Images
  • hawazi
    Mantan Anggota Parlimen dan Setiausaha Parlimen Kanan Hawazi Daipi. (Gambar: Facebook/ Hawazi Daipi)

KOMENTAR: Singapura yang kita mahukan - Selamat dan Bebas Dadah

BERITAMediacorp: Baru-baru ini kempen ‘Dadah Itu Haram’ dilancarkan di Singapura. Satu pakatan masyarakat meliputi sebilangan badan Melayu/Islam dengan dipimpin PERGAS, setuju berganding bahu untuk menyebarkan mesej bahaya dadah. Pendeknya, masalah dadah kembali diberi perhatian tinggi untuk ditangani.

Baru-baru ini juga mantan Anggota Parlimen dan Setiausaha Parlimen Kanan Hawazi Daipi dilantik menjadi Pengerusi Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA). Dalam artikel KOMENTAR yang beliau sumbangkan kepada BERITAMediacorp ini, Encik Hawazi menyingkap masalah dadah di negara ini, membincangkan cabaran-cabarannya dalam menangani isu dadah, serta cadangan-cadangan beliau untuk masyarakat menepis penangan najis dadah.


Dadah heroin dan ganja dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands. (Gambar: CNB)

SINGAPURA yang bebas dadah, adakah ia satu visi yang boleh direalisasikan atau satu impian diluar jangkauan? Apakah kita akan menjadi sebuah negara yang bersikap toleran terhadap dadah dan menyediakan penagih dengan peralatan menggunakan dadah di persekitaran yang khusus dan selamat?

Senario sedemikian mungkin melucukan tetapi ia dipraktikkan di negara yang mengamalkan pendekatan pengurangan kemudaratan (harm reduction), untuk mengurangkan kemudaratan yang berkaitan dengan penggunaan dadah.

Saya tidak ragu tentang Singapura yang bagaimana yang saya mahu diami, begitu juga untuk anak dan cucu saya, terutama sekali setelah menyaksikan perubahan lanskap masalah dadah di sini sejak sekian lama.

Masalah dadah yang terkawal yang kita nikmati di Singapura bukanlah sesuatu yang datang bergolek. Situasi penyalahgunanan dadah telah berubah mengikut peredaran masa. Dalam tahun 1970-an, heroin muncul di Singapura dan penyalahgunaannya menjadi berleluasa.

TEGAS TERHADAP DADAH, PESALAH BERKURANGAN

Pada waktu itu, pemerintah mengambil tindakan tegas untuk mengawal keadaan. Pada kemuncak masalah dadah dalam tahun 1990-an, pihak berkuasa telah memberkas 6,000–7,000 penyalahguna dadah setahun.


Pegawai CNB menangkap seorang suspek dadah yang disyaki, sewaktu operasi 11 hari di seluruh negara. (Gambar: CNB)

Tahun lalu, seramai 3,245 penyalahguna dadah diberkas, mencerminkan pencapaian yang bertambah baik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Berdasarkan bilangan penahanan semata-mata, ramai orang mungkin beranggapan bahawa penyalahgunaan dadah bukanlah masalah besar di Singapura.

Namun, pada hemat saya, sebaliknya. Malah, tanggapan itu boleh menimbulkan masalah. Sebenarnya, saya bimbang akan pandangan sedemikian kerana ia boleh membuat kita semua leka dan tidak mengambil langkah wajar untuk mencegah penagihan.

Tambahan pula, walaupun angka penangkapan penagih dadah telah menurun, bilangan penagih Melayu dan India yang diberkas telah meningkat.

BILANGAN PENAGIH MELAYU MENINGKAT

Di kalangan penagih Melayu, angkanya meningkat daripada 1,376 pada tahun 2010 kepada 1,738 pada tahun 2015. Sementara angka penagih India meningkat daripada 403 pada tahun 2010 kepada 522 pada tahun 2015. Jelas sekali, kadar penyalahguna dadah Melayu terlalu besar.

Adakah kita mangsa kejayaan kita sendiri, sehinggakan ramai orang Singapura tidak sedar akan masalah dadah yang kita hadapi kerana jalan-jalan kita bebas daripada pengedar dan penagih dadah?

Di Singapura tidak ada zon hitam di mana penagih menggunakan atau menjual dadah, di mana alat penyuntik ataupun peralatan menggunakan dadah bertaburan secara terbuka.


Gambar fail penduduk Singapura. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Dengan masalah dadah yang terkawal, kebanyakan rakyat Singapura mungkin tidak melihat atau terdedah kepada dadah, dan ramai tidak sedar tentang kemudaratan akibat penagihan dadah, bukan sahaja kepada penagih, tetapi juga kepada anggota keluarga dan orang-orang yang tersayang.

Pengaruh luaran juga adalah sesuatu yang membimbangkan: Di peringkat antarabangsa terdapat usaha pro-aktif melobi dan mempromosikan dadah dan pengalaman di luar negara menunjukkan penyalahgunaan dadah banyak dipengaruhi oleh budaya pop. Hakikatnya, dengan e-dagang menjadi cara baru untuk mengedar dadah, kita senantiasa dicengkam ancaman.

MEMBIMBANGKAN: PENAGIHAN DADAH PILIHAN PERIBADI

Saya telah menghadiri Sesi Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Masalah Dadah atau UNGASS pada 19-21 Apr 2016. Sidang di New York itu diadakan untuk mengkaji semula kemajuan dan menilai cabaran dan pencapaian dalam usaha menangani masalah dadah sedunia.

Semasa perhimpunan, banyak negara mengambil peluang untuk menyokong pelbagai langkah. Saya melihat bagaimana wakil beberapa pertubuhan nasional dan bukan-pemerintah membentangkan kes mereka dengan penuh semangat bahawa penyalahgunaan dadah adalah pilihan peribadi dan pilihan tersebut sepatutnya menjadi hak asasi seseorang dalam masyarakat yang bebas dan demokratik.

Mereka melihat penagihan dadah sebagai isu kesihatan awam yang harus ditangani melalui kaedah perubatan semata-mata. Bolehkah penyalahgunaan dadah dengan mudah dianggap sebagai pilihan peribadi? Hakikatnya, kesan dan akibatnya akan ditanggung oleh kedua-dua individu dan masyarakat.

Penyalahgunaan dadah sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas masyarakat dan keluarga.

Di peringkat peribadi, ia boleh mengakibatkan kehilangan pendapatan dan sumber kehidupan, serta mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan diri dan kesejahteraan. Selain dari itu, penagih dadah juga mungkin tidak mengendahkan atau mendera anggota keluarga mereka, mengakibatkan kemudaratan yang berkekalan keatas anak-anak mereka yang membesar dalam persekitaran yang mendedahkan mereka kepada bahaya.

Di peringkat masyarakat, ia akan menjejas produktiviti tenaga kerja and kenaikan dalam kos penjagaan kesihatan akibat daripada kesan penagihan jangka panjang yang harus ditanggung oleh masyarakat.

Terdapat juga implikasi undang-undang dan keamanan kerana penagih dadah boleh melibatkan diri dalam jenayah untuk membiayai ketagihan mereka. Penggunaan dadah menyebabkan ketagihan dan boleh menyebabkan kemahuan yang tidak boleh dipuaskan dan ini boleh membawa kesan yang buruk kepada keluarga dan masyarakat.


Ganja seberat 5kg yang dirampas para pegawai CNB. (Gambar: CNB)

GEJALA KANABIS SEBAGAI ‘PENAWAR PERUBATAN'

Dengan implikasi seburuk itu, mengapa masih ada orang-orang yang menyalahgunakan dadah? Ini sebahagiannya disebabkan oleh maklumat yang salah tentang dadah yang semakin mendapat sambutan dan perhatian melalui media baru.

Umpamanya, hujah yang selalu boleh kita dengar ialah kanabis atau ganja adalah penawar bagi beberapa kondisi perubatan, dan kanabis tidak memudaratkan atau menyebabkan ketagihan. Namun, keselamatan dan keberkesanan kanabis dari segi perubatan belum disahkan oleh kaedah atau hasil kajian saintifik.

Beberapa Kannabinoids (kimia yang terdapat didalam tumbuhan) menunjukkan potensi dalam ujian makmal, tetapi lebih banyak ujian yang lebih ketat diperlukan sebelum bahan kimia tersebut boleh digunakan ke atas manusia. Walaupun faedah perubatan kanabis masih dinilai, kemudaratan kanabis telah pun didokumentasikan dengan jelas oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penagih kanabis boleh mengalami kebimbangan dan kekeliruan, masalah pernafasan, dan terutamanya untuk belia yang mula menyalahgunakan dadah pada usia amat muda, mungkin terdapat kerosakan dalam perkembangan otak mereka atau kemerosotan dalam kecerdasan mereka. Satu kajian bebas bidang perubatan yang dijalankan oleh pengkaji dari Institut Kesihatan Mental, mendapati kanabis boleh menyebabkan ketagihan, dengan 1 dalam 2 penyalahguna harian mengalami ketagihan.

MUDARAT APABILA MASYARAKAT ‘TOLERAN’ TERHADAP KANABIS

Berdasarkan dapatan itu, kita perlu bertanya pada diri kita sendiri sama ada kita mahukan sebuah masyarakat di mana anak kita boleh mendapatkan kanabis dengan mudah.


4 buku dadah dipercayai dadah jenis cannabis. (Gambar: ICA, CNB)

Pada 2012, negeri Colorado di Amerika Syarikat membenarkan penggunaan kanabis secara rekreasi. Sejak itu, kajian menunjukkan bahawa jumlah orang yang menggunakan kanabis meningkat sebanyak 20% selepas undang-undang mengenainya diluluskan.

Ini sebahagiannya berpunca daripada tanggapan orang ramai bahawa kanabis tidak memudaratkan dan dadah itu pula boleh didapati dengan mudah.

Sebagai Pengerusi Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA), saya prihatin dengan Kajian Persepsi NCADA 2015/16 yang menunjukkan adanya potensi untuk sikap yang lebih toleran terhadap dadah di kalangan belia kita.

Belia yang kurang berpengalaman atau berpengetahuan mudah terpedaya dengan dadah kerana mereka mendapat maklumat yang salah tentang dadah melalui media massa dan media sosial. Kita mesti berusaha sedaya upaya untuk menyanggah maklumat yang salah, bukan sahaja melalui pihak berkuasa, tetapi juga dengan melibatkan individu dan organisasi yang mengambil berat untuk menyokong usaha anti-dadah, dan menggunakan media sosial untuk mendekati lebih ramai belia.

NCADA akan bekerjasama dengan lebih rapat dengan CNB, dan penyokong anti-dadah kami, serta rakan kongsi dalam Gabungan Bersatu Menentang Dadah, untuk menyebarkan maklumat anti-dadah. Kita juga perlu menjana lebih banyak kandungan interaktif yang disiapkan dalam bentuk maklumat ringkas di platform media sosial yang merupakan wadah yang lebih disenangi para belia.

Acara utama seperti aktiviti Kempen Tahunan Anti-Penyalahgunaan Dadah pada Jun 2017 akan memberikan satu lagi peluang bagi NCADA dan CNB untuk menjana kesedaran anti-dadah yang lebih baik di kalangan anggota masyarakat.

BERBINCANG DADAH DENGAN ANAK SUATU ‘PENAWAR'

Kajian Persepsi NCADA juga mendapati bahawa lebih daripada 92% belia yang berbincang tentang dadah dengan ibu-bapa mereka, berjaya mengelakkan diri daripada pengaruh dadah.

Tetapi hanya 1 bagi setiap 2 orang belia di peringkat sekolah menengah dan maktab rendah didapati berbincang tentang dadah dengan ibu bapa mereka. Saya sendiri sebagai seorang bapa dan datuk, ingin menggesa para ibu bapa untuk bertindak dan memulakan perbincangan tentang penyalahgunaan dadah dengan anak-anak mereka secepat mungkin.

Tindakan mudah ini boleh membantu membina ketahanan diri anak anda terhadap dadah, untuk mengatasi pelbagai maklumat palsu tentang dadah di ruang siber.

Saya terkesan melihat rakan saya, Khalid Awang, mengambil peluang dari sebuah artikel berita untuk berbincang tentang isu dadah bersama anak-anak remaja beliau. Mereka berbincang tentang gula-gula yang mengandungi kanabis di beberapa negara dan sama ada kita mahu melihat situasi yang sama di Singapura.

Marilah kita memainkan peranan masing-masing dalam memastikan wujudnya persekitaran bebas dadah buat keluarga dan kejiranan kita, dan kita boleh memulakannya dengan mudah melalui perbincangan dengan anak kita tentang kemudaratan akibat dadah, sebelum mereka mula mengambilnya.


MENGENAI PENULIS:

Encik Hawazi Daipi adalah Pengerusi bagi Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA). Beliau pernah menjadi Anggota Parlimen dan jawatan terakhir disandangnya ialah Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia. Encik Hawazi bersara pada tahun 2015 dan kini turut diberi kepercayaan menjadi wakil khas Singapura ke wilayah-wilayah Palestin. 

- BERITAMediacorp/ru

Komen Anda?

Top