Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

3 anggota Search diperintah bayar hampir setengah juta ringgit

Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan tiga anggota kumpulan Search membayar hampir setengah juta ringgit kepada sebuah syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
3 anggota Search diperintah bayar hampir setengah juta ringgit

Kumpulan Search. (Gambar: Search (Malaysian Band)/Facebook)

Diterbitkan : 19 Aug 2017 07:23PM Dikemas Kini : 19 Aug 2017 07:29PM

MALAYSIA: Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan tiga anggota kumpulan Search membayar hampir setengah juta ringgit kepada sebuah syarikat atas dakwaan melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka tahun lalu.

Hakim M Gunalan memutuskan pemain gitar Noordin Mohd Taib, 55 tahun, pemain gitar utama Hamzah Mohd Taib atau Kid, 50 tahun dan pemain bass Nasir Daud, 58 tahun membayar ganti rugi khas bernilai RM494,079.71 (S$156,860).

Selain itu mereka juga diarah membayar ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditaksirkan kemudian, lapor Harian Metro.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan AFjets Sdn Bhd bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap mereka.

Ini berikutan Noordin, Kid dan Nasir didapati gagal memfailkan pembelaan terhadap tuntutan AFjets.

Sementara itu, peguam Adnan Seman memaklumkan pihaknya masih meneruskan saman terhadap vokalis Amy Search atau Suhaimi Abd Rahman, 59 tahun.

AFjets memfailkan saman itu pada 14 Oktober tahun lalu, mendakwa anggota kumpulan berkenaan melanggar perjanjian persefahaman membabitkan kerjasama dalam penganjuran konsert itu, menurut laman MalaysiaKini.

Konflik bermula apabila bekas pemain dram kugiran berkenaan, Yazid mengutarakan rasa tidak puas hati berhubung pengagihan bayaran daripada penaja yang didakwa tidak diterima sepenuhnya.

Yazid kemudian membuat laporan polis sementara Search memberikan tempoh 48 jam agar pemain dram itu menarik semula dakwaan berkenaan.

Search kemudian membatalkan memorandum persefahaman (MoU) selepas mendakwa AFjets bersikap tidak profesional menangani kemelut antara mereka dan Yazid, lapor MalaysiaKini.

Manakala AFjets pula mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya menerusi sidang media pembatalan MoU yang diadakan pada 20 Mei lalu. 

Sumber : Agensi berita/NK/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan