Images
  • najib razak
    Gambar fail Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: REUTERS/Olivia Harris/File Photo)

KOMENTAR: “Permainan catur” Najib untuk pastikan kesetiaan berterusan

Sekali lagi, isu kaum dan agama menyerlah dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) awal Disember lalu, selain daripada budaya politik feudal parti pemerintah Malaysia. Para pemimpin utama parti menekankan peri pentingnya kesetiaan kepada Perdana Menteri, sebagai cara untuk menangkis pelbagai ancaman kepada bangsa Melayu dan agama Islam.

UMNO mengamalkan sistem naungan di mana ahli-ahli politiknya ibarat pembesar-pembesar zaman feudal yang memberi hak istimewa kepada masyarakat setempat, dalam hal ini, bangsa Melayu. Dan sebagai balasan, orang Melayu dikehendaki setia kepada parti dan memberikannya sokongan politik.

Konsep terhutang budi sudah sebati dalam jiwa orang Melayu, yang bermakna bahawa apa jua bantuan yang dihulurkan kepada seseorang, ianya tidak boleh dilupakan dan mesti dibalas balik pada masa hadapan.

Alasan di sebalik hujah ini adalah orang Melayu mempunyai tanggungjawab moral untuk menyokong UMNO sebagai tanda terima kasih kerana UMNO melindungi masyarakat itu daripada ancaman yang datang daripada golongan bukan Melayu, terutamanya kaum Cina.

Dalam ucapan pembukaan beliau kepada perhimpunan agung UMNO itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerap menekankan pentingnya kesetiaan dan mengulanginya untuk sekurang-kurangnya 18 kali.

Encik Najib dikaitkan dengan skandal kewangan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan memecat ahli-ahli UMNO yang mempersoalkan 1MDB. Mereka yang dipecat kemudiannya menyertai mantan perdana menteri Mahathir Mohamad - seorang pengkritik lantang Encik Najib dan 1MDB - untuk menubuhkan sebuah parti baru, iaitu Parti Bersatu Pribumi Malaysia.

Parti itu dijangka akan berganding bahu dengan pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang dijadual berlangsung menjelang pertengahan 2018.

Encik Najib mengingatkan anggota-anggota parti bahawa UMNOlah yang bertanggungjawab merubah ekonomi negara, bahawa Malaysia berjaya menarik pelaburan besar di bawah kepimpinan beliau, dan bahawa beliau sendiri pernah setia kepada Dr Mahathir, yang beliau kini sifatkan sebagai pengkhianat terbesar UMNO.

Pada dasarnya, Najib menekankan bahawa pendapat yang bertentangan tidak akan diterima, dan kesetiaan akan mendapat ganjaran.

Beliau juga kerap kali menyebut agama Islam semasa sidang itu dan menyatakan sokongan beliau terhadap pindaan yang disarankan kepada Perkara 355 Perlembagaan Malaysia, yang akan meluaskan peranan Mahkamah Syariah di negara itu dan memudahkan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di Kelantan, yang diperintah parti pembangkang Parti Islam se-Malaysia (PAS). Pindaan tersebut ditentang oleh sekutu-sekutu Umno seperti Persatuan Cina Malaysia (MCA).

Naib Presiden UMNO Hishammuddin Hussein berkata kerjasama dengan PAS adalah berdasarkan persefahaman bersama tentang sebuah "agenda Islam". Penggunaan Islam sebagai alat politik menjadi satu trend yang membimbangkan di dalam UMNO.

Malah, istilah "al-wala" digunakan untuk menerangkan peri pentingnya kesetiaan. Konsep al-wala, yang bermaksud kesetiaan dalam bahasa Arab, memberi tumpuan kepada pengukuhan perpaduan di kalangan individu-individu daripada sesebuah kumpulan tertentu yang selaras dengan rukun-rukun tertentu; dalam hal ini, ianya berkenaan perpaduan masyarakat Melayu Islam yang selaras dengan prinsip-prinsip tadbir urus Islam.

Konsep ini, yang diulangi beberapa kali oleh Encik Najib dalam ucapan beliau, dikaitkan baru-baru ini dengan pergerakan pelampau agama yang berfikiran sempit dan ganas seperti ISIS (Daulah Islamiah) dan Al Qaeda baru-baru ini.

Pucuk pimpinan Umno menggunakan agama Islam untuk mengukuhkan sistem politik feudal. Encik Najib secara khusus menyebut bahawa wala (kesetiaan) yang “sebenar”, sebagai sesuatu yang biasa dalam dunia dan budaya Melayu, diberikan kepada institusi presiden atau perdana menteri.

Ini merupakan contoh jelas di mana pemimpin parti itu cuba mengambil hati ahli-ahli konservatif agama dalam UMNO yang mahu agama Islam diberi peranan yang lebih luas dalam sistem politik.

Satu lagi tema sepanjang ucapan Encik Najib adalah isu kaum, khususnya perpaduan bangsa Melayu dan betapa pentingnya usaha memperjuangkan nasib orang-orang Melayu yang terpinggir.

Selain merujuk kepada contoh-contoh sejarah tentang peranan tidak penting yang dimainkan orang-orang Melayu sewaktu era penjajahan dan pasca penjajahan, Encik Najib turut melakarkan ciri-ciri utama kaum Melayu dan yang paling menonjol adalah kesetiaan dan ketekunan. Dalam erti kata lain, setia kepada pemimpin, menang pilihan raya akan datang dan selamatkan bangsa Melayu.

Dalam ucapannya, Encik Najib juga menggesa anggota-anggota UMNO agar bersatu padu dan setia menghadapi ancaman yang dikatakan datang daripada Parti Tindakan Demokratik DAP yang berasaskan kaum Cina.

Menurut PM Najib, "orang-orang Melayu dan Bumiputra dan semua rakyat Malaysia kini berada di salah satu persimpangan yang paling kritikal" kerana jika negara jatuh ke tangan DAP, "hak dan keistimewaan yang diperjuang dan dipertahankan oleh UMNO ... akan menjadi pupus dan lenyap".

Kata-kata tegas Encik Najib mengenai isu kaum juga menggambarkan reaksi beliau kepada Bersatu, parti baru yang disokong Dr Mahathir. Hakikat bahawa Bersatu dipimpin seorang bekas pemimpin tertinggi UMNO dan menyokong agenda politik yang serupa boleh menjadikannya sebuah alternatif menarik bagi anggota-anggota UMNO yang tidak puas hati.

Memandangkan Encik Najib menghadapi ancaman-ancaman tersebut dari dalam dan luar parti, Perhimpunan Agung UMNO menyediakan wadah terbaik untuk beliau menuntut kesetiaan yang tidak berbelah bagi, lantas mengukuhkan lagi budaya politik feudal Umno yang didukung oleh tema-tema nasionalis Islam dan Melayu.

Selain matlamat utama Bersatu untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu, pendirian anti-rasuahnya yang tegas menjadi dorongan kuat bagi ahli-ahli UMNO untuk berpaling kepada Dr Mahathir. Namun, cara Encik Najib menangani isu 1MDB sehinggakan ia tidak menjejas kedudukan politiknya adalah bukti bahawa beliau masih mendapat sokongan anggota-anggota UMNO dan ini mencerminkan betapa pentingnya sistem naungan di dalam parti tersebut.

Sehubungan itu, langkah strategik beliau untuk membuat seruan tentang keluhuran agama Islam dan perpaduan bangsa Melayu akan mendapat sokongan besar dari kalangan ahli UMNO demi memastikan beliau akan terus memimpin parti itu.

MENGENAI PENGARANG:
Mohamed Nawab Mohamed Osman adalah Penolong Profesor dan Penyelaras Program Malaysia di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dan Aida Arosoaie adalah Penganalisis Kanan di Program Malaysia, RSIS.

- BERITAMediacorp/nd

Komen Anda?

Top
>