Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Suaka dan bersuara - di mana batasnya

Ia sehingga menimbulkan reaksi tegas daripada Persatuan Jenayah Peguam Singapura (ACLS) dan Persatuan Undang-Undang Singapura yang tidak bersetuju dengan keputusan hakim.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Suaka dan bersuara - di mana batasnya

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)

BERITAMediacorp: Permohonan suaka politik yang dikemukakan oleh penulis blog Amos Yee kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat telah mencetuskan pelbagai reaksi di Singapura. Persatuan Peguam Jenayah Singapura dan Persatuan Guaman Singapura tidak bersetuju dengan keputusan seorang hakim di Amerika yang meluluskan permohonan itu. Rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP, Zhulkarnain Abdul Rahim memberikan pandangan beliau mengenai kesan keputusan itu.

Penulis blog, Amos Yee tiba di Mahkamah Negara pada 27 Mei bersama ibunya. (Gambar: Calvin Oh)

Penulis blog, Amos Yee tiba di Mahkamah Negara bersama ibunya. (Gambar: Calvin Oh)

BARU-BARU ini, keputusan Mahkamah Imigresen Chicago, Amerika Syarikat dalam memberikan suaka politik kepada seorang blogger Singapura, Amos Yee, bukan sahaja telah menarik perhatian seluruh dunia tetapi mencetuskan perbahasan di Singapura.

Ia sehingga menimbulkan reaksi tegas daripada Persatuan Peguam Jenayah Singapura (ACLS) dan Persatuan Guaman Singapura yang tidak bersetuju dengan keputusan hakim itu yang meragui sistem keadilan jenayah di Singapura.

Yee, yang tidak pernah jauh daripada kontroversi, didapati bersalah pada tahun 2015 atas tuduhan menghina penganut agama Kristian di Singapura dengan komen yang dibuatnya mengenai Mendiang Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew.

Pada September 2016, beliau dijatuhi hukuman penjara enam minggu atas tuduhan menyinggung perasaan penganut agama Kristian dan Islam menurut seksyen 298 Kanun Keseksaan.

SINGAPURA TEGAS TERHADAP KEBENCIAN

Singapura mempunyai undang-undang yang tegas bagi mengongkong sebarang ucapan yang berbaur kebencian atau yang bertujuan untuk merosakkan keharmonian agama dan kaum di Singapura.

Oleh itu, tidaklah mengejutkan apabila Yee, sabit kesalahan dan diberikan hukuman yang setimpal untuk melindungi konteks kehidupan Singapura yang berbilang agama dan kaum.

Maka mengapakah Mahkamah di Amerika Syarikat memberinya suaka? Apakah implikasi keputusan itu terhadap kami di Singapura?

Baru-baru ini, terdapat laporan bahawa seorang lagi blogger dan pengkritik lantang, Han Hui Hui, juga bertujuan untuk mendapatkan perlindungan suaka di sebuah negara di Eropah.

Adakah ini akan menggalakkan lebih ramai lagi pengkritik untuk berkomen tanpa memikirkan tentang perasaan sesetengah lapisan masyarakat? Sepertimana yang berlaku di negara-negara yang kononnya lebih moden, di mana kebebasan untuk bersuara tidak terbatas dan tiada menghormati sebarang batasan.

SEJARAH SUAKA DAN RANGKA UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA

Hak suaka sudah lama wujud di dalam perundangan dan juga sejarah Islam. Penganut awal Islam di Mekkah menghadapi penindasan dan penganiyaaan oleh kaum Quraisy.

Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w. menasihati segolongan sahabat untuk berhijrah dan meminta perlindungan di Habsyah (kini Ethiopia dan Eritrea) yang pada masa itu di bawah pemerintahan Raja Najasyi.

Walaupun beliau seorang yang beragama Kristian, Raja Najasyi bertindak dengan adil dalam memberikan perlindungan suaka pada umat Islam yang berhijrah ke Habsyah untuk mengelakkan diri daripada penindasan di Mekah.

Kini, suaka politik merupakan satu konsep perundangan di mana seseorang yang dianiaya oleh negara mereka sendiri, boleh meminta perlindungan daripada suatu pihak berkuasa berdaulat.

Mengikut Artikel 14 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, semua orang mempunyai hak untuk memohon dan menikmati perlindungan politik dalam negara lain jika menghadapi sebarang penganiayaan atau penindasan.

Bangsa-Bangsa Bersatu juga mempunyai rangka kerja konvensyen dalam hal ini, iaitu Konvensyen PBB Berkaitan dengan Status Pelarian pada tahun 1951 dan Protokol Berkaitan dengan Status Pelarian mengenai perlindungan politik pada tahun 1967.

Di bawah perjanjian tersebut, pelarian adalah orang yang berada di luar wilayah negara mereka sendiri kerana takut ditindasi atas sebab-sebab yang merangkumi isu tentang bangsa, kasta, kewarganegaraan, agama, pendapat politik atau penyertaan dalam badan-badan sosial tertentu.

Walaupun Singapura tidak menandatangani perjanjian Bangsa-Bangsa Bersatu tersebut, ini tidak bermakna bahawa Singapura tidak bersimpati dengan isu-isu pelarian atau penindasan yang berkaitan dengan peri kemanusiaan.

PELARIAN DAN SUAKA DI SINGAPURA

Latar langit kawasan perniagaan di Singapura. (Foto: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Latar langit kawasan perniagaan di Singapura. (Foto: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Sebagai sebuah negara yang kecil dengan tanah yang terhad, Singapura tidak boleh memberi suaka atau status pelarian kepada sebarang orang.

Kemasukan pelarian dan pencari suaka sudah pasti akan mengakibatkan infrastruktur negara kita untuk menjadi lebih tegang dan ia juga mungkin boleh menjejaskan kestabilan masyarakat berbilang kaum di Singapura.

Walaupun begitu, pada tahun 1978, Singapura dan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) telah memeterai perjanjian untuk memberi pelindungan sementara kepada pelarian daripada Vietnam (boat people).

Singapura bersetuju untuk menubuhkan sebuah kem transit di Hawkins Road untuk membolehkan pelarian tinggal di sini bagi tempoh sementara sewaktu mereka menunggu penempatan semula ke negara ketiga.

Secara ringkasnya, pendekatan Singapura tentang isu pelarian dan suaka politik adalah pendekatan yang seimbang dan sentiasa memberi penekanan kepada masyarakat berbilang kaum kita di Singapura dan sumber kita yang terhad.

BUKAN PENGANIAYAAN TAPI PENGHAKIMAN

Berbalik kepada keputusan Hakim Samuel B. Cole, hakim Mahkamah Imigresen dalam kes Amos Yee: di Amerika Syarikat, terdapat beberapa kriteria untuk suaka politik.

Amos Yee di luar Mahkamah Negara hari ini. (Gambar: Justin Ong)

Amos Yee di luar Mahkamah Negara. (Gambar: Justin Ong)

Pertama, pemohon suaka perlu membuktikan bahawa dia takut penindasan atau penganiayaan di negara asal mereka.

Kedua, pemohon itu perlu membuktikan bahawa dia akan dituduh atau didakwa atas dasar kaum, agama, bangsa, pandangan politik atau kumpulan sosial.

Ketiga, dia harus membuktikan penglibatan pemerintah dalam penindasan tersebut.

Bagi ramai warganegara Singapura, Yee telah sabit kesalahan atas jenayah mengucapkan kata-kata yang berbaur perkauman atau kebencian.

Ini jelas tidak boleh diterima dan tiada tempat dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Amerika Syarikat telah menerima keterangan Yee yang menuduh pendakwaan beliau di Mahkamah Singapura adalah untuk mengekang pendapat politiknya.

Dalam keputusan tertulis beliau, Hakim Cole memberi lapan sebab utama mengapa beliau berpendapat bahawa Yee boleh diberikan suaka.

TIADA ALASAN UNTUK MENGHINA SESIAPA

Namun, tiada satu pun sebab yang boleh dijadikan alasan oleh Yee untuk menghina sebarang kaum atau agama di Singapura.

Mahkamah Amerika Syarikat hanya dapat mendengar daripada saksi-saksi dan bukti-bukti yang diketengahkan oleh Yee sahaja dan ini tidak memberi gambaran yang penuh.

Yee bukan satu-satunya orang yang didakwa kerana mengulas ucapan benci di Singapura.

Malah, lebih ramai lagi individu yang telah melanggar undang-undang yang sama juga pernah didakwa.

Gambar fail Amos Yee. (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Gambar fail Amos Yee. (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Hakikatnya, dia tidak didakwa kerana membuat kenyataan mengenai mendiang Lee Kuan Yew atau pemerintah Singapura, tetapi dia didakwa atas ucapan beliau yang menyinggung perasaan penganut agama Kristian dan Islam.

Kes Yee masih berlangsung kerana tempoh rayuan oleh pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat jatuh pada tanggal 23 April 2017.

Isu politik harus ditolak tepi kerana pokok persoalannya adalah Yee telah melakukan kesalahan menyinggung perasaan penganut agama dan kaum di Singapura.

Ini bukan penganiayaan atau penindasan terhadap Yee untuk menutup haknya untuk bersuara, tetapi hukuman yang setimpal bagi sesiapa yang melanggar undang-undang negara atau menjejas kestabilan keharmonian rakyat berbilang kaum di Singapura.

MENGHORMATI CARA SINGAPURA

Walaupun kita harus menghormati keputusan mahkamah asing, kita tidak boleh membenarkan ia untuk mengubah pendekatan kita dalam menangani isu-isu sensitif terutamanya berkenaan dengan perkara kaum atau agama.

Gambar fail para pejalan kaki di pusat kewangan Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Gambar fail para pejalan kaki di pusat kewangan Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Walaupun sesetengah pihak cenderung mempolitikkan isu mengenai Yee, saya mohon berbeza pendapat. Ia pada dasarnya adalah isu menghormati sesama rakyat dan penduduk Singapura yang datang dari pelbagai kaum dan agama.

Apa yang telah dilakukan Yee tidak boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat; bukan sahaja oleh pemerintah Singapura.

Sejarah Singapura telah menunjukkan bahawa walaupun kita mengalu-alukan rakyat pelbagai kepercayaan, pendapat dan kecenderungan politik, teras dan nilai-nilai bersama sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum tidak boleh dikompromi.

JANGAN DIBIAR TINDAKAN MEMECAHBELAHKAN

Justeru kita tidak boleh membiarkan tindakan yang boleh memecah-belahkan masyarakat kita. Ini sama ada tindakan itu dilakukan oleh warga asing atau warga Singapura sendiri dan tidak mengira bangsa atau agama mahupun bahasa yang digunakan kerana ucapan yang berbaur benci harus tetap dibenci.

Pada akhirnya, bagi saya, kes ini bukan mengenai perlindungan politik atau suaka semata-mata, tetapi ia menguji tekad kita sebagai rakyat Singapura untuk menentang unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan kita dan membiak permusuhan antara kita.

Saya katakan ini sebagai peringatan kepada kita semua, termasuk diri saya sendiri, bahawa kita perlu bersatu bersama semua rakyat Singapura, tidak kira kaum atau agama, dalam membendung ucapan benci dan mengecam tindakan yang memecah-belahkan.

Ini walaupun jika saban hari nanti, ucapan sebegitu datang atau berasal daripada anggota masyarakat, agama atau keluarga kita sendiri. Tatkala pada hari itu, haruslah kita membuat keputusan sama ada untuk bersuara menegakkan yang benar atau menegakkan benang yang basah.

Dalam pada masa yang sama, tidak salah untuk bertukar pendapat dan bersuara bagi membuat perubahan yang positif di dalam masyarakat.

Tetapi apabila menegur atau bersuara, harus dengan berbudi bahasa, harus tetap berhemah dan harus terus berhormat.

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)

MENGENAI PENULIS:

Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan