan cara sebutannya yang betul.


Kali terakhir beliau memuat naik video bertutur dalam bahasa Melayu sekitar dua tahun lalu. Namun pada 8 Mac lalu beliau muncul dalam FB live di laman Facebooknya dan berkata bahawa beliau "sudah lama tak buat video".

Beliau menambah, sekarang beliau berkerja dengan abangnya, Adam, mengendalikan sebuah perniagaan yang mengajar bahasa Inggeris kepada orang Thailand.


5) MAT SALEH AMERIKA - BELACAN DAN PAKU

Duo berikut ini juga boleh dikatakan perintis dan satu-satunya 'Mat Saleh' yang muncul dalam video berbahasa Melayu secara berpasangan.


(Gambar: Belacan & Paku/Facebook)

Yang menariknya, dua jejaka Amerika Syarikat itu menggelarkan diri mereka Belacan dan Paku.

Menerusi video-video mereka, si Paku kononnya langsung tidak tahu berbahasa Inggeris dan hanya berbahasa Melayu, manakala si Belacan pula sering menggunakan perkataan 'lah' pada hujung setiap ayat yang disampaikan.


Uniknya, mereka memilih merakam video-video lucu dalam bahasa Melayu. Sekitar 10 video dimuat naik dalam akaun YouTube mereka.

Namun, kali terakhir mereka memuat naik video di YouTube sekitar enam tahun lalu dan sejauh ini masih belum ada khabar sama ada mereka akan kembali merakam video-video dalam bahasa Melayu. 


- BERITAMediacorp/ Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top
>