Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ragam buruk pemandu Malaysia boleh sebabkan ramai yang 'sakit jiwa'

Di tengah-tengah gejala bertambahnya bilangan kereta di jalan raya, maka bertambahlah juga kerenah para pemandu di jalan raya. Maka perjalanan yang sepatutnya singkat, berubah menjadi pengalaman memandu yang menggeramkan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Ragam buruk pemandu Malaysia boleh sebabkan ramai yang 'sakit jiwa'

Kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur. (Gambar: JIMIN LAI / AFP)

BERITAMediacorp: Memandu kenderaan sendiri bertujuan membawa anda lebih pantas tiba di destinasi. Namun di tengah-tengah gejala bertambahnya bilangan kereta di jalan raya, maka bertambahlah juga kerenah para pemandu di jalan raya. Maka perjalanan yang sepatutnya singkat, berubah menjadi pengalaman memandu yang menggeramkan.

Itulah yang disuarakan Cik Kurniawati Kamarudin, wartawan agensi berita dari Malaysia, Bernama, semasa berkongsi pemerhatian beliau tentang ‘drama’ yang terungkai di jalan-jalan raya Malaysia.. Apakah gaya memandu di kalangan pengguna jalan raya yang patut dibuang jauh-jauh oleh masyarakat pemandu? Apakah sudah tiba masanya sekolah-sekolah memandu melakukan sesuatu yang lebih mendalam daripada setakat ‘mengeluarkan lesen memandu’? BERITAMediacorp menerbitkan semula pandangan-pandangan Cik Kurniawati dalam ruangan KOMENTAR ini:

Gambar hiasan jalan raya di Malaysia. (Gambar: AFP/Jimin Lai)

(Gambar: AFP/Jimin Lai)

TIDAK cukup berdepan dengan kesesakan lalu lintas, masyarakat Malaysia terutamanya warga kota semakin tertekan dengan sikap buruk sesetengah pengguna jalan raya.

Keadaan ini bagaimanapun tidak menjejaskan pemilikan kenderaan yang sentiasa meningkat di sebalik penambah baikan kemudahan pengangkutan awam.

Penulis sendiri terpaksa memandu dalam keadaan jalan raya yang pada kebanyakan masanya sesak untuk ke pejabat di Wisma Bernama. Rumah penulis terletak di Bandar Damai Perdana, Cheras dan jarak dari rumah ke pejabat lebih kurang 17 kilometer.

Pada kebiasaannya penulis akan mengambil masa sekitar 45 minit sehingga satu jam pada waktu puncak setiap pagi dan ketika pulang ke rumah pada waktu petang.

Bagaimanapun, kesesakan lalu lintas akan menjadi bertambah parah sekiranya hujan lebat atau berlaku kemalangan! Dalam keadaan itu, penulis terpaksa mengambil masa sehingga dua jam meredah kesesakan jalan raya.

MACAM-MACAM PEMANDU TERMASUK ‘PEMANDU KAKI SIBUK’

Semuanya ini bagaikan asam garam kehidupan warga kota dan mungkin ada yang pantas melontar respons 'semua itu tak de hal' cuma ia akan menjadi 'hal' sekiranya berdepan dengan pemandu yang bersikap mementingkan diri sendiri.

Tidak keterlaluan untuk penulis membuat kenyataan ragam buruk pemandu di Malaysia boleh menyebabkan ramai yang 'sakit jiwa'. Apa kan tidak! Ada yang memandu di lorong kanan seperti kura-kura dan ada pula yang beraksi ganas, memecut laju mengalahkan pemandu Formula 1 di litar.

Ada satu perangai sesetengah pemandu yang begitu menjengkelkan penulis iaitu tidak menggunakan lampu isyarat terutama jika ingin memasuki simpang atau memotong kenderaan di hadapan.

Trafik waktu sibuk sebelah petang di Kuala Lumpur. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

(Gambar: SAEED KHAN / AFP)

Mungkin mereka ini menganggap satu perkara yang pelik untuk menggunakan lampu isyarat dan memilih untuk terus memandu melulu masuk ke simpang sehingga menyebabkan kenderaan di belakang terpaksa brek mengejut. Itu pun kalau sempat menekan brek!

Satu lagi tabiat buruk pemandu di Malaysia yang mungkin ramai bersetuju dengan penulis iaitu 'kaki sibuk' yang pantang melihat kemalangan sekecil mana pun sehingga memperlahankan pemanduan.

Sikap ini yang paling banyak menyumbang kepada kesesakan jalan raya sedangkan mereka sendiri akan mengeluh jika terperangkap dalam kesesakan.

JENIS PEMANDU ‘SIBUK MEDIA SOSIAL’

Jika dulu kita biasa melihat pemandu yang sibuk makan dan minum sambil sebelah tangan memegang stereng, sekarang ada lagi yang boleh menjadikan pemandu lalai dan cuai. Penulis maksudkan di sini pemandu yang tidak boleh tidak mesti mahu menggunakan telefon bimbit atau telefon pintar ketika sedang memandu. Tak kiralah sama ada mahu membuka Whatsapp mahu pun melayari Facebook. Ada kalanya telefon di letak di riba bagi mengelakkan daripada dilihat pihak berkuasa.  

Tidak mustahil tabiat buruk ini boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan menambah statistik kemalangan. Tidak kira lelaki mahupun wanita, ramai yang 'lupa diri' apabila memegang stereng kereta termasuk yang baru mendapat lesen, sehingga lupa nilai sopan dan hormat kepada pemandu lain.

Amat membimbangkan jika berdepan dengan pembuli jalan raya yang suka mengekori kereta di hadapan mereka secara dekat. Mereka ini turut menggunakan bahasa yang kasar atau membuat isyarat yang boleh 'membakar' perasaan.

Ramai juga yang memandu secara melulu seperti tidak ada peraturan dan yang paling bahaya pemandu yang panas baran. Pantang tersentuh, tidak mustahil boleh bergaduh di tengah jalan. Semua sikap dan tingkah laku itu menyumbang kepada kemalangan dan kemungkinan boleh membawa berlakunya jenayah.

14 penumpang dan seorang pemandu bas terselamat setelah bas yang dinaiki mereka terbabas dekat Kuala Kangsar, Ipoh. (Gambar: Facebook Info Roadblock Jpj/polis)

(Gambar: Facebook Info Roadblock Jpj/polis)

PEMANDU MURUNG CENDERUNG LEPAS GERAM DI JALAN RAYA

Sama ada sedar atau tidak, semua bentuk ketegangan yang berlaku di jalan raya berkait rapat dengan tekanan atau masalah mental. Pemandu yang gagal mengawal emosi boleh bertindak agresif untuk melepaskan perasaan mereka.

Penulis baru-baru ini berkesempatan mendengar ceramah oleh pakar Kriminologi dan Perunding Keselamatan Peribadi daripada KickStart Academy, Master Saiful Hamiruzzaman. Saya tertarik dengan perkara yang disampaikannya mengenai keselamatan jalan raya dalam konteks kesihatan mental.

Beliau menyatakan kajian mengenalpasti ciri-ciri psiko-sosial utama pengguna jalan raya (pemandu/penunggang) berisiko tinggi di Malaysia lazimnya mengalami kemurungan yang tinggi sehingga cenderung mencari sensasi atau melepaskan geram di jalan raya.

Majoriti mereka adalah di kalangan pemandu/penunggang lelaki yang suka berlagak seperti 'wira' di jalan raya dan mereka gagal mengendalikan emosi. Semestinya pengguna jalan raya khususnya mereka yang berisiko tinggi ini perlu dilatih dan dididik untuk tidak emosional atau melepaskan tekanan jiwa mereka di jalan raya.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mahupun Kementerian Kesihatan harus mencari jalan untuk menangani mereka yang bermasalah seperti ini.

Sekolah memandu harus melihat perkara ini secara lebih mendalam. Penekanan pembentukan sikap dalam sukatan pelajaran sekolah memandu harus diberi perhatian, bukan setakat mahu pelatih lulus ujian dan mendapat lesen.

Masalah sikap ini sudah diketahui menjadi punca utama kemalangan jalan raya di negara ini. Kajian JKJR menunjukkan 90 peratus kemalangan adalah berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang memandu secara berbahaya, terlalu laju dan cuai.

Pembentukan sikap pemandu perlu dimulai dari awal untuk menjadikan mereka pemandu berhemah dan menjadikan jalan raya kita lebih selamat!

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis). 

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan