Images
  • Dr Norshahril Saat
    Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

KOMENTAR: Tingkatkan takrif kesederhanaan ke paras lebih tinggi lagi

Siapakah sebenarnya seorang Muslim sederhana? Menolak pengganasan atau pun sekadar menghormati orang lain dengan memberikan ucapan selamat tidak cukup untuk menunjukkan sikap sederhana. Menurut Dr Norsharil Saat, masyarakat Islam perlu pergi lebih jauh lagi dengan benar-benar menyerap nilai-nilai sejagat yang diajarkan Islam sebelum kita boleh menggelarkan diri kita Muslim sederhana.

MASYARAKAT Melayu/Islam yang menetap di rantau ini sering dilihat sebagai satu kelompok yang mengamalkan Islam secara sederhana. Walaupun mereka kuat beragama, mereka masih memberi ruang terhadap budaya lokal.

Orientasi kesederhanaan sedemikian mungkin natijah daripada cara Islam disebarkan ke rantau Asia Tenggara. Salah satu golongan yang memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di sini adalah golongan Sufi dan pedagang.

Islam tidak disebarkan dengan cara paksa. Sebaliknya, kumpulan yang membawa Islam ke sini menitikberatkan soal akhlak selain soal ketuhanan. Mereka juga memberi masyarakat tempatan waktu untuk mengubah cara mereka berdagang, berkeluarga, bekerja, mengamalkan budaya atau adat istiadat, dalam masa yang sama mengaku sebagai seorang Muslim.

Disebabkan peranan yang dimainkan oleh ulama-ulama terdahulu, banyak sekali aspek budaya yang masih kekal hingga ke hari ini, dan ia tidak dilihat sebagai bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Misalnya, adat bersanding dalam majlis perkahwinan masih dikekalkan walaupun ia bukan berasal daripada Islam. Begitu juga dengan diet orang-orang Melayu, tarian Melayu, dan muzik Melayu; semuanya dikekalkan dan dianggap sebati dengan ajaran Islam.

Tambahan lagi, kesederhanaan dinilai dari aspek masyarakat Islam yang tidak canggung bergaul dengan masyarakat bukan Islam. Prinsip ini diterapkan dalam perlembagaan negara-negara jiran kita yang majoriti Muslim.

Perlembangaan Indonesia dan Malaysia menggaris-bawahi aspek menghormati hak-hak bukan Islam atau golongan minoriti. Ini adalah contoh bahawa pendiri-pendiri negara-negara tersebut percaya pada nilai Islam dan menghormati perbezaan.

Merenung pada pengalaman peribadi saya sebagai seorang yang lahir pada awal 80an, dan belajar di sebuah sekolah kejiranan, saya tidak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sedarjah yang bukan Islam.

Malah kita melakukan kegiatan riadah bersama, makan bersama di kantin sekolah, dan menurut serta dalam kegiatan luar darjah bersama-sama. Saya masih ingat apabila muncul musim-musim perayaan, seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Krismas, atau Deepavali, pengetua sekolah kami akan menyuruh setiap pelajar untuk memberikan ucapan selamat kepada pelajar-pelajar yang lain.


MRT bertema Krismas. (Gambar: Ernest Chua, TODAY)

Tidak timbul pada masa itu bahawa saya seorang yang mengamalkan Islam sederhana kerana memberi ucapan tersebut, kerana itu adalah nilai universal yang dianjurkan bukan sahaja oleh agama Islam, tetapi agama-agama lain juga.

Namun, gelaran “moderat” atau “ekstrim” dinilai dari ukuran yang berbeza hari ini. Semasa di zaman sekolah, persoalan sama ada saya boleh mengucapkan “Merry Christmas”’ kepada rakan-rakan beragama Kristian tidak timbul.

Masyarakat Islam kita secara umumnya juga tidak meminta sebarang fatwa atau pandangan orang alim sebelum mengucapkannya. Tiada keraguan sama-sekali bahawa ucapan tersebut boleh menyebabkan saya kurang Islam.

KONSISTEN DALAM PEMIKIRAN

Bagi saya, hal yang lebih meruncing dalam mengamalkan Islam sederhana adalah bersikap konsisten dalam pendirian. Sikap konsisten ini perlu dinilai dari sudut pandangan terhadap dunia.

Sebagai contoh, umat Islam tentu marah dengan sikap Presiden Amerika, Donald Trump, yang berbaur perkauman dan Islamofobik. Mereka marah dengan sekatan kemasukan imigran dari tujuh buah negara Islam.

Kita mahu Presiden Amerika itu bersikap sederhana terhadap Muslim. Namun, apakah sikap kita terhadap pemimpin negara-negara Islam yang menghambur bibit-bibit permusuhan terhadap orang bukan Islam? Kita harus jujur tentang kelemahan pemimpin-pemimpin Islam yang bertindak di luar landasan Islam.

Dalam masa yang sama, kita perlu muhasabah diri dalam memerhatikan tindakan kita terhadap golongan yang berbeza pandangan daripada kita. Sebagai contoh, kita seringkali mengecam golongan yang tidak berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah (Sunni) dan terus mengatakan mereka kafir.

Begitu juga dalam pertembungan Sufi dan Wahhabi, bila mana kedua-dua golongan sering mengatakan pendirian mereka sahaja yang betul.

Tetapi sejauh mana masyarakat kita didedahkan dengan Deklarasi Amman, di mana tokoh-tokoh Islam terkemuka dunia bersetuju bahawa banyak sekali fahaman, Sunni, Sufi, Wahhabi, dan beberapa golongan Syiah adalah termasuk dalam golongan Islam? Seorang yang berjiwa sederhana harus berani menyatakan pendirian yang benar walaupun ia ia boleh menjejas populariti sendiri atau dikecam sebagai salah.


(Gambar hiasan: AFP/MOHD FYROL)

CIRI-CIRI SEDERHANA

Di sini saya menyeru masyarakat kita agar menaikkan takrifan sederhana ke satu aras yang lebih tinggi. Isu seperti bolehkah kita memberi salam kepada penganut agama lain adalah perkara lama, dan saya tidak fikir seorang boleh digelar sederhana hanya dengan membolehkannya. Ia dibolehkan oleh majoriti ulama di merata dunia.

Contoh yang kedua, seseorang tidak boleh digelar moderat hanya dengan mengutuk keganasan. Kutukan terhadap keganasan bukanlah ukuran bahawa seseorang berjiwa sederhana. Isu keganasan adalah isu yang jelas keluar daripada agama, bukan hanya bagi penganut agama Islam, tetapi agama-agama lain juga.

Dalam erti kata lain, terorisme adalah masalah universal. Yang harus diberikan perhatian adalah sama ada golongan yang mengutuk terorisme ini berlaku adil terhadap masyarakat minoriti yang berbeza pandangan daripada.

Yang lebih mendukacitakan sekali, kita hanya bersuara apabila sesuatu hal menjejas masyarakat kita atau kelompok kita, tetapi membisu apabila nilai-nilai kemanusiaan dicantas terhadap masyarakat lain.

Kesederhanaan, pada hemat saya, adalah seorang yang benar-benar menyerap nilai-nilai universal yang diajarkan dalam agama. Ini termasuk prinsip keadilan, kejujuran, dan kemanusiaan.

Sebelum kita menggelar agama kita sebagai sebuah agama rahmat untuk seluruh alam, kita perlu mengambil masa untuk fikirkan sejauh masa kita mendekati golongan berfahaman lain. Kalau masih ada bibit-bibit kebencian yang ditanamkan terhadap golongan minoriti—dari sudut agama, fahaman, dan gender — seseorang itu masih belum boleh bergelar moderat.


MENGENAI PENULIS:
Seorang pakar dan pengamat politik Asia Tenggara, Dr Norshahril Saat adalah Zamil di ISEAS - Institut Yusof Ishak.  

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top