Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Unsur agama dan kaum semakin menonjol dalam politik Indonesia

Kekalahan Ahok dalam pilihan raya gabenor Jakarta baru-baru ini bukan setakat kekalahan di tangan Anies Baswedan dalam perebutan kuasa untuk mentadbir ibu kota Indonesia itu.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Unsur agama dan kaum semakin menonjol dalam politik Indonesia

Gabenor Jakarta Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama tiba di mahkamah, 20 April. (Gambar: REUTERS/Tatan Syuflana/Pool)

BERITAMediacorp: Kekalahan Ahok dalam pilihan raya gabenor Jakarta baru-baru ini bukan setakat kekalahan di tangan Anies Baswedan dalam perebutan kuasa untuk mentadbir ibu kota Indonesia itu. Zamil Jemputan Institut ISEAS - Yusof Ishak, Charlotte Setijadi bimbang ia akan menimbulkan keretakan dalam hubungan kaum dan agama di Indonesia:

PENYANDANG jawatan Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama (lebih mesra dikenali sebagai Ahok) mengalami kekalahan teruk dalam pusingan muktamad pilihan raya gabenor Jakarta minggu lalu.

Walaupun keputusan rasmi akan hanya diumumkan pada bulan depan, Encik Basuki mengakui kalah beberapa jam selepas kiraan awal di pelbagai pusat pengundian menunjukkan bahawa mantan Menteri Pendidikan Anies Baswedan dan gandingan beliau usahawan Sandiaga Uno menang besar dengan memperolehi 58 peratus undi.

Keputusan itu adalah sesuatu yang mengecewakan bagi Encik Basuki dan para penyokong setianya, dalam pilihan raya paling kontroversi, yang mendapat liputan meluas dan sebagai penentu agenda di Indonesia dewasa ini.

Encik Basuki yang berketurunan Cina dan beragama Kristian adalah seorang tokoh politik kontroversil di negara dengan penduduk majoriti Muslim itu, di mana kaum etnik Cina berdepan dengan diskriminasi sistemik sejak zaman penjajahan Belanda lagi.

Tambahan pula, soal agama telah dijadikan sebahagian besar bahan kempen pilihan raya Jakarta ekoran dakwaan penistaan agama terhadap Encik Basuki yang bermula pada Oktober tahun lalu sehingga menyebabkan beliau dibicarakan di mahkamah.

Kumpulan-kumpulan tegar seperti Fron Pembela Islam (FPI) telah menganjurkan tunjuk perasaan besar-besaran dan melancarkan kempen kotor yang sangat berkesan berdasarkan retorik bahawa undian terhadap Encik Basuki adalah undi terhadap Islam.

Walaupun tidak menyerang Encik Basuki secara langsung kerana meluahkan kata-kata kufur, lawannya, Encik Anies yang disokong calon presiden Encik Prabowo Subianto, memihak dengan pihak-pihak tegar dalam usaha menarik para pengundi Muslim yang konservatif.

SENTIMEN PERKAUMAN

Kekalahan Encik Basuki itu menunjukkan bahawa strategi membangkitkan sentimen agama – sedikit sebanyak, sentimen perkauman – telah membuahkan hasil.

Sebelum menghadapi dakwaan melakukan penistaan agama, Encik Basuki diramal akan menang besar, dan kadar kepuasan prestasi beliau adalah (dan masih lagi kekal) tekal pada kadar lebih 70 peratus.

Meskipun ramai pengundi kurang senang dengan gerak lakunya yang kasar, dasar-dasar dan pembaharuan birokrasi beliau pada umumnya, popular di kalangan para penduduk Jakarta.

Kekalahan seorang penyandang gabenor yang popular dan berkesan dalam pilihan raya ekoran isu-isu berkaitan agama merupakan satu tamparan besar kepada keadaan masyarakat majmuk di Indonesia.

Dari segi politik, kekalahan Encik Basuki itu dilihat sebagai adalah satu tamparan hebat kepada sekutu rapatnya Presiden Joko Widodo yang merupakan simbol bagi pemerintahan sekular.

FAKTOR AGAMA & KAUM

Mungkin perkara yang paling mengejutkan dalam kekalahan Encik Basuki adalah jurang kemenangan besar yang diraih Encik Anies.

Kebanyakan penganalisis meramalkan persaingan yang sengit. Tetapi kemenangan besar Encik Anies menunjukkan bahawa agama dan kaum memainkan peranan yang lebih penting dalam menentukan kelakuan mengundi dari yang disangka sebelum ini.

Encik Basuki kalah dalam pilihan raya tersebut meskipun mendapat sokongan parti-parti Islam sederhana PKB (Parti Kebangkitan Bangsa) dan PPP (Partai Persatuan Pembangunan), serta sokongan dari beberapa ulama Islam sederhana yang berpengaruh.

Tambahan lagi, kebanyakan pengundi Muslim yang sebelum ini memilih calon Agus Yudhoyono yang kalah dalam pusingan pertama dijangka akan mengalihkan sokongan mereka kepada Encik Anies. Sebahagian pengundi Muslim sederhana pula dijangka akan memilih Encik Basuki untuk tidak bersekutu dengan pihak-pihak Muslim tegar.

Kempen Encik Basuki ternyata gagal untuk bersaing dengan retorik memecah belah kuat yang disebarkan kumpulan-kumpulan Islam konservatif yang menyasarkan penduduk Islam sederhana Jakarta yang biasanya bersikap toleran.

RETORIK MENAKUT-NAKUTKAN

Sememangnya amat sukar bagi pasukan kempen Encik Basuki untuk meyakinkan para pengundi Muslim yang masih teragak-agak di tengah-tengah retorik yang menakutkan seperti mengatakan bahawa mengundi untuk seorang penghina yang bukan beragama Islam seperti Encik Basuki membawa dosa yang tidak dapat diampunkan.

Satu lagi contoh sewaktu musim kempen itu adalah khabar-khabar angin dan laporan-laporan yang mendakwa masjid-masjid akan menolak pengebumian secara Islam untuk para penyokong Ahok.

Kuasa menggunakan emosi dan rasa takut di kalangan orang-orang beriman tidak boleh dipandang ringan dan, sememangnya, sebahagian besar daripada penduduk Muslim Jakarta - malah mereka yang menaruh simpati terhadap Encik Basuki - akhirnya mengundi memilih Encik Anies.

Kemenangan Encik Anies juga menunjukkan bahawa unsur-unsur politik Islam di ibu negara Indonesia itu sedang berubah dengan pesat.

Kejayaan kumpulan-kumpulan tegar untuk mempolitikkan kes penistaan agama itu menunjukkan bahawa kumpulan-kumpulan Islam konservatif yang utama telah menjadi lebih teratur, mendapat pembiayaan dan ada kaitan politik, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk bertindak pada waktu-waktu utama, seperti pilihan raya yang penting.

Jakarta menetapkan trend untuk merata negara, jadi pilihan raya ini telah mencorakkan suatu perkembangan politik yang membimbangkan, terutamanya menjelang pilihan raya presiden 2019.

PERKEMBANGAN SETERUSNYA

Jadi, apakah yang akan berlaku seterusnya? Kehilangan Encik Basuki sebagai sekutu utama di ibu negara merupakan satu tamparan besar kepada Encik Widodo, yang berdepan dengan tentangan kuat dalam perjuangannya untuk mendapat kedominan politik.

Sebaliknya, kejayaan Encik Subianto dan parti Gerindra beliau dalam memberi sokongan kepada Encik Anies sehingga perlantikannya ke jawatan politik tertinggi Jakarta, telah meningkatkan pengaruh politik mereka di ibu negara Indonesia itu.

Malah, pemilihan baru-baru ini mendedahkan bahawa populariti Encik Subianto telah mendapat rangsangan ketara selepas pilihan raya Jakarta itu.

Sekiranya beliau bertanding lagi untuk jawatan presiden pada 2019 seperti yang dijangkakan, Encik Subianto mungkin akan anggap sebagai calon yang lebih sukar untuk diatasi dengan sokongan kumpulan-kumpulan Islam konservatif.

PEMILIHAN PRESIDEN 2019

Penting juga untuk menarik perhatian bahawa dengan memenangi pilihan raya Jakarta, Encik Anies sendiri kini dalam kedudukan yang sangat baik untuk
menjadi calon presiden pada 2019.

Prospek ini sudah pasti akan meletakkan beliau dalam konflik dengan Encik Subianto, tetapi Encik Anies telah membuktikan dirinya sebagai pemain politik yang sangat bercita-cita tinggi dan berkemampuan.

Encik Anies telah menjadi tokoh utama yang patut diberi perhatian dalam bulan-bulan mendatang, dan kedua-dua Encik Widodo dan Encik Subianto silap sekiranya mereka memandang rendah potensinya sebagai seorang pencabar.

Bagi Encik Basuki, pihak pendakwa raya telah mengumumkan pada hari selepas pilihan raya bahawa mereka menggesa supaya hakim menjatuhkan hukuman penjara selama setahun dengan tempoh probesyen selama dua tahun jika beliau didapati bersalah atas kesalahan menghina Islam.

Ini membawa sedikit kelegaan kepada Encik Basuki dan para penyokongnya, dan sudahpun timbul khabar-khabar angin bahawa Encik Widodo mungkin akan memberinya peranan kepimpinan yang penting dalam masa terdekat.

Kehilangan jawatan gabenor Jakarta pastinya tidak bermakna kerjaya politik Encik Basuki sudah berakhir, terutamanya sekarang apabila beliau telah menjadi simbol harapan bagi Indonesia yang liberal progresif.

PERANAN MENONJOL AGAMA & KAUM

Apa yang pasti adalah Encik Widodo kini perlu bersiap sedia untuk menghadapi peranan agama dan kaum yang semakin menonjol dalam kempen-kempen akan datang dan serangan-serangan politik.

Mr Subianto sudah pasti akan cuba memanfaatkan pergerakan Islamis untuk kelebihan beliau, walaupun ia satu strategi yang sangat berbahaya.

Melangkah ke hadapan, semua pemain politik perlu pertimbangkan dengan serius jumlah dan pengaruh kumpulan-kumpulan Islam sektarian di peringkat nasional yang semakin meningkat.

MENGENAI PENULIS:

Charlotte Setijadi adalah Zamil Jemputan Program Pengajian Indonesia, Institut ISEAS - Yusof Ishak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan